Mejar Burhanuddin Abdul Jalal
Kita mungkin bertanya kepada diri kita, “Apakah ganjaran yang diperoleh jika memberi nasihat kepada orang lain?”. Untuk itu mari kita teliti sabda Rasulullah yang bermaksud,
“Tiga orang pertama yang masuk syurga ialah orang yang syahid, seorang yang menjaga kesucian diri dan seseorang yang menyembah Allah dengan baik dan sempurna serta menasihatkan manusia”.
Dalam hidup kita ini mungkin kita sering menjadi orang pertama memasuki masjid, tetapi adakah kita sering menasihati orang lain. Jika demikian, kita tidak terpilih di antara orang yang pertama masuk syurga kerana kita tidak memberi nasihat atau peringatan kepada orang lain. Oleh yang demikian, kita perlu mula untuk menasihati orang lain bersesuaian dengan kemampuan kita dan janganlah pula kita berkata, “ nasihat saya tidak memberi kesan kepada sesiapa dan tidak merubah keadaan” tetapi yakinlah bahawa usaha itu akan mengubah keadaan atau seseorang dalam tempoh empat atau lima tahun akan datang. Sesungguhnya masyarakat akan berubah apabila telah biasa mendengar nasihat.
Dalam satu peristiwa seorang sahabat bertanya kepada Rasulullah, “Wahai Rasulullah aku hendak berikrar janji setia bersama Islam, apakah syarat yang perlu dipenuhi. Lalu Rasulullah bersabda, “ hendaklah memberi nasihat kepada setiap Muslim”.
Nasihat kepada umat
Umar al-Khattab pernah berkata, “ Tidak ada kebaikan yang dapat diharapkan dari umat yang enggan untuk saling menasihati dan umat yang tidak mahu menerima nasihat. Semoga Allah merahmati seseorang yang menasihati dari kekeliruan”.
Kepada orang-orang yang enggan menerima nasihat, dengarlah firman Allah yang bermaksud,
“Dan apabila dikatakan kepadanya: "Bertakwalah Engkau kepada Allah" timbullah kesombongannya Dengan (meneruskan) dosa (yang dilakukannya itu). oleh itu padanlah ia (menerima balasan azab) neraka jahanam dan demi sesungguhnya, (neraka jahanam itu) adalah seburuk-buruk tempat tinggal”.
Syarat-syarat nasihat
Terdapat beberapa syarat yang perlu diperhatikan untuk memberikan nasihat. Antaranya,
a. Keyakinan dan kebenaran nasihat yang hendak diberikan kepada seseorang. Kebenaran perlu diutamakan dan seseorang yang memberi nasihat hendaklah bertanggungjawab atas segala nasihat-nasihat yang diberikan.
b. Niat yang tulus ikhlas dalam memberikan nasihat dan tidak berniat untuk memperoleh sesuatu hasil dari nasihat yang diberikan.
c. Menyembunyikan nasihat dan tidak membuat publisiti berkaitan dengan nasihat yang diberikan. Selain dari itu penasihat juga hendaklah menyembunyikan perkara-perkara yang aib jika ada dalam proses nasihat tersebut berlangsung.
d. Memberikan nasihat degan lemah lembut dan kata-kata yang mesra. Ini mendasarkan firman Allah yang bermaksud,
"Kemudian hendaklah kamu berkata kepadaNya, Dengan kata-kata Yang lemah-lembut, semoga ia beringat atau takut".
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
DEFISIT SOSIAL GUGAT SEMANGAT PERPADUAN, ROSAK ERTI KEMERDEKAAN
-------------------- Rencana yang telah disiarkan dalam Berita Harian 6 September 2024
-
Menurut Kamus Dewan, penghayatan adalah kata terbitan yang berasal dari kata hayat. Ia menggambarkan perihal atau proses menghayati atau men...
-
Mejar Burhanuddin Abdul Jalal Ketika mengajar bab sembahyang dengan menggunakan kitab 'Bahrun Mazi" tulisan Sheikh Idris Marbawi di...
-
RENCANA OLEH: MEJAR BURHANUDDIN ABDUL JALAL TAJUK: CABARAN DAKWAH ISLAMIAH MASA KINI Era dakwah masa kini berhadapan dengan pelbagai cabara...
No comments:
Post a Comment