Wednesday, November 4, 2020

KEBIASAAN BAHARU DALAM DAKWAH



 

Dakwah Islamiah merupakan ajakan atau seruan ke arah penerimaan dan penghayatan ajaran dan nilai-nilai Islam. Aspirasi ini dapat direalisasikan melalui pengurusan dan perancangan dakwah yang sistematik sesuai dengan saranan al-Quran supaya dakwah disampaikan dan disebar luaskan secara hikmat dan berkesan. Pelaksanaan dakwah juga  memerlukan kesungguhan dan istiqamah.

Matlamat dakwah tidak akan tercapai jika usaha dakwah hanya dianggap sebagai satu hobi masa lapang atau sekadar memenuhi keperluan sesuatu masa atau tempat. Sikap berpuas hati dengan usaha dakwah yang minimum tidak seharusnya wujud di kalangan pengikut Nabi Muhammad s.a.w.    Salah satu perkara  penting yang menjayakan dakwah Islamiah  ialah aspek pengurusan dakwah. Aspek pengurusan dakwah yang mantap dan sistematik adalah keperluan asas kepada kemajuan dan kecemerlangan dakwah. Perkara-perkara yang berkaitan dengan aspek perancangan, pengorganisasian, pemantauan dan kepimpinan adalah antara aspek pengurusan yang perlu difahami oleh pendakwah dan organisasi. Pengurusan dakwah yang terancang akan memastikan objektif dakwah iaitu keselamatan dan kesejahteraan umat tercapai.

 Bagi Syed Othman al-Habsyi (1998), Pengurusan dakwah  adalah pengurusan yang mampu menentukan  dakwah matlamat dakwah yang sebenar, menentukan objektif, strategi dan program yang wajar dilaksanakan, mengawal dan melaksanakan segala  tugas yang telah ditentukan, mengenal pasti segala masalah serta strategi pelaksanaannya dan membiayai segala program yang dirancang. Berdasarkan kepada pengertian tersebut, pada umumnya pengurusan dakwah perlu mempunyai perkara-perkara seperti, penentuan matlamat, objektif dakwah, strategi dakwah, struktur  pengurusan, perancangan program dan juga belanjawan.

 Pendapat seterusnya mengenai pengurusan dakwah dikutip dari al-Burey yang menyatakan, pengurusan adalah sebagai menyelaraskan tenaga manusia untuk mencapai matlamat  kelompok sebagai manusia sosial yang perlu berinteraksi antara satu sama lain. Manakala menurut Abu Majid Abduh pula pengurusan adalah kegiatan tentang usaha memimpin, membimbing dan memupuk individu  serta merancang, menyusun dan memantau segala proses seperti orang perseorangan, bahan, mesin, kuantiti, kelengkapan,  harta dan pasaran.

 Secara khusus, pengertian pengurusan dakwah boleh diertikan sebagai suatu  kegiatan terpimpin dengan menggunakan segala sumber organisasi sama ada sumber kemanusiaan atau kebendaan dalam mencapai matlamat organisasi dakwah atau jemaah . Manakala menurut Rozhan Othman (1990) pengurusan dakwah pula merangkumi berbagai-bagai aktiviti-aktiviti dan penyusunan segala sumber organisasi, termasuk tenaga manusia, untuk dijuruskan kepada pencapaian matlamat dakwah.

______________________________

Rencana yang telah disiarkan dalam Dewan Tamadun Islam Bil 10 2020 Muka surat 44-47


No comments:

DEFISIT SOSIAL GUGAT SEMANGAT PERPADUAN, ROSAK ERTI KEMERDEKAAN

 -------------------- Rencana yang telah disiarkan dalam Berita Harian 6 September 2024