OLEH : MEJAR BURHANUDDIN ABDUL JALAL
MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI dalam kabinet baru, khusus bertanggungjawab menjaga Hal ehwal Islam, YB Senator Mejar Jeneral (B) Dato’ Jamil Khir Bin Baharom, menyatakan dalam Mingguan Malaysia 12 April 2009 yang lalu, bahawa beliau akan meneruskan usaha-usaha yang telah dilaksanakan oleh menteri yang terdahulu iaitu YB Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (kini Menteri Pertahanan), dalam peningkatan syiar Islam dan bersedia untuk menghadapi cabaran dalam meningkat imej Islam serta membina kekuatan umat Islam di Malaysia bertunjangkan kekuatan akidah Islam yang murni.
Salah satu program yang diwujudkan semula selepas 30 tahun dihentikan ialah program Bulan Dakwah yang dikendalikan bersama oleh Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM dan juga Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) serta dibantu oleh semua agensi pusat kerajaan persekutuan dan kerajaan-kerajaan negeri. Ternyata program tersebut mampu menyemarakkan semula semangat dan komitmen dakwah di negara ini, dan walaupun program tersebut telah berakhir ini tidak bermakna matlamat yang ingin dicapai melalui program tersebut selesai atau tamat begitu sahaja. Usaha-usaha penerusan perlu dicari melalui program atau kaedah lain bagi kesinambungan untuk mencapai hasrat atau matlamat yang telah digariskan. Antara matlamat Bulan Dakwah yang telah dilaksanakan itu adalah untuk:
• Mendidik, membina kesedaran dan penghayatan cara hidup mengikut ajaran Islam secara menyeluruh dan kontemporari dengan cara memberi penjelasan dan penghayatan kepada masyarakat Islam tentang pentingnya mengamalkan prinsip-prinsip kehidupan dalam Islam (nizamul hayah) berasaskan kepada ketamadunan (hadharah).
• Merealisasikan Islam sebagai agama yang membentuk penyatuan ummah dan fikrah ke arah membangunkan tamadun sejagat dengan kaedah menggerakkan usaha dakwah secara bersepadu antara agensi-agensi kerajaan, pihak swasta dan badan-badan bukan kerajaan (NGO's)agar dapat mewujudkan kesepaduan dalam 'wehdatul fikri ' dan 'wehdatul amal’ dalam menjalankan kerja-kerja dakwah.
• Membina nilai pembangunan insan dari aspek intelektual (IQ), emosi (EQ) dan rohani (SQ) bagi melahirkan umat yang berdaya saing dengan cara menyatukan antara gerakan usaha dakwah 'bil lisan ' dengan usaha dakwah 'bil hal' dalam satu perancangan program yang tersusun selama sebulan menerusi program-program ceramah, forum, seminar serta khidmat sosial yang mencakupi aspek keagamaan, kebajikan, ekonomi dan keusahawanan, kesihatan, pendidikan, kesenian dan sebagainya.
Perlu ditegaskan bahawa dalam Perlembagaan Negara Malaysia, terdapat beberapa peruntukan dalam Perlembagaan negara dengan jelas menzahirkan kedudukan istimewa kepada agama Islam. Perkara 3 telah menobatkan Islam sebagai agama Persekutuan. Perkara 160 pula dengan jelas mendefinisikan seorang Melayu itu sebagai seseorang yang beragama Islam, berbahasa Melayu dan berbudaya dengan budaya kehidupan seorang Melayu. Peruntukan ini nyata sekali menzahirkan hakikat keterikatan umat Melayu dengan agama Islam di negara ini. Perkara 11 pula menjamin kebebasan agama kepada semua individu, namun dengan jelas melarang agama-agama lain daripada disebarkan kepada seorang Muslim sebagaimana yang dinyatakan secara jelas dalam peruntukan tersebut.
