Oleh: Mejar Burhanuddin Abdul Jalal
Ramai orang yang umurnya singkat tetapi namanya diabadikan hingga dikenang orang hingga ratusan tahun. Sedangkan yang lain, lahir ke dunia ini tetapi ditutupi sejarah tersendiri. Usia seseorang tidak boleh ditentukan panjang atau pendek berdasarkan seperti mana anggapan ramai orang. Ia ditentukan oleh jasa atau karya besar yang telah dihasilkan.
Usamah bin Zaid telah memimpin pasukan tentera Islam ketika berusia 16 tahun. Pasukan yang turut mengandungi beberapa orang sahabat besar Nabi yang lain. Rasulullah bersabda, “ Dia lebih layak dan mampu”.
Selain dari itu Muhammad al-Fatih yang baru berusia 23 tahun telah berjaya menakluki Konstantinapole yang tidak dapat ditawan oleh pasukan tentera Muslimin pada waktu sebelumnya. Saad bin Mu’adz pula memeluk Islam pada usia awal 30 tahun dan meninggal dunia pada umur 37 tahun. Rasululullah bersabda, “ arsy bergetar sebab kematian Sa’ad bin Mu’adz . Jenazahnya begitu ringan. “”Para malaikat turut mengangkatnya” . Betapa beruntungnya Saad bin Mu’adz. Apakah yang telah dilakukan olehnya dalam tempoh tujuh tahun sehingga mendapat penghormatan yang tinggi? Tentunya ia telah mengabdikan seluruh kehidupan, jiwa dan raganya terhadap agama Allah.
Imam An-Nawawi, pengarang kitab “Riyad As-Syalihin”meninggal ketika berumur 40 tahun dan belum sempat mendirikan rumah tangga lantaran kesibukannya dengan ilmu pengetahuan. Tahukah kita berapa jumlah judul buku yang telah ditulis oleh Imam An-Nawawi? Imam Nawawi telah menghasilkan 500 judul buku. Bagaimanakah dalam kesibukan Imam Nawawi itu, beliau makan? “ Sesungguhnya aku tidak makan atau tidur kecuali aku terjatuh”. Kata Imam Nawawi. Disebabkan kesibukannya itu hampir-hampir beliau tidak mempunyai masa untuk perkara tersebut, sehingga ibunya berkata kepada Imam Nawawi, “Wahai anakku, aku telah menyiapkan makanan untukmu”. “ibu, saya sedang sibuk dengan ilmu” kata Iman Nawawi. Ibunya telah menyuapkan makan ke mulut Imam Nawawi tanpa disedari oleh Imam Nawawi sendiri. Setelah azan subuh berkumandang, An-Nawawi bertanya kepada ibunya, “ Ibu di mana makanan yang telah disediakan tadi”, tanya Iman Nawawi. “ Aku telah menyuapkan ke mulutmu”, kata ibunya.”Oh, aku terlupa, oleh kerana kesibukanku ini”.
Inilah contoh umat Muhammad yang berjaya di dunia dan di akhirat dan kita perlu melahirkan orang-orang seperti ini untuk memajukan umat.
Kita perlu membangunkan umat
Khalifah Umar al-Khattab pernah berkata yang menggambarkannya betapa prihatinnya beliau terhadap masa supaya ia tidak terbuang dengan sia-sia. “Bila aku boleh memejamkan mata? Bila tidur di malam hari, aku telah mengambil hak tuhanku, dan apabila tidur di siang hari aku telah mengambil hak rakyatku”.
Begitu juga penggunaan masa yang digunakan oleh Abu Yusuff anak murid Abu Hanifah terhadap kerja-kerja agama. Pada suatu ketika ia bersama anak-anak muridnya dan tiba-tiba ia pengsan. Setelah tersedar dia terus ingin membincangkan persoalan yang berkaitan dengan masalah keutamaan seseorang yang ingin menunaikan haji sama ada secara berjalan kaki atau menaiki tunggangan. Melihat keadaan tersebut anak muridnya berkata, “wahai Imam bukan sekarang waktunya, tuan perlu berehat”, pujuk anak muridnya. Dengan tegas Abu Yusuff menjawab, “ Anakku sekiranya ada sedikit umurku yang dapat membantu agama, pasti aku akan memberikannya”. Begitulah Abu Yusuff, dalam masa yang cukup singkat mana pun beliau sanggup berkorban demi agamanya.
