Thursday, September 17, 2009

MEMBINA PROFESIONALISME DALAM ATM

OLEH: MEJAR BURHANUDDIN ABDUL JALAL


Hari ini Angkatan Tentera Malaysia meraikan ulang tahun penubuhannya kali yang ke 76 dan kita menyedari bahawa organisasi Angkatan Tentera Malaysia adalah sebahagian dari organisasi perkhidmatan awam di Malaysia yang berperanan sebagai benteng pertahanan negara. Dalam usaha untuk mewujud dan merealisasikan angkatan tentera yang sentiasa siaga untuk melindungi kedaulatan dan integriti negara, pihak ATM telah menggariskan lima aspek penting sebagi objektifnya iaitu:
• Kesiagaan (Preparedness)kan bahaw
• Keupayaan Berperang (War Fighting Capability)
• Anggota Tentera Berkualiti (Quality Personnel
• Agensi Pemimpin Negara (National Lead Agency)
• Rakan global (Global Partnership)
Berdasarkan lima objektif atau penyataan umum tersebut, perkara yang penting untuk di wujudkan oleh ATM ialah tahap profesionalisme yang tinggi dalam setiap aspek khususnya memaklumi lima objektif yang telah digariskan. Perlu kita sedari bahawa profesionalisme ketenteraan amat penting kerana berkaitan dengan soal keselamatan, peperangan atau pertahanan negara yang menentukan keselamatan dan ketahanan sesebuah negara. Profesionalisme merupakan kombinasi dalam aspek pengetahuan dan kemahiran dalam bidang yang khusus dan tertentu dan ia melibatkan bidang pekerjaan atau profesion yang tertentu. Dalam hal ini Perlmutter A. (2000) dalam bukunya,” military and politics” telah merujuk tentera sebagai aspek profesion atau kerjaya yang penting. Beliau menjelaskan,” “Profesion (tentera) adalah pekerjaan yang memerlukan latihan dan pendidikan yang sempurna dalam suatu bidang yang khusus. Tujuan pendidikan yang lama dan intensif yang dilaksanakan bertujuan agar terpelihara tahap-tahap atau peringkat-peringkat prestasi dan pelaksanaan yang tinggi sesuai dengan piawaian-piawaian yang telah ditentukan oleh organisasi. Tahap profesionalisme sesuatu pekerjaan tertentu diukur berdasarkan pelaksanaan, status atau piawaian tertentu terhadap individu yang berkecimpung dalam bidang berkaitan. Oleh yang demikian dalam status khusus ini, golongan profesional yang sejati memperoleh keyakinan yang dapat menentukan hubungannya dengan para pelanggan (dalam konteks ketenteraan keyakinan itu diperoleh dari rakyat dan pihak pemerintah).

Kenyataan Permutter di atas mengandungi beberapa pengertian yang perlu diperhatikan. Pertama, sesuatu profesion atau kerjaya itu merupakan pekerjaan yang khusus. Seseorang profesional tidak melakukan berbagai-bagai pekerjaan, kerana tugas atau pekerjaan yang sedia ada memerlukan kepakaran atau kemahiran yang tertentu. Seseorang yang profesional mempunyai pengetahuan dan kepakaran tertentu yang tidak sama dengan kemahiran biasa tetapi mampu melaksanakan tugas yang berbagai. Kedua, profesional memerlukan pendidikan dan latihan yang lama dan intensif untuk memelihara, meningkatkan dan mengukuhkan tahap profesionalisme. Oleh yang demikian seseorang yang profesional tidak boleh melakukan pelbagai tugas atau kerja yang kesannya akan mengakibatkan tugas atau kepakarannya terabai dan bercampur aduk atau tugas utamanya tidak ditumpukan sapenuhnya. Ketiga, tugas,fungsi atau peranan yang dilakukan dinilai dengan pelaksanaan secara metode, kaedah atau piawaian yang ditentukan oleh organisasi. Keempat, keabsahan atau perakuan kepakaran yang diberikan diperakui oleh organisasi profesional berkaitan. Kelima, profesional mempunyai tanggungjawab sosial. Bagi organisasi tentera tanggungjawab sosialnya adalah melindungi masyarakat, bangsa dan negara. Keenam, hubungan antara anggota profesional amat kuat dan mempunyai semangat kekitaan atau setia kawan yang amat kuat (esprit de corp) dalam organisasi dan sesama anggota, yang turut menentukan piawaian seseorang yang profesional.