Berdasarkan fakta tersebut ternyata dakwah Islamiah di Malaysia telah sekian lama memasuki apa yang disebut sebagai ‘ marhalah mihwar muasasi’ iaitu tahap atau era dakwah aktif dalam pemerintahan negara. Berdasarkan tahap yang telah jauh itu, ia tidak bererti kita perlu meninggalkan tahap atau sejarah yang lama. Memasuki tahap yang baru ini, juga bererti kita akan memasuki era dakwah yang lebih berat, penuh cabaran dan memerlukan komitmen yang lebih kuat dan mantap dalam usaha menyampaikan dakwah. Oleh yang demikian semua isu yang berkaitan dengan dakwah sama ada kecil atau besar perlu ditangani oleh dengan penuh hikmat dan kebijaksanaan.
Bagi menjayakan usaha-usaha dakwah dalam sesebuah negara, Syaikh Abul Rahman Abdul Khaliq (2004) dalam bukunya telah memetik pendapat Syaikh Sayid Sabiq tentang perkara-perkara yang perlu diambil perhatian dalam usaha-usaha pembinaan dan kebangkitan dakwah Islamiah di antaranya:
Pertama: Kebangkitan dakwah sangat memerlukan pemahaman Islam yang menyeluruh. Semangat yang tinggi sahaja tidak mencukupi dan semangat itu juga perlu diiringi dengan pemahaman yang benar dan menyeluruh.
Kedua: Kebangkitan dakwah ini juga memerlukan sistem pengurusan dan pengorganisasian yang baik.
Ketiga: Sistem pengurusan yang baik itu juga memerlukan kepimpinan yang berkesan dan berwibawa. Kesemua sistem itu akan dapat meletakkan berbagai perencanaan dan aturan yang akan menghasilkan dakwah yang berkesan.
. Oleh yang demikian dalam memenuhi keperluan dakwah di tahap yang tinggi ini, semua pihak memerlukan kematangan iman dan takwa serta kematangan ilmu. Bagi memperoleh kematangan iman dan takwa, ia hanya dapat dicapai, apabila kita berjaya menempuhnya. Menurut Said Hawa dalam bukunya al-Mustaklashah yang merupakan syarah atau ulasan dari kitab Ihya Ulumudin oleh Imam al-Ghazali, telah menyenaraikan 13 perkara yang dapat membina kematangan iman dan takwa yang perlu dilaksanakan oleh setiap individu Muslim secara berterusan iaitu solat, zakat, dan infak, puasa, haji, tilawah al-Quran, zikir, tafakur, mengingati mati dan sedikit angan-angan, muraqabah,muhasabah, mujahadah, muaqabah, amar makruf, nahi mungkar, jihad, khidmat dan tawaduk.
Dalam aspek kematangan pengukuhan ilmu pula, tidak ada jalan lain melainkan belajar mendalami ilmu, membaca dan terus belajar sehingga akhir hayat. Proses tersebut perlu diteruskan sehingga mencapai tahap rabbani seperti yang telah firman oleh Allah yang bermaksud,
‘Tidaklah patut bagi seseorang manusia Yang Allah berikan kepadanya Kitab agama dan hikmat serta pangkat Nabi, kemudian ia tergamak mengatakan kepada orang ramai: "Hendaklah kamu menjadi orang-orang Yang menyembahku Dengan meninggalkan perbuatan menyembah Allah". tetapi (sepatutnya ia berkata): "Hendaklah kamu menjadi orang-orang Rabbaniyin (yang hanya menyembah Allah Taala - Dengan ilmu dan amal Yang sempurna), kerana kamu sentiasa mengajarkan isi Kitab Allah itu, dan kerana kamu selalu mempelajarinya”. Ali-Imran: 79)
