Friday, December 28, 2012

CABARAN 2013


Oleh: Dr Burhanuddin Jalal

BEBERAPA hari lagi kita semua akan menyambut tahun baru masehi 2013. Ini bermakna masa terus berlalu dengan pantas dan jika kita tidak bersedia atau tidak membuat tindakan bijak kita akan terus tertinggal malahan cabaran baru kian menghimpit kita.


Menyedari perkara ini, Islam telah menyarankan agar umatnya sentiasa peka dan bersedia untuk menghadapi cabaran masa depan bagi memastikan kehidupan umat dan Islam terus terjamin. Pada hari ini pihak kepimpinan negara telah menyarankan agar kita melakukam transformasi bagi memastikan kejayaan dapat dicapai dalam aspek ekonomi, politik dan sosial dan juga memperbaiki keadaan negara dan rakyat seluruh agar lebih baik dan sempurna. Dalam Islam transformasi ini disebut sebagai islah dan ia bermaksud perubahan ke arah kehidupan atau keadaan yang lebih baik. Proses islah atau transformasi ini pada asasnya terdapat dua aspek yang perlu dilihat iaitu al-islah al-insan (transformasi kehidupan manusia) dan al-islah al-manhaj (transformasi sistem kehidupan manusia).

Sesungguhnya tranformasi atau islah dalam konteks Islam yang berteraskan dua aspek yang disebutkan iaitu al-Islah al-insan (transformasi kehidupan insan) dan al-Islah al-manhaj (transformasi sistem kehidupan manusia) adalah saling berkaitan di antara satu sama lain, kegagalan pada satu aspek akan memberi kesan kegagalan kepada aspek yang satu lagi. Ia umpama benih dan juga tanah yang saling berkaitan dalam bidang pertanian. Manusia seumpama benih yang perlu ditanam di tanah yang sesuai dan sistem (manhaj) merupakan tanah yang subur perlu bagi pertumbuhan benih yang baik. Benih-benih yang baik tidak akan tumbuh pada tanah yang gersang atau kering. Jika sebaliknya, walaupun tanahnya subur dan baik tetapi benihnya tidak baik atau rosak, kita tidak boleh mengharapkan pokok akan tumbuh dengan subur dan akan berbuah dengan lebat dan segar. Oleh yang demikian, dalam menghadapi tahun baru 2013 kita perlu membina semangat baru dan berazam untuk menjadi individu yang bersedia untuk melakukan perubahan yang lebih baik dan berkesan serta menjadi insan yang berguna, seperti mana yang telah diperingatkan oleh Allah SWT dalam surah Ibrahim ayat 24-25 yang bermaksud,“ Tidakkah Engkau melihat (Wahai Muhammad) bagaimana Allah mengemukakan satu perbandingan, iaitu: kalimah yang baik adalah sebagai sebatang pohon yang baik, yang pangkalnya (akar tunjangnya) tetap teguh, dan cabang pucuknya menjulang ke langit. Dia mengeluarkan buahnya pada tiap-tiap masa dengan izin Tuhannya dan Allah mengemukakan perbandingan-perbandingan itu untuk manusia, supaya mereka beringat (mendapat pelajaran)”.
_______________
Sebahagian rencana yang telah disiarkan dalam Ruangan Agama Berita Harian pada 27 Disember 2012

Sunday, December 23, 2012

DAKWAH MAMPU MEMBERIKAN ALTERNATIF


Oleh: Dr Burhanuddin Jalal

DALAM kehidupan seharian, kita sering menyaksikan berbagai perkara yang tidak sesuai dengan nilai-nilai Islam dan keimanan. Masalah keruntuhan akhlak, penyimpangan tingkah laku sifat dan amalan kejahatan sentiasa berlaku di hadapan mata kita setiap hari. Sebagai seorang aktivis dakwah atau invidu yang mempunyai kepekaan serta mempunyai nilai keimanan yang kukuh, tentunya berhasrat untuk mengubah atau menegah segala kemungkaran atau penyimpangan tingkah laku yang berlaku serta dapat dihentikan atau digantikan dengan nilai-nilai keimanan dan amalan yang benar selaras dengan kehendak Islam.


Namun demikian, pelaksanaan dakwah bukan semata-mata untuk menghindarkan kemaksiatan atau membenteras kemungkaran. Dakwah Islamiah perlu dilaksanakan lebih dari itu. Perkara yang perlu dilakukan dalam dakwah juga merangkumi untuk memberikan alternatif yang lebih baik atau lebih sesuai untuk dilakukan dan diterima dalam sesebuah masyakat atau kumpulan tersebut. Ini bermaksud alternatif atau pilihan yang dilakukan melalui pendekatan dakwah Islamiah dapat dimanfaatkan oleh masyarakat. Ternyata aktiviti dakwah Islamiah tidak sekadar melarang atau mencegah tetapi ia memberikan alternatif atau jalan keluar bagi mengatasi masalah yang berlaku.

