Monday, February 16, 2015

ANGGOTA TENTERA SEJATI

Oleh: Dr Burhanuddin Jalal









Sejarah telah membuktikan bahawa tentera yang dididik di atas prinsip-prinsip Islam adalah perajurit atau tentera yang mantap dan berwibawa. Bagai contohnya terdapat kata-kata Abdullah bin Omar yang menyebut, “Kami menyanjung Jaafar bin Abi Talib (Panglima perang setelah Panglima Zaid bin Harithah mati syahid) dalam peperangan Mut’ah, kami dapati di bahagian hadapan badannya (termasuk muka) lebih dari 90 kesan pukulan, tikaman lembing dan panah, tidak termasuk bahagian belakangnya”.

Mati di medan perang merupakan cita-cita perajurit Islam, ia bukanlah sesesuatu yang membimbangkan bagi mereka, kerana mati syahid dalam perjuangan di jalan Allah adalah satu cara untuk mendapatkan keredaan, keampunan dan jaminan syurga.

Majoriti pejuang-pejuang atau tentera Islam zaman dahulu  memiliki peribadi istimewa, dalam menghadapi kesusahan, masa-masa kritikal., garang, tegas, bercita-cita tinggi mencapai  kemuliaan mati syahid, berdisiplin, taat, setia, tenang, bertimbang rasa, menghormati kewajipan dan berjuang berasaskan  akidah serta iman yang bersih. Sebab itu mereka sukar digugat, kerana Islam adalah rahsia di sebalik segala-galanya. Memadai dengan membandingkan keadaan bangsa Arab sebelum dan selepas Islam, untuk menilai dan mengetahui perubahan besar yang berlaku kepada mereka selepas Islam. Masyarakat  Arab sebelum Islam terkenal sebagai bangsa yang sentiasa berperang dan mereka mempunyai banyak pengalaman perang. Justeru itu  mereka memiliki ciri-ciri yang seharusnya ada pada setiap perajurit  seperti tidak takut mati, sanggup menumpahkan darah  secara murah untuk mempertahankan kumpulannya, Namun demikian mereka tidak dapat mencapai kejayaan sepenuhnya seperti mana selepas Islam. Tidak sampai 100 tahun mereka telah berjaya meluaskan kawasan pemerintahan dari Siberia di Utara hingga ke India di Selatan, dari China di utara  hinggalah ke Perancis di Barat.

Berdasarkan kenyataan tersebut jelaslah bahawa Islam merupakan perkara yang membawa perubahan besar kepada bangsa Arab sehingga mereka mampu menakluki sebahagian dari dunia ini. Kejayaan yang belum pernah  diperoleh oleh mana-mana bangsa sebelumnya. Dengan semangat dan penghayatan jihad yang unggul dan akhlak yang mulia, mereka telah merealisasikan firman Allah SWT yang bermaksud,“Kamu (Wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat Segala perkara yang baik dan melarang daripada Segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). dan kalaulah ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka: orang-orang yang fasik” (Al-Quran Ali-Imran 3:110).
______________________
Sebahagian dari petikan dalam buku yang bakal diterbitkan.

No comments:

DEFISIT SOSIAL GUGAT SEMANGAT PERPADUAN, ROSAK ERTI KEMERDEKAAN

 -------------------- Rencana yang telah disiarkan dalam Berita Harian 6 September 2024