Monday, July 12, 2010

AKIDAH ASAS PENDIDIKAN ISLAM

Oleh: Mejar Burhanuddin Abdul Jalal


Sesungguhnya mengenal Allah, mentauhidkan Allah, meyakini diri kepada Allah, tidak dapat tidak, menjadi asas kepada pendidikan Islam yang perlu diberikan kepada golongan sasar dakwah. Meninggalkan dasar ini bererti melakukan kesalahan dan kelalaian yang amat besar bahkan merupakan satu pengkhianatan terhadap golongan yang didakwahi. Allah s.w.t. telah menjelaskan tentang pendidikan tauhid ini melalui kisah wasiat Luqman yang mengajar tauhid kepada anaknya. Firman Allah dalam Surah al-Luqman (31: 13-14) yang bermaksud,

“Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, semasa ia memberi nasihat kepadanya:" Wahai anak kesayangan-ku, janganlah engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), Sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar, dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibu bapa-mu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan)”.

Dari ayat di atas dapat dijelaskan didikan tauhid amat penting sehingga tertanam di sanubari setiap individu Muslim bahawa Allah adalah tempat bergantung. Ajaran tauhid juga dapat membentuk keperibadian supaya tabah, sabar, berani mengharungi cabaran hidup, berani mengorbankan jiwa bagi menegakkan kebenaran dan ajaran Ilahi. Melalui pendidikan tauhid juga akan terbentuk sifat ikhlas, kejujuran, keberanian dan tanggungjawab untuk melaksanakan tugas yang diyakini kebenarannya. Keyakinan dan keesaan Allah akan menempa peribadi yang tabah dan sabar dalam melaksanakan tugas kemanusiaan sebagai hamba Allah (al-Attas, Syed Muhammad Naquib (1992).

No comments:

DEFISIT SOSIAL GUGAT SEMANGAT PERPADUAN, ROSAK ERTI KEMERDEKAAN

 -------------------- Rencana yang telah disiarkan dalam Berita Harian 6 September 2024