Monday, September 24, 2012

TINGKATKAN USAHA DAKWAH


Oleh: Dr Burhanuddin Abdul Jalal

Dakwah merupakan usaha perpindahan paradigma umat manusia kepada suatu tahap yang sesuai dengan tabiat semula jadi manusia ciptaan Allah SWT. Ini bermaksud, perpindahan berasaskan kesedaran daripada kekufuran kepada keislaman, kesesatan kepada kebenaran, kemungkaran kepada hidayah, negatif pada positif dan perkara-perkara buruk kepada kebaikan.



Selain dari itu, dakwah juga bermaksud sebagai usaha mengubah suatu situasi kepada situasi yang lebih baik dan sempurna, baik terhadap peribadi, organisasi ataupun masyarakat. Dakwah bukan sahaja sekadar usaha peningkatan pemahaman keagamaan, tingkah laku dan pandangan hidup sahaja, tetapi juga menuju sasaran yang lebih luas. Apatah lagi pada masa kini dakwah harus lebih berperanan menuju kepada pelaksanaan ajaran Islam secara lebih holistik dalam pelbagai aspek kehidupan A. Hasjmy dalam bukunya Dustur Dakwah menurut al-Quran (1994), menegaskan dakwah ialah satu kurikulum dan penerangan yang lengkap, juga satu kegiatan ajakan, baik dalam bentuk lisan, tulisan, mahupun tingkah laku, yang dilakukan secara sedar dan terencana dalam usaha untuk mempengaruhi orang lain.



Oleh itu jelas bahawa dakwah merupakan satu usaha serius yang dijalankan dalam usaha mengajak manusia kepada agama Islam dan hidayah-Nya demi kesejahteraan hidup di dunia dan di akhirat, serta melaksanakan tuntutan-Nya dan menjauhi perkara yang dilarang.



Menyedari hakikat tersebut usaha dakwah perlu digandakan bagi menyekat gejala sosial dari terus berkembang dan meningkat di kalangan masayarakat. Masalah gejala sosial yang melanda negara khususnya golongan muda berada pada tahap yang membimbangkan. Dalam masalah dadah, orang Melayu dikatakan yang paling ramai (71.4%) terlibat dengan kes penagihan dadah (Laporan AADK 2010). Sehubungan dengan itu apakah usaha-usaha dakwah atau pengajaran serta pendidikan Islam yang telah dilakukan di semua peringkat sejak dari tadika, sekolah rendah, sekolah menengah, institusi masjid, masyarakat dan seluruhnya tidak berkesan? Atau apakah pendekatan atau aspek pengurusan dakwah yang merangkumi aspek modul, pendekatan atau kaedah dakwah yang dilakukan oleh organisasi dakwah pada masa kini, perlu dilihat semula serta perlu dilaksanakan mengikut kesesuaian masa, golongan sasar dan tempat.

No comments:

DEFISIT SOSIAL GUGAT SEMANGAT PERPADUAN, ROSAK ERTI KEMERDEKAAN

 -------------------- Rencana yang telah disiarkan dalam Berita Harian 6 September 2024