Saturday, May 28, 2011

DAKWAH: MENJADI PEGAWAI PEMASARAN YANG BAIK


Oleh: Dr Burhanuddin Abdul Jalal

Untuk seorang pendakwah yang baik, kita perlu bertindak seumpama pegawai pemasaran yang berminat memasarkan produk. Sebagai seorang pegawai pemasaran kita seharusnya membuat persiapan diri yang baik. Antara ciri-ciri pegawai pemasaran yang baik adalah :]

1. Mesra pelanggan
2. Mempunyai PR baik
3. Mempunyai kemahiran persuasif tinggi
4. Mempakejkan persembahan produk menjadi baik (walaupun kadangkala produknya buruk)
5. Product Knowledge yang baik

Dalam kes sekarang, terutamanya para pendakwah muda selalu lupa untuk perlu menjadi seperti pegawai pemasaran yang baik. Sudahlah muka tak tahu senyum. Pakaian yang dipakai menakutkan sesiapa yang mendekati, coklat, kelabu, hitam menjadi warna rasmi. Kalau berpakaian terang dikatakan tidak ‘thiqah’. Bagaimana orang ingin dekat dengan Islam sebab masing berpandangan Islam ini bersifat elitis hanya orang tertentu sahaja.

Kesemua ini perlu diubah agar Islam ini dilihat agama ‘uptodate’. Agama untuk semua. Cara berpakaian, cara bercakap, cara mendekati ‘mad’u', cara mengorganisasikan persatuan ataupun aktiviti yang mengambil kira semua tak kira kaum dan agama. Ini yang perlu ditonjolkan dalam cara Islam sebenar. Bukanlah kita mahu menukar semua sekali sistem kepercayaan jemaah dalam kampus. Cuma perlu ada perkembangan dan perubahan.

Islam adalah jenama yang baik dengan rangkaian produk terbaik. Cuma apabila pendakwah ataupun orang agama tidak berjaya menjadi pegawai pemasaran terbaik ini menyebabkan kita tidak dapat menjual Islam kepada sasaran.

Dalam pengalaman kita sebagai pengguna, terdapat produk yang buruk tetapi, ia boleh dijual dengan baik di pasaran. Kadangkala kita blihat barangan yang bertaraf taraf picisan sahaja tetapi orang ‘beli’ juga sebab pemasaran yang baik. Inilah bezanya kita dengan para pendakwah agama lain. Produk mereka tidak dapat melawan produk Islam. Namun begitu usaha dakwah yang bersesuaian dengan spesifikasi citarasa semua golongan menyebabkan mereka berjaya berbanding Islam. Slogan ‘Christ Is Love’, ‘Buddhist Is Serenity’ dan pelbagai lagi menjadikan ia agama menarik bagi didekati.

Untuk itu kita sekarang perlu berubah. Berubah menjadi pegawai pemasaran yang baik. Sediakan diri dengan pengetahuan dan kemahiran yang perlu sebagai pegawai pemasaran terbaik. Ayuh kita pacu kembali kegemilangan Islam masa silam.

* disesuaikan dengan ceramah oleh En Fauzul Naim dari PTS Publishing.

Monday, May 23, 2011

MELONJAKKAN IMEJ YANG TERCALAR


Oleh: Dr Burhanuddin Abdul Jalal

Apakah yang dimaksudkan dengan imej? Terdapat dua maksud imej menurut Kamus Dewan (2002) :
a.Imej adalah gambaran atau cerminan bayangan.
b.Keperibadian atau watak seseorang atau sesuatu sebagaimana yang terpapar pada pandangan atau tanggapan orang atau pihak lain.

Menurut Kevin Lynch dalam bukunya "The Image of City" menyatakan bahawa imej adalah satu proses dua hala antara pemerhati dengan alam semulajadi. Imej boleh dikategorikan kepada tiga komponen iaitu identiti, struktur dan maksud. Satu imej yang berfungsi memerlukan satu identiti yang mana ia mempunyai satu sifat yang berbeza dengan yang lain. Kedua imej mesti termasuk isi keruangan atau corak hubungan di antara objek dengan pemerhati serta kepada objek yang lain. Akhirnya objek itu mesti mempunyai sesuatu maksud kepada pemerhati sama ada secara praktikal atau emosi. Beliau juga membahagikan imej kepada lima elemen iaitu :-

a. Mercu Tanda.
b. Laluan
c. Sempadan.
d. Daerah
e. Titik tumpu.

