Tuesday, September 22, 2020

Rakyat perlu bersama ATM jaga kedaulatan negara

 




ESOK, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan mengadakan perbarisan khas sambutan Hari Angkatan Tentera Malaysia Ke-87 yang diraikan 16 September lalu. 'Kedaulatan Negara Tanggungjawab Bersama' dipilih tema sambutan sebagai pendekatan berterusan memperkasakan pertahanan negara bagi melindungi kepentingan negara dan mempertahankan kedaulatan serta keutuhannya.

Setiap negara berdaulat mempunyai kekuatan pertahanan dan angkatan tentera untuk mempertahankannya daripada ancaman, gangguan atau tekanan bersifat ketenteraan pihak lain. Sudah tentu organisasi ketenteraan diurus, dibangunkan dan sentiasa bersiap sedia dalam aspek sumber manusia, aset, strategi serta doktrin bagi memenuhi keperluan pertahanan selaras perkembangan geopolitik dunia.

Tidak ada negara membiarkan kedaulatan dan kepentingannya terancam atau diceroboh pihak asing. Oleh itu, organisasi ketenteraan kompeten dan sentiasa siap siaga antara aspek sangat penting dalam negara, selain sokongan dan kekuatan daripada sumber bersifat bukan ketenteraan.

Pembangunan kekuatan ketenteraan antara negara berbeza dan bergantung kepada matlamat atau pendekatan bagi sesebuah negara itu. Ada yang membangunkan organisasi ketenteraan untuk tujuan peperangan, sebahagiannya hanya mempertahankan kedaulatan negara.

Pada hari ini, pendekatan pembangunan ketenteraan dapat dikaitkan aspek ketinggian risiko, teknologi dan kos. Ketinggian risiko bermaksud pembangunan organisasi ketenteraan perlu dilakukan berhati-hati dan strategik kerana jika tidak, akan membawa kerugian kepada negara dalam banyak aspek.

Ketinggian teknologi pula bermaksud kekuatan organisasi ketenteraan sentiasa dipengaruhi kemajuan teknologi hingga perlu meningkatkan aset ketenteraan berdasarkan kemajuan teknologi mengikut perkembangan semasa bagi menentukan tahap kekuatan, kualiti, kecanggihan dan kesiagaan ketenteraan.

Ketinggian kos dapat difahami dengan pembangunan kekuatan ketenteraan dikaitkan peruntukan perbelanjaan atau belanjawan tinggi terhadap sektor keselamatan negara. Namun, pembangunan ketenteraan perlu dilihat secara objektif, iaitu bertujuan mencapai keamanan, kemakmuran negara dan mempertahankan kedaulatan serta kepentingan nasional.

Seperti dijelaskan Panglima ATM, Tan Sri Affendi Buang, ATM perlu dilengkapi aset pertahanan terkini sejajar kecanggihan teknologi sistem pertahanan pada masa ini. Keperluan pertahanan bukan semata-mata elemen peperangan, sebaliknya persediaan menghadapi anasir yang boleh mengganggu-gugat keselamatan negara.

Perlu diakui sesebuah negara boleh meningkatkan kemampuan ketenteraan dan memiliki apa saja aset hebat, tetapi sesebuah negara itu juga perlu sensitif dengan keselamatan serta kekuatan ketenteraan negara jiran dan serantau bagi mengelak salah faham serta ancaman kepada pihak lain.

Sesebuah negara perlu rasional dan sensitif dalam keghairahan memiliki aset ketenteraan untuk mempertahankan wilayah dan kedaulatan masing-masing atau kepentingan nasional.

Menyorot istilah kepentingan nasional, ia merujuk istilah bahasa Perancis raison d'Etat. Peringkat awal kefahaman kepentingan negara terhad kepada sistem negara bangsa yang disebut sebagai Westphalia system.

Ia merujuk perjanjian Westphalia pada 1648 yang menekankan sistem pemeliharaan keseimbangan kuasa dan adanya pemerintahan berpusat serta wilayah jelas, rakyat umumnya memiliki asal usul dan bahasa sama serta pelbagai bentuk budaya mengikat.

