Salah satu pendidikan ditekankan Rasulullah SAW ialah ukhuwah atau persaudaraan yang dibina atas dasar kasih sayang sesama insan. Ukhuwah dan kasih sayang atas nama Allah tidak hanya mendapat ganjaran, ia juga meningkatkan kualiti iman. Sabda Rasulullah SAW: “Mencintai kerana Allah dan membenci kerana Allah adalah penguat simpul-simpul keimanan.” (Hadis Riwayat Ahmad)
Setiap individu Muslim perlu mencintai Muslim lain kerana Allah dan membenci kaum kafir munafik kerana Allah. Rasulullah SAW bersabda: “Dua orang Muslim yang bertemu kemudian bersalam, maka mereka mendapat keampunan sebelum mereka berpisah.” (Riwayat Abu Daud)
“Allah berfirman: “Sebenarnya orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.” (Surah al-Hujurat, ayat 10)
Ternyata banyak sekali kebajikan yang boleh dilakukan dalam Islam serta mendapat keampunan dan rahmat Allah SWT. Malah, menyapa dan bersalam dengan saudara seagama pun akan mendapat rahmat serta keampunan Allah. Sesungguhnya ini semua anugerah Allah yang amat besar dan indah.
Abdul Rahman bin Auf ialah Muhajirin yang berhijrah dan Saad bin Rabi pula kalangan orang Ansar. Abdul Rahman berhijrah tanpa membawa harta, tetapi Saad berkata kepadanya: “Saudaraku, rumah, kekayaan, pakaian dan seluruh harta milikku akan aku bahagi dua. Separuh untuk aku dan separuh untuk engkau.”Kedua-duanya tidak pernah kenal antara satu sama lain, tidak mempunyai hubungan kekeluargaan atau apa-apa kepentingan, tetapi oleh kerana kesan tarbiah Rasulullah SAW, Saad melakukan sesuatu yang amat dituntut Islam.Ini diingatkan Allah melalui firman: “Sebenarnya orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.” (Surah al-Hujurat, ayat 10)
Sesungguhnya Rasulullah SAW sangat menitikberatkan nilai kasih sayang dan persaudaraan. Mungkin kita tertanya apakah sahabat Rasulullah tidak pernah melakukan kesalahan terhadap sahabat mereka yang lain?
Ketika Umar al-Khattab menjawat jawatan khalifah, beliau ingin menguji sejauh mana perasaan ukhuwah, persaudaraan, kasih sayang dan mengasihi dalam kalangan sahabat. Apakah pendidikan atau benih yang disemai Rasulullah SAW benar-benar hidup dalam jiwa mereka. Umar al-Khattab telah memberikan 1,000 dirham kepada pembantunya dan berkata, “Pergilah berjumpa Abu Ubaidah bin al-Jarrah dan katakan kepadanya, Amir al-Mukminin telah memberikan wang untuk dibelanjakan sesuka hati tuan. Kemudian, tunggu sebentar lihat apa dilakukan Abu Ubaidah al-Jarrah.”Pembantu Umar melaksanakan apa diarahkan dan melihat Abu Ubaidah al-Jarrah mengagihkan wang yang diterima kepada pelbagai pihak yang memerlukan sehingga tiada yang tinggal. Pembantu Umar kembali dan melaporkan apa telah dilihatnya. Kemudian Umar memberikan lagi wang 1,000 dirham untuk diberikan pula kepada Mu’adz bin Jabal. Tindakan sama juga dilakukan Mu’adz bin Jabal dengan menyedekahkan kembali wang itu kepada orang ramai. Selanjutnya Umar memberikan wang kepada Sa’ad bin Abi Waqas. Beliau juga menyedekahkan wang itu. Melihat tindakan ketiga-tiga sahabatnya itu, lantas Umar berkata, “Alhamdulillah masih ada persaudaraan di hati mereka.”
Besarlah harapan kita supaya nilai kemurahan hati dan sifat persaudaraan sentiasa ada dalam diri setiap insan Muslim. Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang membela kehormatan saudaranya, maka nescaya Allah akan menjauhkannya dari neraka pada hari kiamat.” Maksud hadis ini ialah bagi seseorang yang tidak sanggup mendengar saudaranya dihina oleh orang lain dan dia sendiri tidak menghina saudaranya bahkan membela kehormatannya, maka Allah akan membebaskannya daripada api neraka. Mulai saat ini lepaskan diri daripada sikap benci dan dengki terhadap saudara seagama sehingga Allah mengampuni kita.
____________
Telah disiarkan dalam BERITA HARIAN pada 24 Januari 2013
No comments:
Post a Comment