Perlu dijelaskan juga aspek komunikasi juga penting dalam meningkatkan imej organisasi dan seringkali kegagalan pihak kepimpinan dan pengurusan untuk melihat kepentingan aspek komunikasi dalam meningkatkan imej organissai. Klasifikasi aspek komunikasi yang dimaksudkan merangkumi:

• Komunikasi intrapersonal
• Komunikasi interpersonal
• Komunikasi kumpulan
• Komunikasi organisasi
• Komunikasi massa

Selain dari itu juga peningkatan imej juga melibatkan beberapa aspek yang lain seperti:

• Pengiklanan
• Perhubungan masyarakat
• Perhubungan kerajaan
• Komunikasi pemasaran
• Perhubungan media
• Perhubungan awam
• Promosi
• Penyelidikan

Perlu kita sedari bahawa pelanggan kini lebih cerewet dari dulu. Oleh itu, teknik-teknik komunikasi yang berkesan amat penting. Organisasi yang berjaya ialah mereka yang dapat memberi perkhidmtan yang terbaik melalui komunikasi yang berkesan kepada pelanggan. 'Pelanggan semestinya betul dalam apa juga keadaan’. Untuk itu kita perlu menukar pemikiran itu kepada : ‘ Pelanggan yang salah hendaklah diperbetulkan melalui teknik komunikasi yang berkesan supaya kita dapat mengelak dari dipersalahkan. Mari kita fikir-fikirkan.

Sunday, May 22, 2011

PSIKOLOGI DAKWAH


Oleh: Dr Burhanuddin Abdul Jalal

Salah satu bidang yang perlu dipelajari dan dihayati sebagai satu medium untuk menjayakan usaha dakwah ialah psikologi dakwah. Kita perlu memahami psikologi golongan sasaran dakwah. Kegagalan memahami aspek ini akan menyebabkan bukan sahaja usaha-usaha dakwah gagal mencapai matlamatnya tetapi juga menyebabkan berlakunya penolakan terhadap usaha dakwah yang dilakukan. Ilmu psikologi penting supaya kita dapat menguasai, memahami dan menyelami sanubari golongan dan sasaran dakwah kita. Dengan itu, membolehkan kita berinteraksi dan mendekatkan diri dengan mereka.

Psikologi merupakan salah satu daripada cabang ilmu sains kemanusiaan mengenai sikap, tingkah laku, kelakuan, perwatakan, pemikiran, perasaan dan sifat-sifat kognitif yang ada pada manusia serta dalam sesebuah masyarakat atau kelompok manusia. Takrifan ini adalah secara umum dan terdapat beberapa pakar dan ahli psikologi telah memberikan beberpa takrifan secara jelas berkaitan dengan maksud psikologi ini. Namun penulis tidak bermaksud untuk menulis semua maksud dan pengertian psikologi berdasarkan ilmuwan dalam bidang psikologi seperti Gustav Fechner, George A. Miller, Fillmore H. Sanford, Percival M. Symonds dan lainnya.

Tetapi apa yang penting bagi kita sebagai pendakwah atau pendokong dan pemimpin organisasi dakwah, adakah telah menggunakan pendekatan psikologi dakwah ini untuk meningkatkan usaha-usaha dakwah yang dilakukan atau telah melakukan kajian mengapa dakwah kita sering di pertikai oleh golongan sasaran. Mari kita fikirkan bersama dan bersama melaksanakannya.

Thursday, May 19, 2011

MEMPRAKTIK MUAMALAH ISLAM


Oleh: Dr Burhanuddin Abdul Jalal

Secara umumnya, Islam merangkumi aqidah sebagai dasar dan prinsip, syariat sebagai amalan dan tindakan kerja dan akhlak sebagai hasil dan penyempurna kehidupan.

