Tuesday, April 22, 2008

Kematangan dakwah KAGAT selepas 23 tahun

Kematangan dakwah Kagat selepas 23 tahun
Oleh MEJ. BURHANUDDIN ABDUL JALAL

ESOK, 16 April 2008 merupakan Hari Ulang Tahun Kor Agama Angkatan Tentera (Kagat) kali yang ke 23. Seluruh warga Kagat akan meraikan sambutan tersebut di Institut Latihan dan Kefahaman Islam Angkatan Tentera Malaysia (ILMI) di Port Dickson, Negeri Sembilan. Program sambutan yang diadakan pada tahun ini bukan sekadar pertemuan semata-mata tetapi ia merupakan detik atau saat untuk membaharui azam, tekad dan semangat di kalangan seluruh warga Kagat untuk terus menyemarakkan lagi usaha-usaha dakwah dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Mengimbau tentang sambutan ulang tahun Kagat ke-23, barangkali Kagat yang telah berperanan dalam ATM, sebagai penggerak nilai-nilai kerohanian, tentunya mempunyai pengalaman tersendiri dalam usaha menjalankan dakwah Islamiah dalam ATM.

Pengalaman 23 tahun Kagat dalam ATM tentunya telah mematangkan Kagat untuk terus berperanan lebih aktif dan cemerlang, sekali gus membawa Kagat dari alam keremajaan ke daerah kematangan dalam berdakwah.

Menyentuh aspek kematangan berdakwah, buku tulisan Dr. Yusuf Al-Qaradhawi yang berjudul, As-Sahwah Al-Islamiyyah Minal Murahaqah Ilal Rusyd, yang bermaksud Kebangkitan Islam: Dari Peringkat Keremajaan Ke Arah Kematangan, berkemungkinan mempunyai kaitan secara langsung dengan sejarah dan penglibatan usaha-usaha dakwah yang dilakukan oleh Kagat dalam ATM sejak penubuhannya pada 1985.

Dalam mukadimah buku tersebut, Al-Qaradhawi menceritakan bagaimana kebangkitan Islam telah berjaya mencorakkan pandangan umum terhadap Islam dan menarik penganutnya untuk kembali kepada cara hidup Islam yang menyeluruh.

Malah beliau telah menyebut; "Akan tetapi, kebangkitan ini telah dicemari dengan pelbagai pencemaran, yang mengeruhkan kesuciannya dan menambahkan kekeliruan terhadapnya dan merosakkan hakikatnya dan menyebabkan salah faham terhadap kehebatannya, yang mana kami katakan sebagai 'penyakit-penyakit kebangkitan ini', yang mana wajib bagi kita merawatnya dan tidak membiarkannya, dan membetulkannya dan tidak meninggalkannya begitu sahaja."

Selain itu, bersempena dengan sambutan kali ini, mungkin seluruh warga Kagat dapat melihat kembali peranan dan usaha-usaha dakwah yang telah dilaksanakan dalam usaha membantu ATM untuk membina modal insan berkualiti yang dapat berjuang dengan penuh komitmen dan bertanggungjawab bagi mempertahankan agama, bangsa dan negara.

Untuk itu pesanan beliau di dalam bukunya itu, tentu dapat dijadikan panduan. Antara lain menyatakan, "Segalanya boleh dilihat dengan adanya gejala melampau, tergesa-gesa, terlalu sibuk dalam perkara berbentuk teknikal daripada sibuk dalam perkara asas, sibuk dalam berdebat daripada memberi dan melakukan amal.

"Di sini boleh dilihat pada beberapa kumpulan dakwah yang bersikap taksub dan tertutup, jumud dan taklid, menyusahkan dan menakutkan, mengikut emosi dan perasaan, mementingkan perkara furuk' dan cabang lebih daripada perkara usul dan menghalakan dakwahnya ke arah keganasan dan kekerasan daripada berlembut dan bersikap rahmah."

