Wednesday, April 23, 2008

JUDUL BUKU: HIMPUNAN FATWA - DATO’ HAJI ABU HASSAN BIN
HAJI SAIL

PENERBIT : JABATAN MUFTI KERAJAAN NEGERI SEMBILAN

TAHUN TERBIT : 1998

ISBN: 98399281-3-9

FATWA ialah suatu perkataan dari bahasa Arab yang memberi erti pernyataan hukum mengenai sesuatu masalah yang timbul kepada sesiapa yang ingin mengetahuinya. Menurut kamus Lisan al-Arabi, fatwa menurut bahasa ialah : “Memberi fatwa tentang sesuatu perkara bererti menjelaskan kepadanya”. Dari segi istilah terdapat beberapa pandangan para Fuqaha’ dalam memutuskan maksud daripada istilah fatwa sebagaimana yang dikehendaki oleh Syariat. Antaranya:

• Menurut pendapat Fuqaha’ (Ulama’ Fiqh) dan Usuliyyun (Ulama’ Usul Fiqh):Fatwa ialah menerangkan hukum-hukum Allah s.w.t. dengan berpandukan dalil-dalil Syarak secara umum dan Syumul (Komprehensif).
• Al-Syatibi dalam Kitab al-Muwafaqat telah menjelaskan kedudukan Mufti katanya yang bermaksud, “ Kedudukan Mufti di kalangan umat ialah pengganti tempat Nabi s.a.w. kerana Ulama’ itu memusakai tugas para Nabi sebagaimana yang telah ditunjukkan oleh Hadis Rasulullah s.a.w. yang bermaksud : “Sesungguhnya Ulama’ itu adalah pewaris para Nabi dan Nabi tidak meninggalkan pusaka dinar dan dirham, tetapi mereka meninggalkan pusaka ilmu”.

Dalam konteks ini Dato’ Haji Hassan bin Haji Sail yang merupakan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan yang kedua, telah berkhidmat dari tahun 1969 hingga tahun 1987 dan salah satu bidang tugas yang berkaitan dengan jawatan mufti ialah memberi fatwa-fatwa yang berhubungan dengan keagamaan Islam.

Sehubungan dengan itu buku “Himpunan Fatwa – Haji Hassan Haji Sail ” yang diterbitkan oleh jabatan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan ini merupakan himpunan fatwa-fatwa yang telah diberikan oleh Dato’ Haji Hassan Haji Sail ketika beliau diamanahkan memegang Jawatan Mufti kerajaan Negeri Sembilan. Buku yang mengandungi 100 muka surat ini memuatkan fatwa-fatwa yang merangkumi pelbagai aspek masalah agama yang timbul di kalangan masyarakat umat Islam di Negeri Sembilan, khususnya yang berlaku dalam persekitaran tahun 70 an dan 80an.

Terdapat 146 fatwa yang telah diberikan yang berhubung dengan masalah-masalah yang telah dipecahkan kepada 23 bahagian. berkaitan dengan aspek akidah, taharah (kebersihan), Solat, zakat, haji/umrah, Quran/akikah, nazar/wasiat,jenazah, nikah, muamalat, wakaf, al-Quran, wanita,jenayah, lukatah, faraid., kesenian,dakwah, tasawuf, penentuan qariah, salam, mazhab dan hal-hal lain. Berdasarkan buku ini, fatwa yang paling banyak diberikan adalah berhubung dengan masalah nikah dan cerai. Kemungkinan pada waktu tersebut tahun 70an dan 80an banyak isu-isu yang berkaitan perkahwinan di luar qariah atau luar negara banyak berlaku di kalangan masyarakat Islam di negeri Sembilan kesan dari perubahan ekonomi dan sosial telah mengakibatkan berlaku perceraian, pernikahan tanpa persetujuan wali, kahwin dua dan juga isu-isu yang berkaitan dengan pemberian nafkah.

