Monday, September 24, 2012
TINGKATKAN USAHA DAKWAH
Oleh: Dr Burhanuddin Abdul Jalal
Dakwah merupakan usaha perpindahan paradigma umat manusia kepada suatu tahap yang sesuai dengan tabiat semula jadi manusia ciptaan Allah SWT. Ini bermaksud, perpindahan berasaskan kesedaran daripada kekufuran kepada keislaman, kesesatan kepada kebenaran, kemungkaran kepada hidayah, negatif pada positif dan perkara-perkara buruk kepada kebaikan.
Selain dari itu, dakwah juga bermaksud sebagai usaha mengubah suatu situasi kepada situasi yang lebih baik dan sempurna, baik terhadap peribadi, organisasi ataupun masyarakat. Dakwah bukan sahaja sekadar usaha peningkatan pemahaman keagamaan, tingkah laku dan pandangan hidup sahaja, tetapi juga menuju sasaran yang lebih luas. Apatah lagi pada masa kini dakwah harus lebih berperanan menuju kepada pelaksanaan ajaran Islam secara lebih holistik dalam pelbagai aspek kehidupan A. Hasjmy dalam bukunya Dustur Dakwah menurut al-Quran (1994), menegaskan dakwah ialah satu kurikulum dan penerangan yang lengkap, juga satu kegiatan ajakan, baik dalam bentuk lisan, tulisan, mahupun tingkah laku, yang dilakukan secara sedar dan terencana dalam usaha untuk mempengaruhi orang lain.
Oleh itu jelas bahawa dakwah merupakan satu usaha serius yang dijalankan dalam usaha mengajak manusia kepada agama Islam dan hidayah-Nya demi kesejahteraan hidup di dunia dan di akhirat, serta melaksanakan tuntutan-Nya dan menjauhi perkara yang dilarang.
Menyedari hakikat tersebut usaha dakwah perlu digandakan bagi menyekat gejala sosial dari terus berkembang dan meningkat di kalangan masayarakat. Masalah gejala sosial yang melanda negara khususnya golongan muda berada pada tahap yang membimbangkan. Dalam masalah dadah, orang Melayu dikatakan yang paling ramai (71.4%) terlibat dengan kes penagihan dadah (Laporan AADK 2010). Sehubungan dengan itu apakah usaha-usaha dakwah atau pengajaran serta pendidikan Islam yang telah dilakukan di semua peringkat sejak dari tadika, sekolah rendah, sekolah menengah, institusi masjid, masyarakat dan seluruhnya tidak berkesan? Atau apakah pendekatan atau aspek pengurusan dakwah yang merangkumi aspek modul, pendekatan atau kaedah dakwah yang dilakukan oleh organisasi dakwah pada masa kini, perlu dilihat semula serta perlu dilaksanakan mengikut kesesuaian masa, golongan sasar dan tempat.
Sunday, September 16, 2012
KOMITMEN KAMI KEYAKINAN ANDA
Oleh: Dr Burhanuddin Abdul Jalal
Beberapa hari yang lalu Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak, Perdana Menteri Malaysia melalui blog beliau telah merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Angkatan Tentera di atas peranan dan usaha-usaha yang berteruskan yang dilakukan oleh ATM dalam mengekalkan keselamatan serta kesejahteraan negara. Ini diperkukuhkan lagi dengan ATM akan menyambut ulangtahun ke 79 pada 16 September ini dengan tema yang telah dipilih iaitu, “komitmen kami keyakinan anda”.
Secara umumnya profesion ketenteraan adalah sesuatu yang di pandang mulia oleh Islam bahkan satu penghormatan yang tinggi terhadap orang-orang yang melibatkan secara langsung dengan tugas-tugas ketenteraan. Orang-orang yang gugur di medan peperangan atau tugas yang telah diamanahkan demi kepentingan agama, bangsa dan negara dikalungkan sebagai ‘syuhada’ jauh lebih bernilai daripada penghargaan yang diberikan di dunia ini. Dalam hal ini Rasulullah bersabda yang bermaksud,“ Sesiapa yang mati kerana mempertahankan hartanya digelar sebagai syahid. Sesiapa yang mati kerana mempertahankan keluarga dan jiwa rakannya ia digelar sebagi syahid dan sesiapa yang mati kerana mempertahankan agamanya maka akan digelar sebagai syahid ”- Riwayat Abu Daud.