Bagi melihat semula peranan Kagat dalam tahun-tahun yang awal penubuhannya, barangkali terdapat beberapa ciri keremajaan yang telah ditempuhi dan ini menepati apa yang telah dinyatakan oleh tokoh ulama itu. Antara lain Al-Qaradhawi menjelaskan: "Keremajaan adalah suatu peringkat yang dilalui oleh setiap manusia menuju ke arah peringkat dewasa dan matang, dan ia mempunyai ciri-ciri berikut:

lKuat dan pertumbuhan yang meningkat.

lAktif dan cergas yang bertambah.

lMimpi yang indah, angan-angan, fantasi dan khayalan.

lLebih mengikut perasaan dan emosi serta semangat.

lTergesa-gesa, kurang sabar dan kadang-kadang melampaui batas.

lSuka mempertahankan diri, merasakan diri betul sehingga sanggup melawan dan melanggar ketaatan terhadap orang yang berhak seperti ibu bapa dan guru.

lMinat terhadap sesuatu dan sikap suka meniru.

lMelampau dalam menentukan sesuatu perkara, sama ada secara lalai atau melampaui batas.

Berdasarkan ciri-ciri tersebut tidaklah bermaksud bahawa usaha atau peranan Kagat selama ini tidak menepati kehendak dakwah atau tersasar daripada yang sewajarnya. Akan tetapi apabila ia tidak diperbetulkan mungkin akan menyebabkan berlakunya perkara tidak baik sama ada ke atas organisasi ataupun anggota keseluruhannya.

Usaha-usaha dakwah di peringkat matang juga mempunyai persamaan dengan peringkat keremajaan dari segi pertumbuhan dan kekuatan serta aktif dan cergas yang berterusan.

Namun, peringkat matang ini juga mempunyai keistimewaannya seperti melebihkan akal daripada emosi, hikmat daripada kekuatan, tenang daripada lonjakan, sabar daripada tergesa-gesa, realistik daripada idealistik, bersefahaman daripada bermusuhan, bersikap adil daripada melampau, toleransi daripada taksub, hakikat daripada zahir, beramal daripada berdebat, bekerjasama daripada berpecah, berlembut daripada berkeras, dan mengikut sunnatullah dalam mengaturkan dunia dan masyarakat daripada impian yang khayal hingga ke tahap yang mustahil sekalipun.

Perlu kita akui semua gerakan dakwah Islam dalam zaman kebangkitan Islam masa kini, hampir kesemuanya pernah melalui peringkat keremajaan ini. Maka perlulah bagi mereka untuk keluar dari peringkat ini untuk memasuki peringkat yang baru iaitu peringkat matang dengan ciri-cirinya yang telah disebutkan.

Oleh yang demikian, adalah menjadi suatu tanggungjawab atas para ilmuwan dan ahli fikir di kalangan umat Islam yang telah dianugerahkan Allah dengan kematangan dan berpendirian teguh dalam tasawuf dan akhlak untuk menjalankan kewajipan mereka ini demi membimbing kebangkitan ini, memandu langkahnya atas dasar kewajipan berdakwah kepada kebaikan, menyuruh kepada yang baik, mencegah kemungkaran, berwasiat dalam agama, berpesan-pesan dalam kebenaran dan berpesan-pesan dalam kesabaran.

Oleh itu, dalam peringkat usia 23 tahun ini, peranan Kagat dalam ATM tentunya amat bermanfaat sekali jika sekiranya seluruh warga Kagat dapat menghayati apa yang Al-Qardhawi gariskan dalam usaha untuk memacu usaha-usaha dakwah dalam ATM.

Antara sepuluh langkah tersebut:

1) Daripada bentuk dan zahir, kepada hakikat dan asas.

2) Daripada bercakap dan berdebat, kepada memberi dan beramal.

3) Daripada beremosi dan berperasaan, kepada berakal dan berilmu.

4) Daripada furuk' dan cabang, kepada usul dan pokok.

5) Daripada menyusahkan dan menakutkan, kepada memudahkan dan menggembirakan.

6) Daripada jumud dan taklid, kepada ijtihad dan tajdid.

7) Daripada taksub dan tertutup, kepada toleransi dan terbuka.

8) Daripada melampau dan zalim, kepada sederhana dan adil.

9) Daripada keras dan ganas, kepada lembut dan rahmat.

10) Daripada berselisih dan berpecah, kepada berpadu dan bersatu.

Semoga ulang tahun Kagat ke-23 yang akan diraikan oleh seluruh warga Kagat ini, dapat memberikan azam dan semangat baru untuk terus berperanan dengan lebih cemerlang khususnya di bawah pimpinan Pengarah Kagat iaitu Mejar Jeneral Datuk Jamil Khir Baharom.

No comments:

LAHIRKAN RAMAI CENDEKIAWAN MUSLIM HADAPI PERANG PEMIKIRAN

Arikel yang telah disiarkan dalam Ruangan Agama BERITA HARIAN - 28 Januari 2024 (Ahad). Selamat membaca .