Kepentingan nasional juga diertikan sebagai kemampuan minimum negara bangsa dalam melindungi identiti fizikal (wilayah, tanah), identiti politik dan identiti budaya yang merangkumi etnik, bahasa dan sejarah daripada gangguan pihak lain.

Seiring perkembangan zaman, kepentingan nasional berkembang, tetapi paling penting selaras keselamatan, keamanan, kedaulatan negara, kesejahteraan, kemakmuran rakyat dan perpaduan.

Dalam era globalisasi, banyak negara menekankan kepentingan nasional merangkumi isu berkaitan agama, budaya dan hak asasi. Konsep kepentingan nasional lebih banyak diaplikasikan sebagai politik matang yang mengemukakan perkara lebih realistik dan menjurus kepada kepentingan nasional semua pihak. Unsur utama dalam merumus kepentingan nasional perlu bersifat nyata dan boleh diukur. Ini merangkumi aspek melindungi identiti fizikal, keselamatan wilayah negara, kebebasan berpolitik dan hubungan etnik atau kaum.

Ternyata peranan ATM dalam tempoh 87 tahun penubuhannya menyumbang kepada mempertahankan kepentingan nasional negara. Fakta ini diperkukuh dengan pendapat Hans J Morgenthau yang menyatakan dalam bukunya In Defense of the National Interest.

Beliau menyebut strategi diplomasi perlu digunakan dalam usaha untuk melaksanakan kepentingan nasional negara dan ini dapat dicapai melalui hubungan baik dengan negara jiran dan juga diplomasi.

Menyentuh cabaran isu keselamatan global, ATM sewajarnya bersedia melengkapkan organisasi dengan aset pertahanan terkini sejajar kecanggihan teknologi pertahanan masa kini. Keperluan aset atau alat canggih ialah persediaan pertahanan penting, bukan berperang semata-mata.

ATM juga perlu bersedia dari segi sumber tenaga manusia kompeten bagi memenuhi keperluan diplomasi ketenteraan yang mampu melakukan hubungan baik dengan negara jiran dengan tujuan membina keyakinan dan kebolehpercayaan.

Ini sekali gus wujud jaminan sentiasa berkomunikasi dan menghindarkan kecurigaan, selain menjadi 'jiran baik' serta saling mempertahankan kedaulatan dan rasa hormat antara negara. Jika ini dapat dibina, sudah pasti isu keselamatan dapat dipertingkatkan, selain memacu kemajuan dan pertumbuhan ekonomi lebih pesat.

Dalam suasana khususnya cabaran pandemik COVID-19, ATM turut berperanan penting dalam tugasannya, selain perang disebut sebagai Military Operations Other Than War (MOOTW).

Petugas ATM sebagai barisan hadapan banyak membantu polis memantau dan memastikan orang awam mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hingga kini dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Sempena sambutan ulang tahun ATM juga, organisasi itu perlu menjadi penggerak bagi mengorak langkah memperkasakan pertahanan bagi melindungi kepentingan negara dan mempertahankan kedaulatan serta keutuhan wilayah.

Ini dapat dipenuhi beberapa pendekatan utama seperti tidak mengambil mudah keselamatan dan kestabilan negara, keperluan menggembleng pendekatan keseluruhan kerajaan dan keseluruhan masyarakat untuk pertahanan negara serta perkongsian berwibawa berasaskan prinsip berkecuali dan keselamatan bersama.

Semoga kesedaran rakyat terhadap keselamatan dan kedaulatan negara menjadi titik tolak untuk sama-sama peka terhadap pengurusan pertahanan serta isu keselamatan dalam pelbagai dimensi dan tidak menyerahkan kepada organisasi tentera sahaja kerana sesungguhnya 'kedaulatan negara adalah tanggungjawab bersama.'

Penulis adalah Pensyarah Kanan Jabatan Kenegaraan, Kepemimpinan dan Ketamadunan di Fakulti Pengajian dan Pengurusan Pertahanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia

No comments:

DEFISIT SOSIAL GUGAT SEMANGAT PERPADUAN, ROSAK ERTI KEMERDEKAAN

 -------------------- Rencana yang telah disiarkan dalam Berita Harian 6 September 2024