Pembahagian ini sekadar memudahkan pengajian dan kefahaman, namun ketiga-tiga komponen ini saling berkait dan tidak boleh berpisah untuk melahirkan Islam yang sempurna dan lengkap. Pemisahan dalam pengajian bukan bererti mesti berlaku pemisahan sama dalam amalan dan tindakan kerana akidah tidak bererti tanpa bukti amalan syariat, dan akidah dan syariat tidak bermaksa tanpa akhlak. Manakala akhlak sahaja tanpa akidah dan syariat adalah rapuh dan tak bertahan kekal sampai ke akhirat. Perpaduan dan kesatuan akidah, syariat dan akhlak itulah dinamakan Islam. Islam itu indah, tetapi keindahannya tidak akan menyerlah sehingga ianya dilaksanakan dalam kehidupan.

Dalam aspek Mu’amalah (Pengurusan Masyarakat & Harta) bermaksud urusan pergaulan hidup manusia yang melibatkan akad/ kontrak dan hak milik manusia. Ia meliputi perkara berikut :
Mu’amalat
• Jual beli
• Riba
• Salam/ Tempah
• Gadaian
• Qaradh
• Tanam Menanam
• Pengairan
• Mudharabah
• Syarikah/ Perkongsian Harta
• Sewa Menyewa
• Wakalah/ Penjagaan Harta
• Hiwalah/ Pindah Hutang
• Dhaman/ Jaminan
• Wadi’ah/ Serah Amanah Harta
• Pinjam Meminjam
• Hibah/ Pemberian
• Luqathoh/ barang penemuan
• Wasiat/ Pusaka

Berdasarkan senarai panjang yang diberikan di atas adakah kita telah memahaminya secara jelas atau masih belum menguasainya. Jika belum mari kita sama-sama mempelajari dan mengkaji ilmu berhubung muamalah Islam ini dan selanjutnya membuat aplikasi dalam kehidupan kita seharian.

Tuesday, May 17, 2011

GENERASI PEMBINA UMAT


Oleh: Dr Burhanuddin Abdul Jalal

Mengeluh terhadap masalah dan cabaran yang dihadapi bukanlah Jalan penyelesaian yang efektif. Begitu juga dengan nostalgik terhadap kecemerlangan masa lampau tidak pula menjamin masa depan yang lebih baik. Terlalu pesimistik terhadap masalah yang dihadapi sekarang dan masa hadapan juga tidak menguntungkan.

Untuk itu umat Islam perlu tabah dalam melihat realiti kini, mengambil iktibar daripada sejarah lalu, serta yakin untuk membina masa depan yang lebih cemerlang. Untuk tujuan itu, beberapa perkara yang perlu dilakukan sama di peringkat individu, negara, rantau dan umat serta dunia secara keseluruhan.

Sebelum berbicara di peringkat yang lebih besar, kemungkinan di peringkat individu, kita boleh menyumbangkan sesuatu, sekaligus dapat memberikan kesan kepada aspek yang lebih besar. Untuk membina umat yang berkualiti, setiap individu perlu disedarkan bahawa membina diri dengan nilai-nilai yang telah memberi kekuatan sebelum, kini dan selamanya iaitu Islam. Islam wajar difahami , diyakini serta diamalkan seutuh dan setulennya.

Perkara-perkara asas yang bersifat fardu ain, persoalan akidah juga kepercayaan ibadat serta amalan, akhlak dan keperibadian perlu diperkukuh. Akidah umat perlu disuburkan dengan ilmu dan kefahaman yang benar-benar mantap. Barulah umat yang lahir itu akan mampu berhadapan dengan pelbagai cabaran.

Kemantapan akidah dan juga ibadat yang sahih perlu dihiasi pula dengan akhlak serta peribadi mulia. Maka akan lahirlah individu yang menghiasi diri dengan sifat-sifat mahmudah yakni sifat terpuji seperti ikhlas, istiqamah, sabar, bertawakal dan bersyukur. Hasilnya, terhindarlah diri individu tersebut daripada sifat-sifat mazmumah yakni sifat-sifat tercela seperti ujub, sombong, khianat, kufur, zalim dan tamak.

Individu yang baik pula perlu dibimbing dengan ilmu yang mantap. Ilmu tersebut sepadu dan seimbang sama ada yang bersifat fardu ain ataupun fardu kifayah. Ia perlu dikuasai secara mendalam serta berdasarkan pendekatan dan sumber yang benar lagi sahih. Hasilnya bukan sahaja melahirkan manusia yang baik tetapi generasi yang boleh memainkan peranan dengan berkesan dan bermakna dalam pembinaan masyarakat, ketamadunan umat serta warga dunia sejagat.

