Monday, January 2, 2023

TAMADUN DALAM PELBAGAI DIMENSI



Buku ‘Tamadun dalam pelbagai dimensi’ merupakan gabungan usaha sarjana pelbagai bidang dari Fakulti Pengajian dan Pengurusan Pertahanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, sebagai usaha yang berterusan pihak fakulti dan universiti untuk terus meningkatkan peranan dalam perkongsian ilmu dalam pelbagai bidang ilmu serta memperkukuh peranan fakulti dalam bidang penerbitan akademik.

Dalam apa juga isu yang berkaitan dengan ketamadunan, apatah lagi isu-isu besar yang menyentuh pelbagai aspek kemasyarakatan dan kehidupan manusia, perspektif pemandangan yang terbaik dan yang paling utama ialah dilihat dari perspektif yang paling menyeluruh dan yang paling bersepadu. Ini adalah kerana peradaban atau tamadun merupakan entiti budaya yang terbesar dan yang paling inklusif tebaran dan cakupannya. Sebagai sebuah entiti budaya, peradaban merangkumi kehidupan keagamaan, kehidupan sosial, kehidupan ekonomi, kehidupan politik, dunia pendidikan, alam kebudayaan dan adat resam, dunia kesenian, dunia sains dan teknologi dan kehidupan selainnya. Tidak ada bahagian kehidupan manusia yang terlepas daripada cakupan peradaban. Oleh yang demikian pelbagai tulisan dan tema yang dihasilkan oleh para sarjana dalam buku ini sekali gus dapat menggambarkan kepelbagaian dimensi tamadun yang dapat membangunkan serta memajukan manusia pada keseluruhannya.

Dalam buku ini para penulis telah cuba menjelaskan dengan ringkas sifat dan hakikat tamadun dalam pelbagai dimensi. Sebagai entiti budaya yang dihasilkan oleh manusia, tamadun adalah bersifat komprehensif dan menyeluruh, bersifat serba meliputi, mencakupi dan merangkumi, dan bersifat kait mengait di antara satu bahagiannya dengan bahagian yang lain. Sifat kait mengait itu wujud kerana ia berkehendakkan kesatuan dan kesepaduan selaras dengan kecenderungan tabii pembinanya, iaitu manusia, kepada penghayatannya dalam dirinya dan juga dalam hasil ciptaannya. Bagi semua bangsa manusia, tamadun ialah hasil ciptaannya yang paling agung dan yang paling dibanggakan. Darjah saling berkaitan di antara juzuk-juzuk dan dimensi-dimensi tamadun berbeza, daripada sebuah tamadun sebuah tamadun yang lain. Dengan kata lain, darjah penghayatan kesatuan dan kesepaduan berbeza daripada sebuah tamadun ke sebuah tamadun yang lain.

Terima kasih kepada penulis yang telah menyumbang artikel bagi menjayakan penerbitan buku ini. Terima kasih semua.

_______________________________


PROF MADYA KOLONEL DR BURHANUDDIN JALAL -  30 Dis 2022

No comments:

LAHIRKAN RAMAI CENDEKIAWAN MUSLIM HADAPI PERANG PEMIKIRAN

Arikel yang telah disiarkan dalam Ruangan Agama BERITA HARIAN - 28 Januari 2024 (Ahad). Selamat membaca .