Sunday, August 18, 2013

PERKASAKAN DAKWAH ISLAMIAH

Oleh: Dr Burhanuddin Jalal Walaupun cabaran dakwah masa kini makin banyak dan hebat, pendakwah perlu terus melaksanakan tugas menyampaikan risalah Islam seperti yang diperintah Allah SWT dan Rasul-Nya. Peringatan mengenai cabaran dalam berdakwah ini dinyatakan Nabi Muhammad SAW melalui sabdanya yang bermaksud: "Akan datang suatu masa nanti, umat-umat lain akan mengerumuni umat Islam seperti mereka merebut makanan. Salah seorang sahabat bertanya, adakah jumlah kami pada ketika itu sedikit? Rasulullah menjawab: Tidak, bahkan jumlah kamu pada ketika itu ramai tetapi kamu sekalian pada waktu itu seperti buih-buih di lautan. Sesungguhnya Allah akan mencabut dari dada-dada musuh kamu rasa takut terhadap kamu sekalian dan Allah akan menambah wahn dalam dada-dada kamu sekalian. Salah seorang sahabat, bertanya lagi: Apakah wahn itu ya, Rasulullah?. Rasulullah menjawab: Cintakan dunia dan takutkan mati". Berdasarkan hadis itu, ternyata jumlah yang ramai belum tentu menjadi penentu perubahan atau berkuasa untuk mengubah orang lain. Malah, musuh Islam tidak gentar terhadap umat Islam yang ramai kerana sudah diserang penyakit wahn atau lebih mengutamakan keduniaan, kepentingan diri dan tidak lagi mengutamakan agama atau cintakan kematian berteraskan mempertahankan agama yang suci. Tergoda dengan harta ditinggalkan musuh Ini seperti yang berlaku dalam perang Uhud, apabila tentera Islam tergoda dengan harta yang ditinggalkan musuh dan terus melanggar perintah dan ketaatan terhadap pesanan Rasulullah SAW. Ternyata jumlah yang banyak bukan menjadi faktor penentu dan jumlah yang kecil sekalipun mampu memberikan kesan atau impak dengan izin Allah SWT. Ini seperti yang berlaku dalam perang Badar. Firman Allah SWT yang bermaksud: "Berapa banyak (yang pernah terjadi), golongan yang sedikit berjaya menewaskan golongan yang banyak dengan izin Allah dan Allah (sentiasa) bersama-sama orang-orang yang sabar." (Al-Baqarah, ayat 249) Sesungguhnya dalam gerakan dakwah, khususnya dalam peringkat yang lebih besar merangkumi kepentingan umat dan negara seluruhnya, dukungan dakwah daripada peringkat kepimpinan negara sehingga kepada rakyat jelata amat diperlukan. Pihak berkuasa pemerintahan perlu melihat secara jelas kepentingan agama dan syiar Islam perlu terus ditingkatkan. Tentunya negara kita Malaysia tergolong dalam kategori ini. Faktor ini adalah kerana dalam Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menzahirkan kedudukan istimewa kepada agama Islam. Perkara 3, Perlembagaan Persekutuan menobatkan Islam sebagai agama Persekutuan dan dalam Perkara 11 pula, menjamin kebebasan agama kepada semua individu, namun dengan jelas melarang agama lain daripada disebarkan kepada seorang Muslim. Berdasarkan fakta tersebut ternyata dakwah Islamiah di Malaysia sudah sekian lama memasuki apa yang disebut sebagai `marhalah mihwar muasasi' iaitu tahap atau era dakwah aktif dalam pemerintahan negara. Berdasarkan tahap yang jauh itu, ia tidak bererti kita perlu meninggalkan tahap atau sejarah yang lama. Memasuki tahap yang baru ini juga bererti kita akan memasuki era dakwah yang lebih berat, penuh cabaran dan memerlukan komitmen yang lebih kuat dan mantap dalam usaha menyampaikan dakwah. Catatan: Rencana telah disiarkan dalam Ruangan Agama Berita Harian pada 15 Ogos 2013.

No comments:

DEFISIT SOSIAL GUGAT SEMANGAT PERPADUAN, ROSAK ERTI KEMERDEKAAN

 -------------------- Rencana yang telah disiarkan dalam Berita Harian 6 September 2024