Memperingati Tarikh 12 Rabiulawal setiap tahun bagi
setiap individu Muslim merupakan sesuatu yang penting dan bermakna khususnya
memperingati tarikh kelahiran Nabi Muhammad SAW, utusan Allah yang membawa
ajaran dan syiar Islam. Nabi Muhammad SAW tokoh dambakan umat memiliki
kesempurnaan dan segi sifat dan akhlak. Limpahan pujian terhadap baginda tidak
pernah putus dan berterusan sepanjang zaman. Perbincangan terhadap Baginda yang
merangkumi ‘kata-kata, perbuatan, sifat serta persetujuannya’ tidak ada akhirnya
dan banyak lagi perkara-perkara yang berkaitan dengan Baginda Nabi Muhammad SAW
yang belum terungkap atau belum dibincangkan. Kekaguman umat terhadap nabi
Muhammad SAW bukan sahaja dalam kalangan umat Islam tetapi juga dalam kalangan
bukan Islam. Banyak sekali kajian dan pengamatan dalam kalangan bukan Islam
terhadap nabi Muhammad SAW.
Michael H. Hart (1978), dalam bukunya yang berjudul ‘The 100: A ranking of the most influential
person in history’, telah meletakkan nabi Muhammad sebagai tokoh pertama dalam
urutan 100 tokoh manusia yang paling berpengaruh dalam dunia.
Selain itu, George Bernard Shaw seorang tokoh
falsafah Inggeris yang pernah memenangi hadiah Nobel pada tahun 1920 dalam
bidang sastera, pernah menyatakan bahawa Nabi Muhammad merupakan tokoh yang
sangat hebat, tokoh penyelamat kemanusiaan. Bernard Shaw juga meyakini bahawa
kalau Nabi Muhammad diberi kuasa tertinggi memimpin dunia moden hari ini, sudah
pasti Nabi Muhammad dapat menyelesaikan segala permasalahan serta mampu membawa
dunia ke arah kedamaian dan keamanan yang diimpikan oleh umat manusia. Perkara
dapat difahami dari kata-kata beliau yang pernah menyatakan, “aku telah membaca kisah kehidupan tokoh
rasul dalam Islam dan sekali-kali-kali aku tidak menemui kecuali akhlak yang
baik serta luhur yang aku sangat berharap agar Islam menjadi pedoman bagi
dunia”.
Selanjutnya Lamar Tine seorang tokoh sejarah telah
menyebutkan, jika kita ingin melihat dari aspek kegeniusan seseorang manusia,
perlu melihat manusia yang bernama Muhammad bin Abdullah, nabi terakhir dalam
kalangan umat Islam. Begitu juga dengan
Thomas Carlyle yang turut menyatakan kekaguman terhadap Muhammad, kerana
Muhammad telah berjaya dan mampu mengubah kaum-kaum yang berperang dan kaum
jahiliah menjadi satu bangsa yang paling maju dan mempunyai peradaban tinggi
dalam tempoh yang singkat dan Muhammad dicipta untuk menerangi dunia dan
seluruh umat.
Begitu juga dengan pendapat W. Montgomery Watt yang
menyatakan, tidak ada tokoh yang amat hebat di dunia ini selain Muhammad,
tetapi digambarkan ‘amat buruk di Barat’. Orang yang menganggap Muhammad
sebagai penipu ialah orang yang bermasalah dan bukan yang memberi jawapan. Bagi John L. Esposito (1999) dalam ‘The Oxford history of Islam’ menyebutkan
Muhammad SAW seorang Nabi dan Rasul yang telah membangkit dan membangunkan
peradaban yang besar di dunia.
_______________________________________
Artikel telah disiarkan dalam ruangan Agama Berita Harian Ahad, 1 Nov 2020
No comments:
Post a Comment