Seterusnya terdapat lagi seorang tokoh yang telah banyak berkorban demi agamanya dan generasi seperti merekalah yang telah dapat mencipta kegemilangan umat Islam masa lampau. Ibnu Rajab pernah berkata, “ Dengan jariku inilah aku telah menulis lebih dari 2,000 jilid buku”. Orang-orang selepas itu telah mengira umur Ibnu Rajab dan membahagikan dengan hasil penulisannya dan didapati Ibnu Rajab telah menulis secara hitung panjang sebanyak sembilan buah buku sehari.
Ternyata kesemua mereka merupakan tokoh-tokoh yang membina generasi Islam yang mantap dan kukuh dari segi fizikal dan mental membangun umat serta mampu membina generasi yang mampu bertahan selama 1,300 tahun.
Namun demikian dalam tempoh 100 tahun kebelakangan ini, generasi muda yang ada hanyalah generasi yang banyak berbicara soal makan, sukan, hiburan serta aktiviti yang banyak membazir masa, tenaga dan wang serta kurang untuk membina generasi yang membina umat. Perkara ini perlu diubah dan generasi muda perlu sedar dan tahu ke mana perlu dituju.
Berlumba dengan masa
Penyataan di atas adalah gagasan dari al-Quran. Ini telah difirmankan oleh Allah SWT,
“Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertakwa”
Firman Allah lagi yang bermaksud,
“Berlumba-lumbalah kamu (mengerjakan amal-amal Yang baik) untuk mendapat keampunan dari Tuhan kamu, dan mendapat syurga Yang bidangnya seluas Segala langit dan bumi, Yang disediakan bagi orang-orang Yang beriman kepada Allah dan Rasul-rasulNya; Yang demikian ialah limpah kurnia Allah, diberikanNya kepada sesiapa Yang dikehendakiNya; dan Allah sememangnya mempunyai limpah kurnia Yang besar”.
Selanjutnya firman Allah yang brmaksud,
“Sesungguhnya mereka sentiasa berlumba-lumba Dalam mengerjakan kebaikan”
Pada asasnya kita disarankan untuk berlumba, berlumba dengan cepat dan pantas mengejar kebaikan dan kebajikan. Rasulullah SAW juga pernah bersabda yang bermaksud, “Bersegeralah melakukan aktiviti kebajikan sebelum dihadapkan tujuh rintangan, adakah kamu sekalian menunggu kefakiran yang menyisihkan, kekayaan yang melupakan, penyakit yang menyukarkan, tua yang membuat ketidakupayaan, kematian yang pasti ataupun dajjal kejahatan yang terburuk pasti datang atau kiamat yang amat dahsyat?”
Berdasarkan kenyataan di atas, kita semua perlu bangun dan bersegera untuk menghadapi cabaran dunia realiti. Pergunakanlah masa dengan sebaik-baiknya kerana masa itu emas. Bukan, masa bukan emas kerana emas boleh dijual beli sedangkan masa yang berlalu tidak akan kembali. Jika kita mensia-siakan masa bererti kita telah mensia-siakan hidup kita.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
DEFISIT SOSIAL GUGAT SEMANGAT PERPADUAN, ROSAK ERTI KEMERDEKAAN
-------------------- Rencana yang telah disiarkan dalam Berita Harian 6 September 2024
-
Menurut Kamus Dewan, penghayatan adalah kata terbitan yang berasal dari kata hayat. Ia menggambarkan perihal atau proses menghayati atau men...
-
Mejar Burhanuddin Abdul Jalal Ketika mengajar bab sembahyang dengan menggunakan kitab 'Bahrun Mazi" tulisan Sheikh Idris Marbawi di...
-
RENCANA OLEH: MEJAR BURHANUDDIN ABDUL JALAL TAJUK: CABARAN DAKWAH ISLAMIAH MASA KINI Era dakwah masa kini berhadapan dengan pelbagai cabara...
No comments:
Post a Comment