Secara
umumnya ibadah puasa Ramadan ternyata dapat melatih serta membimbing diri serta
jiwa ke arah yang lebih positif. Ini bermaksud ibadah puasa dapat membina
kekuatan jiwa dan ketahanan diri dari pelbagai ujian serta godaan hawa nafsu
dan ini menepati apa yang telah disebut oleh Imam al-Ghazali dalam kitab Ihya Ulumuddin bahawa
puasa itu merupakan satu perempat daripada iman. Perkara ini turut
diperkukuhkan dengan kata-kata Imam Shafie yang pernah menyatakan bahawa
dirinya tidak pernah makan dengan kenyang dalam tempoh 16 tahun kecuali hanya
sekali sahaja. Ternyata banyak makan atau makan dengan penuh kekenyangan akan
menyebabkan pergerakan menjadi lembap, bersifat malas, cepat mengantuk serta
berat untuk melaksanakan ibadah.
Oleh
yang demikian, bagaimana dengan aspek pemakanan para pemimpin kita? Kita selalu
mendengar dengan kata-kata, “apakah yang boleh aku makan hari ini? atau soalan,
di mana aku akan makan hari ini? Atau siapakah yang akan aku makan hari ini?
Ini barangkali beberapa persoalan sinis yang berlegar dalam kalangan para
pemimpin secara umumnya. Untuk para pemimpin dalam pelbagai peringkat, ada
baiknya untuk kita menghayati bersama kata-kata Luqman al-Hakim apabila ia
menasihati anak lelakinya dengan kata-kata, “wahai anakku, jagalah
perut kamu, kerana bila perutmu kenyang, maka fikiran kamu tidur, kebijaksanaan
kamu kendur dan tubuh badan kamu malas melakukan ibadah”.
Daripada
huraian di atas, diperhatikan bahawa dalam suasana PKPB dan bulan Ramadan tahun
ini, terlihat seolah-olah para pemimpin kita agak kurang turun ke bawah untuk
membantu rakyat yang susah dan serba kekurangan serta mengalami kesukaran hidup
pada saat kini. Persoalannya sekarang apakah puasa dan ‘kelaparan’ pada
pemimpin kita agak asing dengan ‘lapar’ dan ‘puasa’ yang sebenarnya? Semoga
kita dapat bermuhasabah tentang diri kita dan nilai-nilai kepimpinan dalam
masyarakat kita pada hari ini dan semoga Ramadan tahun ini banyak mengajar kita
tentang kehidupan dan keikhlasan seperti sabda nabi SAW yang bermaksud, “Sesiapa
yang berpuasa dengan penuh keimanan dan pengharapan, diampunkan dosa-dosanya
yang telah lalu”.
______________________
Rencana telah disiarkan dalam BERITA HARIAN pada 15 Mei 2020 Muka Surat 44
No comments:
Post a Comment