Monday, April 27, 2009

MEMPERKUKUH NILAI-NILAI MURNI TENTERA

Oleh MEJAR BURHANUDDIN ABDUL JALAL


Sebagai sebuah elemen dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM), ternyata peranan dan fungsi Kor Agama Angkatan Tentera (Kagat) semakin ditagih dalam usaha meningkatkan tahap profesionalisme ATM.
Dari aspek sejarah, peranan sesebuah unit atau bahagian yang berteraskan agama dalam organisasi ketenteraan bukanlah sesuatu yang baru.
Sejarah membuktikan kejayaan sesebuah angkatan perang banyak bergantung kepada nilai-nilai murni yang berjaya diterapkan kepada setiap anggota yang terlibat. Kualiti ketenteraan tidak hanya dilihat pada kejayaan yang dicapai dalam peperangan tetapi ia juga ditentukan oleh kualiti individu yang merangkumi aspek fizikal, spiritual dan mental.
Di dalam Angkatan Tentera Amerika Syarikat umpamanya, Kor Chaplin telah ditubuhkan selepas Perang Dunia Kedua. Sejak penubuhannya, jabatan ini berfungsi mengajak anggota tenteranya menerapkan nilai-nilai agama masing-masing dengan memberi bimbingan agama, mengetuai upacara keagamaan dan memberi khidmat nasihat terutamanya dalam penyelesaian masalah keluarga.
Di pangkalan-pangkalan, pembinaan gereja dan penyelenggaraannya dibiayai oleh kerajaan. Satu program khas telah dijalankan iaitu Chaplin Religious Enrichment Development Operation (CREDO) sejak tahun 1991.
Pembinaan mental
Tujuan program ini adalah menyedarkan semua pegawai dan anggota Angkatan Tentera Laut supaya menggunakan nilai-nilai agama Kristian, Islam dan Nasrani bagi meninggikan sikap integriti, amanah, komitmen dan keberanian. Program ini dikendalikan secara khemah hujung minggu. Ia mesti dihadiri oleh semua peringkat pegawai dan anggota di dalam empat peringkat iaitu personel growth, spritual growth, marriage enrichment dan teen personel growth.
Pasukan tentera lain yang turut menubuhkan Kor Chaplin adalah Angkatan Tentera Filipina (1970-an) dan Australia.
Langkah-langkah penerapan nilai-nilai agama di dalam angkatan tentera juga dilakukan di dalam Angkatan Bersenjata Republik Indonesia (ABRI). Usaha itu dipanggil pembinaan mental atau BINTAL. Ia dikendalikan sebagai satu program yang terpenting dan mendahului segala bidang pendidikan sama ada pendidikan tentera atau pendidikan formal di sekolah-sekolah dan pusat pengajian tinggi.
Peningkatan kerjaya seseorang anggota tentera atau awam adalah tertakluk kepada pencapaiannya di dalam peperiksaan BINTAL.
Di Republik Arab Mesir pula, setelah diaibkan dalam peperangan Mesir-Israel pada Jun 1967, Presiden Gamal Nasser membuat siasatan mendalam terhadap punca Angkatan Tentera Mesir tidak berupaya menentang Israel.
Siasatannya mendapati antara punca kekalahan tersebut ialah latihan ketenteraan tidak dikendalikan secara profesional, peralatan tentera yang tidak diselenggara dengan sempurna di mana hanya sekitar 20 peratus yang beroperasi dan krisis moral di semua peringkat Angkatan Tentera Mesir.
Krisis moral yang dimaksudkan ialah sebahagian besar pegawai dan anggotanya berasa tidak puas hati menyebabkan mereka tidak berminat dengan aktiviti bukan ketenteraan.
Tindakan pertama Presiden Nasser untuk mengembalikan maruah negaranya ialah dengan memecat semua panglima dan ketua pasukan tentera termasuklah Menteri Perang, Samsuddin Badran. Mereka digantikan dengan para pegawai yang mengamalkan cara hidup dan etika ketenteraan yang berasaskan agama Islam.