Sehubungan dengan itu orang-orang yang berjuang pada jalan Allah Taala dengan penuh keikhlasan dan hanya mengharapkan keredaan Allah tetap akan mendapat ganjaran besar seperti mana yang Allah telah janjikan melalui firmannya yang bermaksud, “Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) Bahawa mereka akan beroleh syurga, (disebabkan) mereka berjuang pada jalan Allah maka (di antara) mereka ada yang membunuh dan terbunuh. (balasan syurga yang demikian ialah) sebagai janji yang benar yang ditetapkan oleh Allah di dalam (Kitab-kitab) Taurat dan Injil serta Al-Quran; dan siapakah lagi yang lebih menyempurnakan janjinya daripada Allah? oleh itu, bergembiralah Dengan jualan yang kamu jalankan jual-belinya itu, dan (ketahuilah bahawa) jual-beli (yang seperti itu) ialah kemenangan yang besar”.( Al-Quran, at-Taubah 9: 111).
Sunday, September 2, 2012
MERDEKA 55 : TERUS MENYUMBANG UNTUK KEMAKMURAN NEGARA MASA DEPAN
Oleh: Dr Burhanuddin Abdul Jalal
Malaysia telah merdeka 55 tahun yang lalu, bumi kita subur mempunyai pelbagai hasil dan sumber alam yang kaya. Kita juga tidak kurang dari segi sumber tenaga manusia atau modal insannya. Tetapi kita masih menjual bahan mentah atau hasil bumi kita kepada orang lain dengan harga yang begitu murah dan kemudian kita mengimportnya kembali ke negara kita dengan harga yang mahal? Mengapa ini berlaku? Atau kita sekadar berserah?
Mungkin tahap kerja kita masih sekadar untuk memuaskan hati bos dan tidak untuk meningkatkan produktiviti sepenuhnya. Piawaian kerja yang dilakukan adalah untuk memenuhi keperluan pihak atasan walaupun ia mampu untuk melakukan ke tahap yang lebih baik dan tinggi lagi. Dalam satu kisah, Rasulullah memasuki masjid ketika masih di luar waktu solat dan didapati Abu Umamah berada dalam masjid dan Rasulullah bertanya, “ mengapa kamu duduk di sini?”. Abu Umamah menjawab, “ hutang yang banyak dan kerisauan yang melanda”. Rasulullah kemudian mengajar satu doa yang bermaksud, “ Ya Allah aku berlindung dari Mu perasaan gelisah dan sedih dan aku berlindung dari-Mu ketidakmampuan dan kemalasan”.
Berdasarkan doa yang dibacakan oleh Nabi itu ternyata ketidakmampuan dan juga sikap malas merupakan dua penyakit berbahaya, kita perlu sentiasa memohon perlindungan dari Allah semoga penyakit tersebut dijauhkan dari kita. Selain dari itu juga pada hari ini ramai di kalangan anak-anak muda yang memilih untuk menganggur daripada bekerja dengan alasan kelulusan atau ijazah yang mereka miliki tidak sesuai dengan kerja yang ada di pasaran. Dalam aspek ini Allah SWT telah mengingatkan melalui firman-Nya yang bermaksud, “Dia lah yang menjadikan bumi bagi kamu: mudah digunakan, maka berjalanlah di merata-rata ceruk rantaunya, serta makanlah dari rezeki Yang dikurniakan Allah; dan (ingatlah), kepada Allah jualah (tempat kembali kamu sesudah) dibangkitkan hidup semula; (maka hargailah nikmat-Nya dan takutilah kemurkaan-Nya).-al-Mulk 67: 15,
Subscribe to:
Posts (Atom)
DEFISIT SOSIAL GUGAT SEMANGAT PERPADUAN, ROSAK ERTI KEMERDEKAAN
-------------------- Rencana yang telah disiarkan dalam Berita Harian 6 September 2024
-
Menurut Kamus Dewan, penghayatan adalah kata terbitan yang berasal dari kata hayat. Ia menggambarkan perihal atau proses menghayati atau men...
-
Mejar Burhanuddin Abdul Jalal Ketika mengajar bab sembahyang dengan menggunakan kitab 'Bahrun Mazi" tulisan Sheikh Idris Marbawi di...
-
RENCANA OLEH: MEJAR BURHANUDDIN ABDUL JALAL TAJUK: CABARAN DAKWAH ISLAMIAH MASA KINI Era dakwah masa kini berhadapan dengan pelbagai cabara...