PERADABAN Islam telah melalui proses yang amat panjang dan
ternyata peradaban Islam telah banyak menyumbang kepada kemajuan manusia dan
dunia seluruhnya. Ketika Eropah masih berada dalam abad kegelapan atau disebut
sebagai dark ages khususnya dalam
abad ke lima hingga abad ke 15, Islam telah maju dan mempunyai peradaban pada
abad ke 7 Masihi khususnya di negara-negara Afrika Utara dan Timur Tengah.
Ternyata pengaruh Islam begitu menonjol secara
global dalam pelbagai bidang kehidupan termasuk penyebaran ilmu pengetahuan,
sehingga agama dan tamadun Islam diterima di seluruh pelosok dunia.
Selain dari itu wacana serta peradaban Islam terus disemarakkan melalui
usaha-usaha dakwah Islamiah yang dilakukan oleh umat Islam melalui pendekatan
perdamaian serta menerusi pelbagai instrumen yang lain berdasarkan kesesuaian
masa, tempat dan zaman. Sejarah juga
telah mencatatkan perkembangan Islam di seluruh dunia telah dilakukan secara
universal atau sejagat dengan menjunjung tinggi nilai-nilai kemanusiaan,
perbezaan pendapat, penuh toleransi, kerukunan pelbagai budaya serta agama,
tiada diskriminasi serta kekerasan dalam menyebarkan nilai-nilai universal
Islam.
Sesungguhnya sejak 15 abad yang lalu nilai tersebut terus berkembang dan
perlu terus disuburkan dalam kalangan umat Islam serta dilaksanakan dalam
pelbagai kehidupan manusia. Kini kita sedang memasuki era Revolusi Industri
4.0, dan nilai-nilau murni Islam seperti yang telah dinyatakan perlu terus
disebar luaskan dengan penuh integriti serta keikhlasan.
Peradaban kemanusiaan yang dibina melalui
wacana Islam perlu terus disemarakkan melalui cahaya atau nur Islam yang
membimbing kehidupan manusia ke arah yang diredai Allah. Cahaya atau sinar
Islam juga perlu terus bersinar melalui ilmu pengetahuan yang membimbing
manusia dan dengan adanya ilmu manusia terus mampu untuk membina tamadun serta
peradaban baru.
Pelbagai cabaran yang dihadapi untuk terus menyebar
dakwah serta syiar Islam dalam era Revolusi Industri 4.0 perlu disambut oleh
umat Islam, khususnya generasi muda. Perkara ini penting kerana generasi muda
pada hari ini mempunyai literasi teknologi maklumat yang tinggi, berkemahiran
serta mempunyai minat yang tinggi serta mendalam. Selain dari itu revolusi
industri 4.0 ini menggunakan konsep penggabungan teknologi digital dan internet
serta kaedah konvensional yang bertujuan meningkatkan produktiviti, kecekapan
dan juga kepuasan pelanggan yang maksimum. ____________________________________________
Sebahagian dari rencana yang telah disiarkan dalam Berita Harian pada 12 Januari 2019.
No comments:
Post a Comment