Saturday, May 14, 2011

BELIA CEMERLANG NEGARA TERBILANG



Dr Burhanuddin Abdul Jalal

Hari belia yang disambut pada 15 Mei setiap tahun dinegara kita adalah sebagai satu medan untuk setiap warga muda bermuhasabah dan memikirkan matlamat dan hala tuju yang ingin dicapai oleh mereka. Tema hari belia tahun ini “ Belia cemerlang negara terbilang” merupakan satu tema yang sangat menarik untuk kita renungi dan fikirkan bersama . sememangnya warga muda hari ini adalah cerminan wajah negara akan datang.
Menurut Prof. Dr. Yusof Al Qaradhawi, seorang sarjana dan pemikir Islam yang tersohor dan disegani masa kini, katanya ; “ Apabila kita hendak melihat wajah negara pada masa hadapan, lihatlah generasi mudanya pada hari ini, sekiranya golongan muda pada hari ini adalah dari kalangan yang berakhlak dan berhemah tinggi, tentunya negara kita akan datang adalah sebuah negara yang aman makmur ‘ baldatun tayyibatun wa rabbun ghafur” tetapi jika keadaan adalah sebaliknya maka bersedialah untuk berhadapan dengan kemungkinan buruk yang akan berlaku”.

Seorang pemikir dan penyair terkenal Mesir, Ahmad Syauki pernah bermadah : “ Sesungguhnya sesuatu bangsa itu kuat dan hebat kerana akhlaknya, jika rosak akhlak itu maka bangsa itu akan lenyap dan hilang”.


Sesungguhnya, peranan dan tanggung jawab belia pada hari ini adalah signifikan untuk menjana pembangunan negara bangsa dan cita-cita agama adalah cukup besar sekali. Peranan belia hari ini bukan sekadar membina kerjaya atau melakukan aktiviti-aktiviti untuk memenuhi masa lapang dan hobi sahaja tetapi warga belia sepatutnya turut sama menyumbang idea, masa dan tenaga ke arah pembangunan modal insan menjadi sebuah bangsa yang dihormati dan disegani di persada dunia. Selamat hari belia.

Saturday, May 7, 2011

TINGKATKAN KEMAHIRAN PENGURUSAN DAN PROFESIONALISME


Oleh: Dr Burhanuddin Abdul Jalal

Dalam lawatan Panglima Tentera Darat (TPTD), Lt Jen Dato’ Wira Haji Zulkifli bin Zainal Abdin ke ILMI baru-baru ini, beliau menyarankan agar warga KAGAT dapat meningkatkan aspek pengurusan dan profesionalisme bagi mempastikan organisasi dapat bergerak dengan lebih cemerlang dan memenuhi kehendak ‘stake holders’. Bagi mencapai tahap piawai serta keperluan kemahiran pengurusan dan profesionalisme ini, beberapa tokoh pengurusan telah merujuk kepada beberapa sifat unggul yang membolehkan seseorang atau organisasi itu, bertindak serta berbudaya profesionalisme, dengan kemampuan untuk memenuhi cirri-ciri berikut:

• Mempunyai kemahiran pengurusan serta pelaksanaan bagi menghasilkan kerja yang berkualiti daripada segi kos dan masa.
• Mempunyai keupayaan membuat keputusan secara berhikmah atau bijaksana berdasarkan pengetahuan dan nilai.
• Mempunyai fahaman asas perundangan.
• Mempunyai kebolehan berasaskan aspek IQ (keintelektualan mental) tetapi juga EQ (keintelektual emosi) bagi mengurus manusia.

Untuk itu wajar untuk seluruh warga KAGAT untuk bersama mengembleng tenaga bagi meningkatkan pengurusan dan tahap profesionalisme organisasi.

