Monday, July 27, 2009

DUGAAN MENGUJI KEIMANAN

Oleh: Mejar Burhanuddin Abdul Jalal

Manusia seringkali menerima dugaan dan ujian. Ketika menghadapi dugaan atau kesusahan manusia biasanya akan merasai kebingungan. Seolah-olah kehilangan punca atau tidak tahu apa yang hendak dilakukan. Ternyata di saat ini tidak ada tempat lagi untuk mengadu kecuali kepada Allah SWT.

Dugaan, kesusahan atau musibah yang melanda itu akan terasa lebih berat jika sekiranya kita tidak mempunyai kemampuan atau keupayaan untuk menyelesaikannya. Bagi orang-orang yang mempunyai keimanan yang agak teguh juga kadangkala mengalami kekecewaan kerana tergugat dan kekuatan imannya tidak mampu untuk menghadapi masalah atau cabaran yang berlaku, dan keadaan ini mungkin bertambah teruk kepada orang-orang yang lemah imannya.

Musibah adalah dugaan atau ujian kepada orang yang benar-benar beriman atau pun tidak. Ujian kepada orang yang percaya atau yakin kepada Alah ataupun tidak dan juga untuk menguji tahap kepercayaan seseorang kepada Allah SWT. Mengapakah ujian diwujudkan oleh Allah dan mengapa perlu ada. Dalam hal ini Allah SWT telah berfirman yang bermaksud,

“Alif, Laam, Miim. Patutkah manusia menyangka Bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta”.


Ayat ini mengingatkan kita dalam menghadapi saat-saat kecemasan atau kritikal, kesusahan ataupun di waktu menghadapi musibah. Dengan membaca al-Quran ita dapat memahami apa yang belum kita bahawa sebelumnya dan setiap sesuatu atau hikmatnya yang tersembunyi yang tidak nampak di mata kasar atau pandangan zahir.


Dugaan ada di mana-mana

Kita perlu bermuhasabah atau menghitung diri kita serta mengambil iktibar dari apa yang telah berlaku atau kesalahan yang telah kita lakukan.

Dugaan atau cubaan akan menyerlahkan siapakah diri kita yang sebenarnya. Apabila kita telah memilih untuk patuh dan taat kepada Allah seta berserah kepadaNya, perlulah kita meredai apa yang berlaku dan pasrah kepadanya. Jika sekiranya berlaku musibah atau ujian Allah adalah kita kembali kepada amalan, perbuatan atau kepercayaan lama kita? Jika ini berlaku bererti kita gagal dalam menghadap ujian Allah. Namun apa yang lebih penting ialah kita tetap berpegang kepada prinsip keyakinan dan keimanan kepada Allah SWT dan saat yang paling penting ialah apabila kita akan berhadapan dengan Allah pada hari kiamat. Pada hari tersebut kita akan menyatakan dengan perasan gembira dan berkata, “Ya Allah aku tetap teguh berpegang kepada agamamu dan sentiasa memberi sumbangan yang aku mampu demi agamamu dan aku percaya dan reda dengan pertolonganmu walaupun aku menerima ujian dan musibah”.

Adakah kita mampu untuk menyatakan demikian atau sebaliknya? Untuk mencapai tahap itu kita perlu terus tabah, sabar serta terus mengukuhkan keyakinan kita kepada Allah SWT. Kita juga perlu mengakui bahawa dugaan dan ujian dari Allah kita sekadar hanya sekali atau kadang-kadang tetapi ia Allah akan terus menguji kita sama ada dalam senang atau susah, sihat atau sakit dan sebagainya. Dalam sejarah Islam, dugaan, cubaan atau ujian dari Allah merupakan pertanda akan datangnya kemenangan atau kebahagiaan dan yang pastinya sejarah akan berulang. Oleh yang demikian, kita perlu terus menanamkan keyakinan dan ketakwaan kepada anak-anak serta rakan-rakan serta memastikan keyakinan dan ketakwaan kepada Allah itu berakar umbi dalam hati, diri dan jiwa kita walaupun musibah kerap melanda!

No comments:

DEFISIT SOSIAL GUGAT SEMANGAT PERPADUAN, ROSAK ERTI KEMERDEKAAN

 -------------------- Rencana yang telah disiarkan dalam Berita Harian 6 September 2024