Komitmen dan pelaksanaan menegakkan amal ibadat dalam Islam telah dilaksanakan secara sempurna oleh Rasulullah SAW, para sahabat dan generasi salafus-saleh yang terdahulu. Sebagai contoh, Umar bin al-Khattab akibat dari terlalai melaksanakan solat asar secara berjemaah, maka beliau telah menghukum dirinya sendiri dengan menginfakkan kebunnya yang telah melalaikannya. Begitulah perwatakan generasi terbaik dari umat Islam sebagaimana langsung diceritakan langsung dalam al-Quran. Firman Allah dalam surah al-Fath ayat 29 yang bermaksud,
“Nabi Muhammad (s.a.w) ialah Rasul Allah; dan orang-orang Yang bersama dengannya bersikap keras dan tegas terhadap orang-orang kafir Yang (memusuhi Islam), dan sebaiknya bersikap kasih sayang serta belas kasihan kasihan sesama sendiri (umat Islam). Engkau melihat mereka tetap beribadat rukuk dan sujud, Dengan mengharapkan limpah kurnia (pahala) dari Tuhan mereka serta mengharapkan keredaanNya. tanda Yang menunjukkan mereka (sebagai orang-orang Yang soleh) terdapat muka mereka - dari kesan sujud (dan Ibadat mereka Yang ikhlas). Demikianlah sifat mereka Yang tersebut di Dalam Kitab Taurat; dan sifat mereka di Dalam Kitab Injil pula ialah: (bahawa mereka diibaratkan) sebagai pokok tanaman Yang mengeluarkan anak dan tunasnya, lalu anak dan tunasnya itu menyuburkannya, sehingga ia menjadi Kuat, lalu ia tegap berdiri di atas (pangkal) batangnya Dengan keadaan Yang mengagumkan orang-orang Yang menanamnya. (Allah menjadikan sahabat-sahabat Nabi Muhammad, s.a.w dan pengikut-pengikutnya kembang biak serta kuat gagah sedemikian itu) kerana ia hendak menjadikan orang-orang kafir merana Dengan perasaan marah dan hasad dengki - Dengan kembang biaknya umat Islam itu. (dan selain itu) Allah telah menjanjikan orang-orang Yang beriman dan beramal soleh dari mereka, keampunan dan pahala Yang besar”.
Amalan-amalan lain juga perlu dilaksanakan dengan penuh keimanan. Zakat dan sedekah dapat menyembuhkan penyakit kedekut atau bakhil serta menerbitkan sifat kedermawanan, ibadat puasa sebagai pengawal hawa nafsu, ibadah haji membina jiwa pengorbanan, tilawah al-Quran melembutkan hati dan menguatkan iman, zikir dan doa mendekat diri kepada Allah,amar makruf dan nahi mungkar melatih keberanian, mengenal berbagai-bagai penyakit hati dan pintu-pintu syaitan agar ita tidak jatuh kepada maksiat dan kesesatan, tawaduk dan berhemah sebagai sarana penghalang kesombongan, tafakur untuk menajamkan pemikiran dan mengingatkan kematian agar tidak lalai dengan keseronokan dan nikmat keduniaan.
Dalam aspek mematangkan penghayatan ilmu, umat Islam perlu sentiasa belajar dan terus membaca. Tokoh ilmuwan dan Gerakan Islam Dr. Yusuf al-Qardhawiy menyebutkan enam jenis ilmu yang perlu dipelajari dan dikuasai oleh setiap individu Muslim khususnya para pendakwah iaitu, ilmu syariah, ilmu sejarah, ilmu bahasa, ilmu sosial, ilmu sains dan teknologi serta ilmu yang berkaitan informasi atau malah realiti. Selain dari itu dalam suasana alat baru masa kini, yang turut membawa pelbagai cabaran dan kerenah yang perlu dihadapi oleh semua generasi manusia. Dalam hal ini organisasi dan juga para pendakwah yang terlibat dengan usaha-usaha dakwah tidak dapat mengelak diri dari berdepan dengan cabaran yang muncul di abad ini. Sehubungan dengan itu, para pendakwah, organisasi dakwah memerlukan persiapan dari segi mental, fizikal dan juga spritual. Selain dari itu para pendakwah perlu meningkatkan lagi aspek keintelektualan dengan menguasai