Tuesday, May 3, 2011

BELAJAR DARI ORANG JEPUN

Oleh: Dr Burhanuddin Abdul Jalal

Baru-baru ini negara Jepun di landa tsunami dan gempa bumi. Berdasarkan laporan media ternyata orang Jepun tidak panik malah bersabar dan tenang dengan apa yang mereka hadapi. Berdasarkan apa yang dilaporkan itu, banyak sekali yang kita boleh belajar dari orang Jepun ini apabila mereka menghadapi krisis. Antaranya:

• Tidak ada pencuri dan penyangak yang mengambil kesempatan.
• Tidak ada spekulator dan pengekploitasi yang mengambil kesempatan menaikkan harga barang atau menyorok barang keperluan.
• Tidak ada orang menyalahkan orang lain.
• Kesediaan untuk saling membantu dan tolong menolong, tidak ada perebutan semasa mengambil makanan, termasuk kanak-kanak.
• Pekerja keselamatan segera bertugas di luar waktu.
• Tidak perlu bantuan orang luar semua yang bantuan dari orang tempatan.
• Kerajaan Jepun berhati-hati membuat kenyataan.
• Semua pihak mendengar arahan pihak berkuasa dan pihak yang berautorti .

Berdasarkan penyataan-penyataan di atas, adakah perkara yang sama berlaku di tempat kita ? atau rakyat kita mash belum terdidik seperti mana orang Jepun sedangkan kita telah lama belajar akhlak Islamiah dan selalu menyebutnya. Elok kita fikirkan besama.

Monday, May 2, 2011

DAKWAH KONTEMPORARI MENGGUNAKAN ILMU KONTEMPORARI

Oleh: Dr Burhanuddin Abdul Jalal

Ilmu teras yang merangkumi fardhu ain wajib dikuasai oleh setiap individu dan ilmu ini perlu diperkukuhkan dengan ilmu kontemporari yang selari dengan ajaran Islam. Penguasaan ilmu memerlukan pengorbanan serta keazaman yang tinggi dan untuk itu kerja-kerja yang tidak berfaedah perlu ditinggalkan. Allah SWT telah berfirman dalam surah al-Mukmimun ayat 3, telah menyebutkan bahawa antara sifat orang mukmin yang berjaya ialah golongan atau kumpulan yang meninggalkan perkara-perakra ‘lagha’ atau sia-sia. Ibn Kathir dalam tafsirnya telah menyebut bahawa ‘lagha’ itu adalah "segala perbuatan batil termasuk yang mempunyai unsur-unsur syirik, perbuatan maksiat serta semua perkara yang tidak berfaedah sama ada berbentuk perwatakan atau pun perbuatan”.

Membuang masa pada perkara yang tidak berfaedah menjadi salah satu punca kejatuhan umat Islam sebelum ini seperti yang telah disebutkan oleh As-Syeikh Hassan Ali An-Nadwi(1951), dalam bukunya ‘ Kerugian dunia kerana kemunduran umat Islam”, “ Tetapi sayang sekali, kaum muslimin tidak mensyukuri nikmat Allah SWT. Selama berabad-abad lamanya umat Islam membuang waktu dan tenaga berfikir dan berfalsafah berhubung dengan perkara yang tidak bermanfaat. Jika mereka memfokuskan kepada ilmu yang menguntungkan Islam dan kaum muslimin, kedudukan mereka tidak menjadi separah itu. Umat hanya berbicara tentang perkara kecil dan saling berbahas untuk falsafah semata-mata. Kesemua ini memakan masa dan tenaga yang bukan sedikit. Hasil penemuan kaum muslim yang ada dari sudut kuantiti dan kualiti tidak mendatangkan apa-apa makna jika dibandingkan dengan penemuan Barat pada abad ke 17 dan ke 18 masehi (Hassan Ali An-Nadwi, 1951).

Oleh yang demikian apabila umat menyibukkan diri dengan perkara-perkara yang tidak berfaedah, kewajipan akan terabai dan keutamaan akan terbabas. Hasilnya ialah kejahilan dan kemunduran. Untuk itu sudah sampai masanya bagi umat Islam memfokuskan kepada ilmu-ilmu penting demi masa depan yang lebih cemerlang, gemilang dan terbilang.

LAHIRKAN RAMAI CENDEKIAWAN MUSLIM HADAPI PERANG PEMIKIRAN

Arikel yang telah disiarkan dalam Ruangan Agama BERITA HARIAN - 28 Januari 2024 (Ahad). Selamat membaca .