Dakwah
Islamiah merupakan ajakan atau seruan ke arah penerimaan dan penghayatan ajaran
dan nilai-nilai Islam. Aspirasi ini dapat direalisasikan melalui pengurusan dan
perancangan dakwah yang sistematik sesuai dengan saranan al-Quran supaya dakwah
disampaikan dan disebar luaskan secara hikmat dan berkesan. Pelaksanaan dakwah
juga memerlukan kesungguhan dan
istiqamah.
Matlamat dakwah tidak akan tercapai
jika usaha dakwah hanya dianggap sebagai satu hobi masa lapang atau sekadar
memenuhi keperluan sesuatu masa atau tempat. Sikap berpuas hati dengan usaha
dakwah yang minimum tidak seharusnya wujud di kalangan pengikut Nabi Muhammad
s.a.w. Salah satu perkara penting yang menjayakan dakwah Islamiah ialah aspek pengurusan dakwah. Aspek
pengurusan dakwah yang mantap dan sistematik adalah keperluan asas kepada
kemajuan dan kecemerlangan dakwah. Perkara-perkara yang berkaitan dengan aspek
perancangan, pengorganisasian, pemantauan dan kepimpinan adalah antara aspek
pengurusan yang perlu difahami oleh pendakwah dan organisasi. Pengurusan dakwah
yang terancang akan memastikan objektif dakwah iaitu keselamatan dan
kesejahteraan umat tercapai.
Bagi Syed Othman al-Habsyi (1998),
Pengurusan dakwah adalah pengurusan yang
mampu menentukan dakwah matlamat dakwah
yang sebenar, menentukan objektif, strategi dan program yang wajar
dilaksanakan, mengawal dan melaksanakan segala
tugas yang telah ditentukan, mengenal pasti segala masalah serta
strategi pelaksanaannya dan membiayai segala program yang dirancang.
Berdasarkan kepada pengertian tersebut, pada umumnya pengurusan dakwah perlu
mempunyai perkara-perkara seperti, penentuan matlamat, objektif dakwah,
strategi dakwah, struktur pengurusan,
perancangan program dan juga belanjawan.
Pendapat seterusnya mengenai
pengurusan dakwah dikutip dari al-Burey yang menyatakan, pengurusan adalah
sebagai menyelaraskan tenaga manusia untuk mencapai matlamat kelompok sebagai manusia sosial yang perlu
berinteraksi antara satu sama lain. Manakala menurut Abu Majid Abduh pula
pengurusan adalah kegiatan tentang usaha memimpin, membimbing dan memupuk
individu serta merancang, menyusun dan
memantau segala proses seperti orang perseorangan, bahan, mesin, kuantiti,
kelengkapan, harta dan pasaran.
Secara khusus, pengertian
pengurusan dakwah boleh diertikan sebagai suatu
kegiatan terpimpin dengan menggunakan segala sumber organisasi sama ada
sumber kemanusiaan atau kebendaan dalam mencapai matlamat organisasi dakwah
atau jemaah . Manakala menurut Rozhan Othman (1990) pengurusan dakwah pula
merangkumi berbagai-bagai aktiviti-aktiviti dan penyusunan segala sumber
organisasi, termasuk tenaga manusia, untuk dijuruskan kepada pencapaian
matlamat dakwah.
______________________________
Rencana yang telah disiarkan dalam Dewan Tamadun Islam Bil 10 2020 Muka surat 44-47