enam jenis fikah yang pernah disebut oleh Dr. Yusuff al-Qardhawiy dalam beberapa buah bukunya. Penguasaan ilmu fikah yang dimaksudkan di sini bukanlah ilmu fikah sebagaimana kita maklum, iaitu melibatkan ilmu ibadah, muamalat, jenayah, akhlak dan lain-lainnya, tetapi ilmu fikah di sini bermaksud penguasaan terhadap al-Quran dan ilmu Islam iaitu memahami sesuatu perkara secara mendalam dan tidak terbatas kepada ilmu fikah dalam bentuk memberi hukum dari nas yang berbagai-bagai dalam menghadapi sesuatu isu yang tidak didapati nas terhadapnya. Enam jenis fikah yang dimaksudkan ialah Fiqh al-Ikhtilaf (Fikah perbezaan), Fiqh al-Muwazanat (Fikah keseimbangan), Fiqh al-Nusus (Fikah nas-nas syarak), Fiqh al-Awlawiyat (Fikah keutamaan), Fiqh al-Waqi’ (Fikah realiti atau semasa) dan Fiqh al-Taghir (Fikah perubahan). Dengan mengetahui keenam-enam jenis fikah ini, pendakwah akan dapat mengetahui aspek yang perlu didahulukan dan aspek mana yang perlu dikemudiankan serta mana aspek yang bersifat dasar dan mana aspek dakwah bersifat ranting. Ini penting bagi mengelakkan berlakunya penumpuan tenaga kepada perkara yang kurang penting atau berbalah sesama sendiri sedangkan perkara yang lebih besar diketepikan begitu sahaja.
Oleh yang demikian dalam ruang dan peluang yang terbuka untuk meningkatkan syiar dan usaha-usaha dakwah seluruh umat Islam khususnya para pendakwah atau individu yang terlibat dalam organisasi dakwah atau sesiapa sahaja, perlu berjuang untuk melaksanakan objektif meninggikan syiar Islam di negara ini seperti mana yang telah disebut oleh Muhammad Abduh (2004) dalam bukunya ‘Madza ya’ni intimaai lid-dakwah’ menjelaskan tiga aspek penting dalam kejayaan dakwah iaitu:
• Iman yang kukuh.
• Organisasi dan kepimpinan yang mantap.
• Aktiviti atau gerak kerja yang berterusan.
Untuk itu dalam pelbagai strategi dan pendekatan yang digunakan dalam dakwah, kita juga sentiasa perlu menghayati firman Allah dalam surah firman Allah dalam ayat 125 Surah Al-Nahl yang bermaksud,
“Serulah ke jalan Tuhanmu (Wahai Muhammad) Dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran Yang baik, dan berbahaslah Dengan mereka (yang Engkau serukan itu) Dengan cara Yang lebih baik; Sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua Yang lebih mengetahui akan orang Yang sesat dari jalannya, dan Dia lah jua Yang lebih mengetahui akan orang-orang Yang mendapat hidayah petunjuk”.
Mejar Burhanuddin Abdul Jalal adalah pegawai KAGAT yang kini sedang melanjutkan pengajian peringkat Doktor Falsafah di Jabatan Pengajian Dakwah dan Kepimpinan Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
DEFISIT SOSIAL GUGAT SEMANGAT PERPADUAN, ROSAK ERTI KEMERDEKAAN
-------------------- Rencana yang telah disiarkan dalam Berita Harian 6 September 2024
-
Menurut Kamus Dewan, penghayatan adalah kata terbitan yang berasal dari kata hayat. Ia menggambarkan perihal atau proses menghayati atau men...
-
Mejar Burhanuddin Abdul Jalal Ketika mengajar bab sembahyang dengan menggunakan kitab 'Bahrun Mazi" tulisan Sheikh Idris Marbawi di...
-
RENCANA OLEH: MEJAR BURHANUDDIN ABDUL JALAL TAJUK: CABARAN DAKWAH ISLAMIAH MASA KINI Era dakwah masa kini berhadapan dengan pelbagai cabara...
No comments:
Post a Comment