Selain dari itu juga Dato’ Haji Hassan bin Haji Sail sebagai Mufti, ternyata mempunyai pandangan dan pemikiran yang luas dalam memberikan fatwanya demi kepentingan ummah dan juga menjaga agama kerana jawatan sebagai seorang Mufti amat berat serta memikul amah yang besar dan sudah pastinya sebagai seorang ilmuwan beliau tetap melihat apa yang disebut sebagai ‘ad-Dharuriyyat al-Hams” atau menjaga kepentingan yang lima iaitu menjaga agama, menjaga akal, menjaga nyawa, menjaga harta dan menjaga keturunan. dalam memberikan fatwa-fatwa atau menyelesaikan masalah-masalah yang timbul. Sebagai contohnya dalam isu penyembelihan binatang dalam jumlah yang banyak di kilang atau di ladang penternakan, iaitu binatang ternakan disembelih sekali gus dengan menggunakan pisau elektrik yang boleh menyembelih seperti manusia dan pengawal suisnya adalah Muslim. Berdasarkan buku ini, dalam muka surat 35 Dato’ Hassan Haji Sail, dalam memberikan fatwanya dalam isu, beliau telah merujuk kepada fatwa yang telah diberikan oleh Dr. Ahmad Syaribi ulama Azhar dalam kitabnya “Yasalunaka Fiddin wal hayah” yang menyebut sah sembelihan tersebut sama ada disembelih seekor demi sekor atau semuanya sekali selagi sembelihan tersebut memenuhi syarat-syarat sembelihan mengikut syarak..

Selain dari itu, Dato’ Haji Hassan Haji Sail, dalam memberikan fatwa-fatwa sentiasa merujuk kepada kitab-kitab dan sumber yang muktabar atau yang berautoriti di kalangan ulama-ulama ahli sunnah wal-jamaah seperti dalam buku ini beliau merujuk kepada kitab-kitab tulisan al-Qurtubi, Dr. Wahbah az-Zuhaili, Dr. Abdul Kadir Audah dan juga kitab-kitab hadis dan tafsir yang sahih lagi muktabar.

Ternyata sekali himpunan fatwa-fatwa yang telah diberikan oleh Mufti Kerajaan Negeri Sembilan ini merupakan mutiara-mutiara ilmu dapat memberikan panduan kepada seluruh umat Islam bagi menjalani kehidupan ke arah seorang muslim, mukmin dan muhsin. Himpunan fatwa ini dapat menggambarkan kepentingan institusi mufti dalam menyelesaikan masalah agama, memberi panduan, membuat keputusan, tempat rujukan sekali gus menjadi teladan kepada umat sama ada dari segi keilmuan, kesungguhan, perlakuan dan juga pemikiran.

Secara keseluruhannya buku “Himpunan Fatwa” ini amat penting sekali untuk dibaca oleh seluruh masyarakat dalam usaha mendalami lagi ilmu dan penghayatan agama. Dalam konteks kelangsungan ilmu, buku ini boleh dianggap sebagai rantaian pengkajian dam bidang keagamaan dan sumbangan Dato’ Haji Hassan Haji Sail serta ahli-ahli fatwa yang berkhidmat di zamannya yang telah memberi penjanaan bidang keilmuan dan ini perlu terus digerakkan kepada generasi baru khususnya ilmuwan agama untuk terus mengkaji, menggali keilmuan Islam dengan tujuan dimanfaatkan oleh orang ramai. Malah tidak keterlaluan jika dinyatakan bahawa himpunan fatwa ini boleh dijadikan sebagai pencetus kepada himpunan fatwa-fatwa para mufti yang telah berkhidmat di negeri ini jika usaha-usaha tersebut belum dilaksanakan atau sebagai pencetus kepada pengkajian yang lebih mendalam terhadap masalah yang timbul pada masa lampau dan dapat disesuaikan pada zaman terkini dengan nilai-nilai Islam yang lebih objektif.

No comments:

LAHIRKAN RAMAI CENDEKIAWAN MUSLIM HADAPI PERANG PEMIKIRAN

Arikel yang telah disiarkan dalam Ruangan Agama BERITA HARIAN - 28 Januari 2024 (Ahad). Selamat membaca .