Friday, July 24, 2020

TINGKATKAN AKHLAK, NILAI DIRI DAN INTEGRITI PENJAWAT AWAM


Dalam konteks pekerjaan atau perkhidmatan, integriti merangkumi sifat-sifat menyeluruh seseorang individu atau sesebuah organisasi berdasarkan nilai-nilai murni sejagat termasuk aspek akauntabiliti (Malaysian Administrative Modernisation and Management Planning Unit, 2013). Justeru, untuk melangkah ke masa hadapan yang lebih cemerlang, negara kita seharusnya bijak mengurus kejayaan, mempunyai masyarakat beretika dan kakitangan yang amanah serta berintegriti. Selain itu, kakitangan organisasi perlu mempunyai prinsip lebih tegas, kuat dan amanah dalam mengatasi pelbagai kelemahan, kekurangan diri serta menjaga nama organisasi. Cabaran besar yang perlu ditangani dalam usaha tersebut ialah pemantapan etika dan integriti dalam sesebuah organisasi. Budaya etika dan integriti adalah selaras dengan cabaran keempat Wawasan 2020 iaitu untuk membentuk sebuah masyarakat yang kukuh ciri-ciri moral dan etika serta para warganya mempunyai nilai keagamaan dan kerohanian yang utuh berteraskan budi pekerti yang luhur

Namun demikian, sejak akhir-akhir ini berita mengenai isu integriti terutamanya berkaitan rasuah, pecah amanah dan penyalahgunaan kuasa terutama di peringkat pembuat dasar dan ahli politik sentiasa menjadi sorotan media massa. Terbaru, seperti yang dilaporkan oleh media tempatan merujuk teguran dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) yang berpendapat ada hukuman dikenakan jabatan terhadap pegawai dan kakitangan awam yang cuai, tidak cekap dan tidak akur sebagai terlalu lembut dan ringan, beliau berkata, teguran itu dipandang serius oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Malaysia, Datuk Mohd Khairul Adib mengingatkan setiap ketua jabatan supaya mengambil tindakan tegas terhadap sebarang kesalahan dilakukan penjawat awam berdasarkan peraturan sedia ada serta merit kesalahan yang dilakukan. "Ketua jabatan harus memainkan peranan dengan mengambil tindakan tegas dan segera terhadap penjawat awam apabila terdapat teguran dan ketidakakuran di agensi masing-masing seperti dilaporkan pihak audit. "Ini penting kerana kerajaan amat memandang serius isu ketirisan hasil negara, termasuk disebabkan oleh kesalahan atau kecuaian dilakukan penjawat awam, selain komited untuk mewujudkan perkhidmatan awam yang berprestasi tinggi, berintegriti dan proaktif,".
______________________________
Rencana yang telah disiarkan dalam TINTA MINDA - BERNAMA online pada 24 Julai 2020

No comments:

LAHIRKAN RAMAI CENDEKIAWAN MUSLIM HADAPI PERANG PEMIKIRAN

Arikel yang telah disiarkan dalam Ruangan Agama BERITA HARIAN - 28 Januari 2024 (Ahad). Selamat membaca .