Thursday, December 3, 2009

ANTARA KERJA DAN IBADAT JANGAN ADA KEKELIRUAN!

Mejar Burhanuddin Abdul Jalal

Kita selalu menemui pandangan yang keliru tentang orang yang taat terhadap agama tetapi gagal dalam bidang pekerjaan kerana tumpuan yang berlebihan dalam ibadatnya. Mengapa perkara sebegini boleh terjadi sedangkan semua orang mempunyai pekerjaan? Al-Quran sering menekankan paduan antara aspek iman dan amal soleh. Tidakkah kerja seorang doktor yang membantu pesakit itu satu bentuk amal soleh? Atau ia tidak termasuk dalam amal soleh? Firman Allah SWT yang bermaksud,

“Golongan jin itu membuat untuk Nabi Sulaiman apa yang ia kehendaki dari bangunan-bangunan yang tinggi, dan patung-patung, dan pinggan-pinggan hidangan yang besar seperti kolam, serta periuk-periuk besar yang tetap di atas tukunya. (setelah itu Kami perintahkan): "Beramalah kamu Wahai keluarga Daud untuk bersyukur!" dan sememangnya sedikit sekali di antara hamba-hambaKu Yang bersyukur”.


Dalam hal ini jika kita mampu bekerja dengan baik, maka kerja yang baik dalam tempoh yang panjang itu merupakan tempoh kebaikan. Niatkan bahawa segala seluruh aktiviti atau profesion kita itu sebagai amal jariah yang merupakan sumbangan kepada seluruh umat dan agama.

Umar al-Khattab mengerjakan ladangnya secara berganti-ganti dengan salah seorang ahli Ansar. Sehari ia bekerja dan sehari dia bersama Rasulullah. Bagi Abu Bakar as-Siddiq pula yang keimanannya menyamai iman seluruh umat, pernah tiga kali menyumbangkan seluruh kekayaannya untuk kaum Muslimin, sewaktu hijrah, Perang Tabuk dan ketika memerangi murtad. Memang tidak menghairankan negara Abu Bakar seorang peniaga yang berjaya.

Begitu juga bagi Uthman al-Affan dan Abdul Rahman bin Auf yang banyak memberikan sumbangan kerana mereka juga peniaga yang berjaya. Mereka adalah di antara 10 orang sahabat yang dijanjikan syurga. Bagi Umar al-Khattab pernah berkata, “ Demi tuhan, aku tidak ingin ajalku menjemput kecuali dalam dua keadaan, saat berjuang di jalan Allah ataupun ketika mencari nafkah”. Berdasarkan kenyataan Umar al-Khattab ini ternyata betapa pentingnya pekerjaan dalam hidup kita!

Sekiranya kita benar-benar bertawakal kepada Allah sudah pasti Allah akan memberi rezeki kepada kita seperti mana Allah memberi rezeki kepada burung yang keluar pada waktu pagi dengan perut kosong dan pulang ke sarang pada waktu petang dengan perut yang kenyang!

No comments:

DEFISIT SOSIAL GUGAT SEMANGAT PERPADUAN, ROSAK ERTI KEMERDEKAAN

 -------------------- Rencana yang telah disiarkan dalam Berita Harian 6 September 2024