Sunday, May 17, 2020

BUKU ' KEPIMPINAN KETENTERAAN'


Buku “KEPIMPINAN KETENTERAAN’ ini ialah hasil kerjasama bersama dengan Jeneral Tan Sri Dato' Seri Panglima Profesor Hj Zulkifli bin Hj Zainal Abidin, Kolonel Dr. Zahimi bin Zainol Abidin dan Kolonel Profesor Madya Dr. Burhanuddin bin Jalal. Buku ini diusahakan bersama sebagai ‘tribute’ kepada Jeneral Tan Sri Dato' Seri Panglima Profesor Hj Zulkifli bin Hj Zainal Abidin di atas usaha-usaha yang beliau lakukan sepanjang menjadi Naib Canselor Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM). Buku diterbitkan oleh UPNM Press pada tahun 2018. 

Buku ini menjelaskan tentang kepimpinan dan juga tentang profesion ketenteraan. Perlu ditekankan bahawa profesion ketenteraan merupakan kerjaya yang dipandang mulia oleh Islam bahkan satu penghormatan yang tinggi terhadap orang yang terlibat secara langsung dengan tugas-tugas ketenteraan. Orang yang gugur di medan peperangan atau tugas yang telah diamanahkan demi kepentingan agama, bangsa dan negara layak untuk digelar sebagai ‘syuhada’ jauh lebih bernilai daripada penghargaan yang diberikan di dunia ini. Dalam hal ini Nabi Muhammad SAW telah bersabda yang bermaksud, “Sesiapa yang mati kerana mempertahankan hartanya digelar sebagai syahid. Sesiapa yang mati kerana mempertahankan keluarga dan jiwa rakannya ia digelar sebagai syahid dan sesiapa yang mati kerana mempertahankan agamanya maka akan digelar sebagai syahid”. (Hadis Riwayat Said bin Zayd, Sunan al-Tirmizi, No. Hadis: 1421)

Allah SWT telah memerintahkan umat Islam supaya membuat persiapan dan membentuk kekuatan bagi mempertahankan agama, bangsa dan negara. Ini seperti mana  yang telah difirmankan oleh Allah SWT yang bermaksud;“Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya. Dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu, dan kamu tidak akan dianiaya”. (Al-Quran, Al-Anfal, 8: 60).

Berdasarkan ayat tersebut, bagi menghadapi semua keadaan, sama ada aman atau perang kita perlu kepada kekuatan tentera agar kita tidak dipandang remeh atau rendah oleh pihak musuh. Sumbangan ketenteraan amat besar ertinya kepada agama, bangsa dan tanah air. Kajian tentang ketenteraan dalam Islam masih sedikit jika hendak dibandingkan dengan kajian-kajian Islam dalam bidang-bidang lain. Kajian dalam bidang ketenteraan Islam banyak dikaitkan dengan kekhalifahan, imamah dan juga  isu-isu yang berkaitan dengan politik dan juga pemerintahan dalam Islam. Sejarah telah membuktikan bahawa konsep tentera dalam Islam pada mulanya hanyalah untuk mempertahankan agama (jihad) yang mempunyai kaitan dengan pemerintahan, nilai-nilai keadilan, kemerdekaan dan keselamatan.

Semoga buku ini dimanfaatkan oleh pembaca dan menambah lagi buku-buku yang berkaitan dengan ketenteraan dan kepimpinan. Selamat membaca. 

Judul Buku: KEPIMPINAN KETENTERAAN’
Penulis: Zulkifli Zainal Abidin, Zahimi Zainol Abidin, Burhanuddin Jalal.
Penerbit. UPNM Press
Tahun terbit: 2018

No comments:

DEFISIT SOSIAL GUGAT SEMANGAT PERPADUAN, ROSAK ERTI KEMERDEKAAN

 -------------------- Rencana yang telah disiarkan dalam Berita Harian 6 September 2024