Menurut Hutington(1957: 8) dalam bukunya “ Soldier and the state: Theory and politics of military relation” telah menjelaskan profesionalisme ketenteraan mempunyai tiga ciri utama iaitu, pertama, kepakaran yang khusus, berpengetahuan serta mempunyai kemahiran yang diperoleh dari latihan, pendidikan, pengalaman dan sentiasa mengikuti perkembangan dalam bidang kepakarannya. Kedua, mempunyai kesedaran tanggungjawab sosial terhadap masyarakat dan pihak yang berpentingan. Ini adalah penting kerana sebagai anggota tentera mereka perlu mempunyai serta mempamerkan perlakuan dan akhlak yang murni selaras dengan peranan dan tanggungjawab mereka terhadap agama, bangsa dan negara. Selain dari itu anggota tentera yang profesional perlu melaksanakan tugasnya dengan penuh kejujuran dan tidak mementingkan diri sendiri dan sedia berkorban apa sahaja sama ada harta atau nyawa sekalipun demikian mempertahan maruah ketenteraan. Ciri ketiga yang disebut oleh Huntington ialah ciri-ciri perwatakan organisasi tentera dan individunya yang melahirkan semangat ‘setia kawan’ atau ‘esprit de corp’. Selain dari itu organisasi tentera mempunyai tradisi dan adat resam tersendiri yang dapat membezakan dengan organisasi bukan tentera atau organisasi sosial lain dalam masyarakat. Sifat ‘eksklusif’ inilah yang memberi kekuatan dan kelebihan organisasi tentera dari persepsi pandangan masyarakat umum.

Menurut Huntington lagi, berdasarkan tiga ciri utama tersebutlah yang menyebabkan organisasi tentera mampu melahirkan apa yang disebut sebagai ‘military mind’ (pemikiran ketenteraan) yang menjadi dasar utama bagi hubungan ketenteraan dengan pihak pemerintah. Untuk itu, bagi setiap anggota tentera komitmen yang paling tinggi yang mereka perlu tunjukkan ialah sentiasa patuh kepada ketua dan pihak pemerintahan negara.

Ciri dan pengertian profesionalisme di atas pada umumnya adalah ciri biasa dalam organisasi ketenteraan namun demikian dalam konteks Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang kini telah menjangkau ke 76 tahun, perlu terus membina jati diri supaya arah pembangunan profesionalismenya sering dengan arah paradigma yang sedang diusahakan oleh barisan kepimpinan ATM masa kini khususnya di bawah pimpinan Menteri Pertahanan Y.B Dato' Seri Dr Ahmad Zahid Bin Hamidi serta Perdana Menteri Malaysia Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak. Oleh yang demikian arah profesionalisme ATM perlu mempunyai kriteria yang mampu memenuhi tuntutan dan keperluan serta kepentingan agama, bangsa dan negara. Oleh yang demikian antara ciri-ciri profesionalisme ATM yang perlu diperhatikan oleh semua warga ATM dalam suasana menyambut Ulang tahun ke 76 ATM ini, antara ciri-ciri itu ialah:

(i) Mempunyai kepakaran dan keahlian dalam melaksanakan tugas mempertahan negara atau melawan ancaman musuh negara. Tujuan perubahan dan pembangunan dalam ATM adalah untuk mewujudkan ATM menjadi organisasi tentera yang profesional dengan mempunyai kemahiran dan kemampuan yang tinggi sesuai dengan peranannya mempertahankan negara. Hal ini dapat dijelaskan dengan mempunyai anggota tentera yang mahir dalam operasi tempur atau manuver atau sentiasa peka serta mampu menghadapi segala ancaman yang membahayakan dan kelangsungan hidup bangsa dan negara., memiliki kemampuan berfikir, matang serta bertanggungjawab terhadap keselamatan bangsa dan negara., berfikir dan bertindak secara komprehensif, kreatif, produktif, efektif dan memiliki semangat juang yang tinggi. Selain dari itu anggota tentera juga perlu mempunyai kemampuan dari segi taktik dan teknikal serta menguasai peraturan atau prosedur ketenteraan tertentu. Turut dipentingkan adalah kesihatan yang baik serta kekuatan fizikal dan mental yang kuat. Kesemuanya adalah penting kerana itu semua merupakan tugas dan peranan mereka sebagai anggota tentera.

Untuk mencapai hasrat tersebut ATM perlu terus mempergiatkan aspek latihan dan pendidikan yang berkualiti. Latihan masa kini yang dilaksanakan dalam pelbagai peringkat dan dalam keadaan yang pelbagai merupakan medan terbaik untuk mua aspek fizikal, mental, peralatan dan taktik ke arah yang terbaik bagai menghadapi dan mencegah musuh dan seterusnya mempertahankan negara. Bagi ATM secara umumnya, setiap saat atau waktu, setiap warga tentera perlu terus dilatih dan bersedia untuk berjuang hingga ke titisan darah yang akhir, oleh yang demikian setiap anggota tentera perlu sentiasa diberi peringatan agar tidak membuang masa dan terus berlatih kerana ‘waktu atau masa’ adalah kemenangan dan keselamatan agama, bangsa dan negara. Untuk itu bagi anggota tentera barangkali tidak asing dengan kata-kata “lebih baik bermandi keringat di medan latihan dari bermandi darah di medan perang !”.

Oleh yang demikian, dalam suasana aman pada masa ini seluruh warga ATM dalam ketiga-tiga cabang perkhidmatan perlu berusaha dan menanamkan azam untuk terus berlatih dan berusaha meningkat kemahiran dan kepakaran dalam bidang masing-masing serta meningkatkan aspek pengurusan dan pentadbiran dalaman organisasi, ini adalah penting bagi memastikan ATM dapat dibina berdasarkan profesionalisme, efisien moden dan efektif., Selain dari itu usaha-usaha untuk meningkatkan kemudahan, prasarana, peralatan yang canggih serta peningkatan kebajikan anggota perlu diteruskan. Dengan kemudahan, peruntukan dan kebajikan yang terbela dan terbaik, sudah tentu anggota dapat melaksanakan tugas dengan penuh tumpuan dan meningkatkan profesionalismenya.

(ii) Mematuhi disiplin ketenteraan seta mempunyai semangat setia kawan yang tinggi. Untuk membina organisasi tentera yang profesionalisme ATM perlu meningkatkan tahap disiplinnya dan mengurangkan masalah disiplin yang berlaku di kalangan anggotanya. Ini adalah penting kerana disiplin adalah nadi kehidupan nadi organisasi ketenteraan. Dalam hal mini Perlmutter (2000: 3) dalam bukunya “Military and politics” telah menyebutkan, “dari aspek sejarah, sumbangan yang paling penting dari perajurit adalah keberanian dan disiplin”. Sesungguhnya disiplin sangat berpengaruh dalam menghasilkan prestasi yang cemerlang bagi setiap anggota, memberikan nama baik di kalangan masyarakat dan meningkat kemampuan anggota semasa melaksanakan tugas.

Aspek mematuhi disiplin ini penting dan ia telah menjadi salah satu ikrar harian yang sering dilafazkan oleh setiap warga ATM saban masa. Dalam aspek pematuhan disiplin ini, Bekas Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Dato Aziz Zainal pernah menyebutkan,

“ Menegakkan peraturan dan disiplin merupakan sebahagian dari aspek kehidupan ketenteraan. Oleh yang demikian adalah menjadi satu tuntutan kepada setiap anggota untuk mematuhi disiplin dan peraturan. Sebarang pelanggaran disiplin walaupun kecil perlu diambil tindakan segera , telus, tepat dan bijaksana, Perkara tersebut merupakan salah satu komitmen ATM bagi memastikan disiplin dan keunggulan ATM dapat diteruskan”.

