Monday, May 2, 2011

DAKWAH KONTEMPORARI MENGGUNAKAN ILMU KONTEMPORARI

Oleh: Dr Burhanuddin Abdul Jalal

Ilmu teras yang merangkumi fardhu ain wajib dikuasai oleh setiap individu dan ilmu ini perlu diperkukuhkan dengan ilmu kontemporari yang selari dengan ajaran Islam. Penguasaan ilmu memerlukan pengorbanan serta keazaman yang tinggi dan untuk itu kerja-kerja yang tidak berfaedah perlu ditinggalkan. Allah SWT telah berfirman dalam surah al-Mukmimun ayat 3, telah menyebutkan bahawa antara sifat orang mukmin yang berjaya ialah golongan atau kumpulan yang meninggalkan perkara-perakra ‘lagha’ atau sia-sia. Ibn Kathir dalam tafsirnya telah menyebut bahawa ‘lagha’ itu adalah "segala perbuatan batil termasuk yang mempunyai unsur-unsur syirik, perbuatan maksiat serta semua perkara yang tidak berfaedah sama ada berbentuk perwatakan atau pun perbuatan”.

Membuang masa pada perkara yang tidak berfaedah menjadi salah satu punca kejatuhan umat Islam sebelum ini seperti yang telah disebutkan oleh As-Syeikh Hassan Ali An-Nadwi(1951), dalam bukunya ‘ Kerugian dunia kerana kemunduran umat Islam”, “ Tetapi sayang sekali, kaum muslimin tidak mensyukuri nikmat Allah SWT. Selama berabad-abad lamanya umat Islam membuang waktu dan tenaga berfikir dan berfalsafah berhubung dengan perkara yang tidak bermanfaat. Jika mereka memfokuskan kepada ilmu yang menguntungkan Islam dan kaum muslimin, kedudukan mereka tidak menjadi separah itu. Umat hanya berbicara tentang perkara kecil dan saling berbahas untuk falsafah semata-mata. Kesemua ini memakan masa dan tenaga yang bukan sedikit. Hasil penemuan kaum muslim yang ada dari sudut kuantiti dan kualiti tidak mendatangkan apa-apa makna jika dibandingkan dengan penemuan Barat pada abad ke 17 dan ke 18 masehi (Hassan Ali An-Nadwi, 1951).

Oleh yang demikian apabila umat menyibukkan diri dengan perkara-perkara yang tidak berfaedah, kewajipan akan terabai dan keutamaan akan terbabas. Hasilnya ialah kejahilan dan kemunduran. Untuk itu sudah sampai masanya bagi umat Islam memfokuskan kepada ilmu-ilmu penting demi masa depan yang lebih cemerlang, gemilang dan terbilang.

No comments:

DEFISIT SOSIAL GUGAT SEMANGAT PERPADUAN, ROSAK ERTI KEMERDEKAAN

 -------------------- Rencana yang telah disiarkan dalam Berita Harian 6 September 2024