Oleh: Mejar Burhanuddin Abdul Jalal
Menurut pendapat beberapa tokoh ulama dan ilmu Islam terdapat ciri-ciri umum bagi orang yang menghayati agama. Antara ciri yang disebutkan oleh mereka adalah ciri asas seorang Muslim iaitu tidak mensyirikkan Allah SWT dengan sesuatu apa pun, mendirikan solat, mengeluarkan zakat, berpuasa di bulan Ramadan dan mengerjakan haji. Ciri seterusnya ialah meyakini perkara ghaib, membelanjakan harta kurniaan Allah ke jalan-Nya, beriman dengan al-Quran dan kitab-kitab sebelumnya serta yakin sepenuhnya dengan adanya pembalasan di akhirat, menyeru kepada kebaikan dan menghalang kemungkaran, mendirikan solat, mengeluarkan zakat dan taat kepada perintah Allah dan rasul-Nya. Apabila mengerjakan solat, mereka khusyuk dan apabila di luar solat, mereka menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan sia-sia, berusaha membersihkan harta, menjaga kehormatan diri, menjaga amanah dan janji dan konsisten memelihara ( waktu dan kualiti) solat. Dalam kaitan ini, Muhammad al-Ghazali (1996: 9) menekankan solat sebagai asas kerana ia memberi kesan kepada tingkah laku. Ciri-ciri lain ialah gementar hati, bertambah keyakinan dan keimanan apabila disebut nama Allah dan dibacakan ayat-ayat Allah, sentiasa berserah kepada Allah dan rajin bersedekah (amal jariah), berlaku adil dalam kepimpinan, hidup dalam keadaan beribadat walaupun usia masih muda , hati yang sentiasa terikat dengan masjid, berkasih sayang kerana Allah, takut kepada (kemurkaan) Allah apabila didesak atau digoda oleh seseorang yang memiliki rupa dan kedudukan, menyembunyikan sedekah serta kemurahannya dan mengalirkan air mata ketika mengingati Allah secara bersendirian.
Berkaitan ciri-ciri kasih sayang kerana Allah SWT, Mustafa Masyhur (1993: 53; 1998: 14) menjelaskan ukhuwah filLah penting bagi menyedarkan saudaranya jika terseleweng dari jalan sebenar, kerana ikatan akidah mampu membina kekuatan sosio-religious iaitu masyarakat yang menghayati agama (Masyhur 1993: 267). Kesemua ciri yang dinyatakan terangkum alam pencirian yang dibuat oleh Abdul Rahman Ahmad al-Pattani (Oktober 2005) yang menyebut bahawa orang beragama (mutadiyyin) boleh dikesan melalui tiga asas. Pertama akidah, ia mentauhidkan Allah dan tidak terlibat dalam amalan syirik. Kedua dari segi amalan, ia menunaikan perkara fardu dan sunat, serta meninggalkan perkara haram. Ketiga kelakuan, ia mesti berakhlak dengan akhlak yang mulia.
Mahmud Syaltut (1966: 36-37) mencirikan orang yang menghayati agama berdasarkan tiga prinsip. Pertama, beriman dengan hidayah dan syariat Allah sebagai lanjutan dari beriman kepada Allah SWT. Ia menatijahkan seseorang yang meyakini keadilan Islam (melalui peraturan syarak) dan rela dengannya (al-Qaradawi 1984:10). Kedua, melaksanakan peraturan syarak dengan mengkhususkan ubudiyyah hanya kepada Allah SWT. Ketiga, sedar dan yakin tentang pengawasan Allah terhadap dirinya. Ciri penghayatan juga melibatkan penterjemahan hukum syarak dari perkara usul (utama) hingga furuk atau cabang, sehingga sehalus-halusnya atau sekecil-kecilnya (al-Qaradawi1984: 7; Abdul Halim Kadir, April 2006) termasuk bertindak tanduk seperti akhlak Rasulullah SAW. Ini selaras dengan Naguib al-Attas yang menekankan bahawa penghayatan agama mesti tergambar melalui sifat dan tingkah laku selaras dengan kefahaman itu (Jamiah Manap 2004: 146). Muhammad Nur Manuty (April 2006) dan Siddiq Fadzil (Mei 2006) pula berpandangan bahawa orang yang menghayati agama mestilah seseorang yang mempunyai keseimbangan ilmu Islamiyyat dan amal, antara berfikih dan bertasawuf. Kepincangan keduanya akan menatijahkan kedangkalan kepada makna penghayatan agama.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
DEFISIT SOSIAL GUGAT SEMANGAT PERPADUAN, ROSAK ERTI KEMERDEKAAN
-------------------- Rencana yang telah disiarkan dalam Berita Harian 6 September 2024
-
Menurut Kamus Dewan, penghayatan adalah kata terbitan yang berasal dari kata hayat. Ia menggambarkan perihal atau proses menghayati atau men...
-
Mejar Burhanuddin Abdul Jalal Ketika mengajar bab sembahyang dengan menggunakan kitab 'Bahrun Mazi" tulisan Sheikh Idris Marbawi di...
-
RENCANA OLEH: MEJAR BURHANUDDIN ABDUL JALAL TAJUK: CABARAN DAKWAH ISLAMIAH MASA KINI Era dakwah masa kini berhadapan dengan pelbagai cabara...
No comments:
Post a Comment