Selanjutnya, amalan hidup berteraskan nilai-nilai Islam diperkenalkan dengan tegas. Mereka yang tidak boleh mematuhinya dipaksa keluar dari perkhidmatan tentera. Kemuncak kepada usaha-usaha ini adalah melancarkan serangan mengejut dengan menyeberangi Terusan Suez untuk menyerang kedudukan tentera Israel pada bulan Ramadan 1973 (Perang Ramadan).
Di dalam perang ini, Mesir berjaya membebaskan terusan Suez dan sebahagian besar Semenanjung Sinai yang ditakluki tentera Israel semasa Peperangan Arab-Israel pada tahun 1967.
Jelas kepada kita pentingnya nilai-nilai positif berteraskan agama terpahat dalam sanubari setiap anggota dan pegawai dalam sesebuah angkatan tentera. Nilai-nilai murni ini banyak mempengaruhi misi dan perjuangan sebagaimana yang ditetapkan.
Dalam konteks Malaysia, peranan sama yang diletakkan kepada institusi keagamaan iaitu Kagat. Ia ditubuhkan pada 16 April 1985, merupakan kesinambungan perkhidmatan agama yang telah wujud sejak penubuhan Rejimen Askar Melayu Diraja pada tahun 1933 lagi.
Kagat sebagai generasi yang mewarisi usaha-usaha dakwah Islamiah dalam ATM, ternyata berperanan dengan baik dan cemerlang membantu ATM khususnya dalam pembinaan modal insan yang berwibawa dan cemerlang dalam profesional ketenteraan.
Menyuburkan rohani
Ini dibuktikan dengan misi Kagat iaitu membantu ATM meninggikan tahap profesionalisme menerusi pendidikan Islam serta memberi khidmat keagamaan kepada seluruh warganya.
Dalam hal ini, Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Abdul Aziz Zainal dalam bukunya Marksman: The target for the Malaysian Army menyebut: "Nilai agama akan membentuk prinsip agama, moral positif dan komitmen terhadap maruah insan. Ia menyuburkan rohani seseorang dan mencegah mereka daripada melakukan kejahatan secara menyeluruh. Nilai ini perlu dipupuk secara berterusan untuk mengekalkan tingkah laku yang terbaik dalam diri seseorang".
Selain itu, Panglima Tentera Darat Malaysia , Jeneral Tan Sri Muhammad Ismail sempena sambutan ulang tahun Tentera Darat Malaysia (TDM) ke 76 baru-baru ini berkata, TDM sebagai sebuah organisasi yang dinamik serta mempunyai misi dan visi perlu terus memperkukuhkan budaya kecemerlangan dengan nilai-nilai teras seperti kualiti, integriti, inovasi, disiplin, akauntabiliti dan profesionalisme.
Berdasarkan dua pernyataan tersebut ternyata nilai agama menjadi teras untuk membina sebuah angkatan yang profesionalisme. Pendek kata, nilai agama atau kerohanian menjadi teras dalam kejayaan sesebuah organisasi ketenteraan.
Kenyataan ini diperkukuh dengan pendapat Abdullah al-Namiri dalam bukunya Al-Harb 'Abra al-Tarikh mencatat perakuan Field Marshal Montgomery yang memperakui kekuatan spiritual adalah elemen terpenting yang menentukan kecemerlangan seseorang anggota di medan tempur.
Menyedari cabaran-cabaran tersebut, adalah penting bagi seluruh warga Kagat mengambil peringatan apa yang telah disebut oleh Muhammad Abduh (2004) dalam bukunya Madza ya'ni intimaai lid-dakwah yang menjelaskan pentingnya setiap individu atau organisasi yang terlibat dalam dakwah sentiasa memperkukuh dan memperbaharui komitmen dalam dakwah.

No comments:

LAHIRKAN RAMAI CENDEKIAWAN MUSLIM HADAPI PERANG PEMIKIRAN

Arikel yang telah disiarkan dalam Ruangan Agama BERITA HARIAN - 28 Januari 2024 (Ahad). Selamat membaca .