Penegasan perkara di atas adalah komitmen ATM dalam melaksanakan perubahan dalaman organisasi ATM, yang menilai pentingnya anggota tentera mematuhi peraturan dan disiplin bagi memastikan menjadi anggota tentera yang profesional. Oleh yang demikian, menjadi kewajipan kepada setiap pemimpin di pelbagai peringkat untuk terus menguatkuasakan peraturan dan disiplin di kalangan anggota. Selain dari itu para pemimpin di pelbagai peringkat juga mampu dijadikan contoh teladan atau ‘role model’ dalam menghayati disiplin ketenteraan di kalangan anggota.

(iii) Mempunyai akhlak, moral dan etika ketenteraan dan semangat keperwiraan yang tinggi. Tiap sikap, tindakan dan perlakuan anggota.

Bagi mencapai tahap profesional yang tinggi ATM perlu meningkatkan pemahaman dari aspek moral dan etika ketenteraan. Ini adalah kerana moral dan etika ketenteraan akan meningkatkan tahap profesional ketenteraan. Moral dan etika sangat penting kerana akan membimbing setiap sikap, tingkah laku dan tindakan anggota. Moral adalah tingkah laku manusia yang didasarkan kepada ukuran piawai manusia yang diterjemahkan kepada perlakuan baik atau buruk.

Perlu ditegaskan bahawa dalam Islam profesionalisme bertitik tolak daripada keimanan dan ketakwaan. Dalam hal ini Islam melihat manusia terdiri dari kesatuan jasad, akal dan roh. Oleh yang demikian, ketiga-tiga aspek ini perlu dibina. Pembinaan jasad diberi perhatian yang wajarnya kerana Islam mengakui kesuburan jasad. Daripada kesuburan jasad itulah diharapkan lahirnya kekuatan yang akan digunakan untuk membantu organisasi yang menjadi alat untuk membantu ummah. Islam memberi perhatian yang istimewa kepada aspek jasad ini dengan menyarankan supaya penganut-penganutnya menjaga kesuburan dan keutuhan jasad di samping melarang mereka melakukan perkara-perkara yang menyebabkan terjejasnya kesuburan jasad. Selain daripada jasad, Islam juga menekankan kepentingan akal. Akal merupakan tenaga yang berupaya menahan diri manusia dari melakukan kerja-kerja buruk dan perbuatan keji. Hal ini yang membezakan manusia dengan makhluk-makhluk lain yang tidak dapat membezakan di antara yang baik, dan buruk. Dalam aspek pembinaan roh pula, terbit dari akal yang baik, jasad yang sihat dan roh yang segar pula lahir daripada amalan yang mantap. Oleh yang demikian peningkatan profesionalisme, kecemerlangan bertugas, pembaikan mutu, peningkatan produktiviti akan dapat membangunkan organisasi dan menepati kehendak Islam.

Sekiranya ciri profesionalisme dapat dipenuhi berlandaskan nilai-nilai murni Islam sudah pasti peranan Angkatan Tentera Malaysia dapat mencapai Maqasid as-syariyyah iaitu menjaga agama, menjaga akal, menjaga jiwa, menjaga kehormatan dan menjaga harta.

Semoga ATM terus berkembang maju dan ke arah lebih dinamik di bawah dua kepimpinan yang baru iaitu Jeneral Tan Sri Azizan Ariffin sebagai Panglima Angkatan Tentera dan Y.B Dato' Seri Dr Ahmad Zahid Bin Hamidi sebagai Menteri Pertahanan. Selamat menyambut ulang tahun ATM ke 76.

No comments:

DEFISIT SOSIAL GUGAT SEMANGAT PERPADUAN, ROSAK ERTI KEMERDEKAAN

 -------------------- Rencana yang telah disiarkan dalam Berita Harian 6 September 2024