Wednesday, December 15, 2010

MEMAHAMI MAQASID AL-SYAR'IYYAH

Penghayatan syari`at dalam erti yang setepatnya harus meliputi kedua-dua: pelaksanaan hukum-hakam dan realisasi maqasidnya. Justeru, maqasid adalah umpama buah bagi pokok -- melaksanakan hukum, tetapi gagal mencapai maqasidnya adalah ibarat menanam pokok, tetapi gagal memetik buahnya, sebagaimana yang diungkapkan oleh al-Raysuniy (al-Fikr al-Maqasidiy: h.17).



ومعنى هذا أن مقا صد الشريعة تمثل مراد الله وغا ية ما كلف به

عبا ده وما شرعه لهم فهي بمنزلة الثمرة من الشجرة.



Rumusan al-Maqasid

Al-Imam al-Ghazaliy r.`a. adalah perumus pertama al-maqasid yang meliputi lima objektif utama:



* Pemeliharaan agama (hifz al-din)
* Pemeliharaan jiwa (hifz al-nafs)
* Pemeliharaan akal (hifz al-`aql)
* Pemeliharaan keturunan (hifz al-nasl)
* Pemeliharaan harta (hifz al-mal).



Rumusan lima maqasid tersebut kemudian dikenali sebagai al-daruriyyat al-khamsa, al-kulliyyat al-khamsa dan al-usul al-khamsah. Kelima-lima prinsip yang juga merupakan keperluan asasi manusia itulah pula yang dipadatkan dengan satu kata: maslahah, dengan implikasi bahawa sebarang gangguan terhadapnya adalah mafsadah (kerosakan). Para ulama umumnya menyepakati kelima-lima objektif tersebut, meskipun ada perbezaan dari segi pengurutannya. Malah menurut Imam al-Maqasid al-Shatibiy lima maqasid tersebut bersifat universal. Namun demikian penetapan lima objektif tersebut sebenarnya bukanlah penetapan simpul mati. Kerana itu ada ulama (al-Qurafiy, al-Tufiy, al-Subkiy dan al-Shawkaniy) yang menambahnya menjadi enam dengan memasukkan al-`ird (maruah atau kehormatan diri). Sementara itu dalam wacana masa kini tentang maqasid al-shari`ah, ada saranan penambahan dan pengembangan kepada lima objektif tersebut. Memang ketika ini sedang berlaku fenomena keghairahan baru dalam pengkajian al-maqasid. Fenomena inilah yang disebut oleh al-Raysuniy sebagai al-sahwah al-maqasidiyyah (kebangkitan kembali pemikiran maqasidi). Pada era perubahan pesat dalam pelbagai bidang, dan timbulnya isu-isu baru yang memerlukan penyelesaian syar`i, para ilmuwan Muslim berasa terpanggil untuk berijtihad. Untuk itu mereka harus memahami sedalam mungkin tentang al-maqasid. Memang al-maqasid menempati posisi yang sentral dalam ijtihad dan istinbat. (Balajiy, `Abd al-Salam, 2007: 283-290). Di tengah semarak kesedaran baru tentang peri pentingnya al-maqasid itulah tampilnya tokoh-tokoh seperti al-Shaykh Muhammad al-Ghazaliy, Dr. Yusuf al-Qaradawiy dan lain-lain yang menyuarakan keperluan memasukkan objektif memelihara kebebasan, dan memelihara keadilan ke dalam komponen maqasid al-shari`ah.

Anjakan Gaya Pandang Terhadap al-Maqasid

Wacana masa kini tentang maqasid al-shari`ah memperlihatkan perkembangan baru dari segi gaya pandang. Al-Raysuniy misalnya cuba melihat persoalan al-maqasid dari perspektif hak asasi manusia. Beliau mengangkat hak-hak asasi manusia sebagai paksi al-maqasid. Sementara itu Dr. Jamal al-Din `Atiyyah menyarankan anjakan dari al-kulliyyat al-khamsa ke al-Majalat al-Arba`ah, realisasi al-maqasid dalam empat ranah kehidupan: individu (al-fard), keluarga (al-usrah), umat (al-ummah), dan kemanusiaan sejagat (al-insaniyyah).

Melaksanakan syari`at dalam konteks kehidupan individu adalah untuk merealisasikan objektif pemeliharaan jiwa-raganya, akal-budinya, penghayatan agamanya, kehormatan dirinya, dan keselamatan hartanya. Dalam konteks kehidupan kekeluargaan pula syari`at dilaksanakan untuk mencapai objektif pengaturan hubungan antara dua jenis makhluk manusia (lelaki-perempuan), kelanjutan zuriat, kedamaian dan kasih-sayang, kejelasan nasab keturunan, komitmen keagamaan (tadayyunlreligiosity), pemantapan keluarga sebagai sebuah institusi, dan pengurusan harta keluarga secara benar.

Al-maqasid di Ranah kemasyarakatan dan Kemanusiaan

Objektif murni syari`at yang terkandung dalam al-kulliyyat al-khamsa tidak hanya untuk kepentingan individu, tetapi harus meratai seluruh warga umat dan manusia sejagat. Al-Shaykh Ibn `Ashur disebut sebagai tokoh pertama yang memperingatkan hakikat tersebut. Mungkin peringatan inilah yang disambut oleh Dr. Jamal al-din `Atiyyah dengan membuat huraian tentang aktualisasi al-maqasid dalam pelbagai bidang kehidupan: perseorangan (individu), kekeluargaan, keumatan dan kemanusiaan. Makalah ini akan memakai acuan Dr. `Atiyyah dalam perbincangan tentang al-maqasid dengan tumpuan pada ranah keumatan dan kemanusiaan.

Dalam bidang kehidupan kolektif (keumatan dan kemanusiaan), antara objektif (maqasid) yang harus direalisasikan termasuklah:

Memastikan wujudnya umat secara nyata dengan esensi hakikinya, dan ciri-ciri khasnya. Untuk itu institusi-institusi keumatan seperti baitulmal, masjid, sekolah, mahkamah, kepolisan dan sebagainya harus diperkasa, ditingkatkan wibawa dan integritinya agar umat terus hidup sebagaimana layaknya walau apa pun perubahan -- sosial-ekonomi-politik -- yang berlaku. Untuk mencapai objektif kewujudan umat secara yang bererti, syari`at Islam sangat menekankan semangat kesatuan ummatik atau wahdat al-ummah berasaskan kesatuan `aqidah, kesatuan syari`ah, dan kesatuan budaya (khususnya bahasa). Ini tidak bererti bahawa serba-serbinya harus satu. Dalam bingkai kesatuan berasaskan tiga tonggak di atas (`aqidah, shari`ah, thaqafah/lughah), wujud ruang yang secupkupnya bagi perbezaan dan kepelbagaian. Kesatuan ummah tidak menghalang wujudnya kepelbagaian mazhab fiqh, kepelbagaian aliran ilmu kalam, dan kepelbagaian parti politik. Yang penting adalah kesepakatan prinsip-prinsip asasi dan kesamaan rujukan terakhirnya - al-Kitab dan al-Sunnah.

Objektif pewujudan ummah secara nyata dan real harus dicapai menerusi pembinaan ciri khayriyyat al-ummah, ciri keunggulan umat (khayra ummah): komitmen terhadap pengembangan nilai-nilai kemakrufan, dan pemberantasan elemen-elemen kemungkaran berasaskan semangat keimanan kepada Allah. Demikianlah umat yang religious, memiliki kepedulian sosial yang tinggi, dan komited terhadap idealisme pembinaan masyarakat berasaskan iman (faith-based) dan nilai-nilai sakral keagamaan. Objektif tersebut juga harus direalisasikan menerusi pembudayaan amal kolektif, beroganisasi dan bersemangat musyawarah (shura).

No comments:

DEFISIT SOSIAL GUGAT SEMANGAT PERPADUAN, ROSAK ERTI KEMERDEKAAN

 -------------------- Rencana yang telah disiarkan dalam Berita Harian 6 September 2024