 Dakwah bukan sekadar melarang tetapi turut memberikan alternatif dan penyelesaian. Perlu disedari bahawa sekiranya dakwah yang hadir dalam masyarakat hanya menekankan pendekatan secara melarang, menegah dan mencegah semata-mata, sudah pasti terdapat stigma yang menyatakan bahawa dakwah yang dilakukan tidak mempunyai pendekatan atau kaedah yang lain kecuali sekadar melarang dan menegah. Sedangkan masyarakat memerlukan penyelesaian atau pendekatan yang jelas bagi menyelesaikan pelbagai masalah atau persoalan yang mereka hadapi. Jika sekiranya masyarakat hanya diberikan jawapan sekadar larangan semata-mata tanpa alternatif yang lain, sudah pasti usaha dakwah yang dilaksanakan itu tidak berupaya membawa perubahan seperti yang diharapkan. Dalam kisah dakwah Nabi Luth yang dilakukan kepada kaumnya, Nabi Luth telah melarang kaumnya tentang amalan keji, namun dalam masa yang sama nabi Luth telah memberikan alternatif kepada mereka, Firman Allah yang bermaksud, "Wahai kaumku! di sini ada anak-anak perempuanku mereka lebih suci bagi kamu (maka berkahwinlah dengan mereka). Oleh itu takutlah kamu kepada Allah, dan janganlah kamu memberi malu kepadaKu mengenai tetamu-tetamuku, tidakkah ada di antara kamu seorang lelaki yang bijak berakal”.

____________
Sebahagian rencana yang telah disiarkan dalam ruangan agama Berita Harian pada 9 Disember 2012.

Wednesday, December 5, 2012

MENJALIN PERSAUDARAAN DAN MENGIKIS KEBENCIAN


 Oleh: Dr Burhanuddin Jalal

SIRAH telah mencatatkan banyak kisah tentang erti persaudaraan. Tidak hanya pada zaman Rasulullah SAW tetapi zaman sebelum itu iaitu zaman Nabi Musa A.S , telah tercatat sejarah erti persaudaraan yang mempunyai pengertian yang amat mendalam dan mengesankan jiwa manusia.

Kisah yang berlalu pada zaman Nabi Musa, iaitu kisah Bani Israil dapat menjelaskan kepada kita aspek dan nilai persaudaraan merupakan perkara yang penting. Jika kita menghayatinya kita akan dapat merasakan dan mengambil makna yang mendalam tentang erti persaudaraan!. Firman Allah yang ditujukan kepada Nabi Musa A.S, (Al-Quran, Taha 20; 24-35) yang bermaksud, "Pergilah kepada Firaun, sesungguhnya ia telah melampaui batas".Nabi Musa berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhanku, lapangkanlah bagiku, dadaku;Dan mudahkanlah bagiku, tugasku;Dan lepaskanlah simpulan dari lidahku,Supaya mereka faham perkataanku; Dan Jadikanlah bagiku, seorang penyokong dari keluargaku. Iaitu Harun saudaraku;,Kuatkanlah Dengan sokongannya, pendirianku,, Dan Jadikanlah Dia turut campur bertanggungjawab Dalam urusanku, supaya Kami sentiasa beribadat dan memujiMu, Dan (supaya) Kami sentiasa menyebut dan mengingatiMu; Sesungguhnya Engkau adalah sedia melihat dan mengetahui hal ehwal kami".

Peristiwa hijrah Nabi Muhammad SAW dan beberapa orang sahabat telah memberikan cahaya dan sinar kepada Islam. Yatrib telah bertukar nama menjadi Madinah al-Munawarah (kota yang bercahaya). Ini adalah kerana peristiwa hijrah telah dapat mempersaudarakan kaum Ansar dan Muhajirin. Nilai-nilai persaudaraan antara keduanya saling mantap walaupun kaum Yahudi berusaha untuk memecah belah atau merenggangkan ikatan persaudaraan yang telah dibina itu.

Terdapat beberapa ayat al-Quran yang telah diturunkan oleh Allah SWT khusus berhubung dengan erti persaudaraan dan berlapang dada. Firman Allah SWT, “Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu Dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayahNya” (Al-Quran, Ali-Imran 3: 103).

_____________ Sebahagian dari Rencana yang telah disiarkan dalam Ruangan Agama Berita Harian pada 4 Disember 2012.

Saturday, December 1, 2012

ORGANISASI DAKWAH KURANG PUBLISITI



Oleh: Dr Burhanuddin Jalal

Organisasi dakwah atau institusi agama sentiasa melaksanakan aktiviti dakwah serta kerja amal bertujuan mendidik masyarakat, tetapi sedikit sekali publisiti diberikan dalam media untuk maklumat masyarakat.


Ini menyebabkan kesungguhan organisasi dakwah, orang perseorangan atau institusi yang melakukan kerja berdakwah itu tidak diketahui ramai. Apakah tidak wajar pihak berkenaan mendapat publisiti kerana tujuannya demi berdakwah yang turut termasuk dalam sedekah?

Firman Allah SWT: Kalau kamu zahirkan sedekah-sedekah itu (secara terang), maka yang demikian adalah baik (kerana menjadi contoh yang baik), dan kalau pula kamu sembunyikan sedekah-sedekah itu serta kamu berikan kepada orang fakir miskin, maka itu adalah baik bagi kamu, dan Allah akan menghapuskan daripada kamu sebahagian kesalahan-kesalahan kamu, dan (ingatlah), Allah Maha mengetahui secara mendalam akan apa yang kamu lakukan. (Surah al-Baqarah, ayat 271)

Sebenarnya dibolehkan untuk menampakkan atau menzahirkan amal supaya dapat dijadikan contoh kepada orang lain. Melalui kebaikan yang ditunjukkan diharap dapat menggerak hati pihak lain melakukan perkara kebajikan itu.Allah SWT menyebut bahawa Nabi Muhammad SAW adalah sebaik-baik umat yang dipilih untuk seluruh umat manusia. Firman Allah SWT: Kamu (wahai Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji).

Nabi Muhammad SAW sebagai contoh teladan kepada umatnya menunjukkan perkara baik sepatutnya dilakukan umat Islam dalam kehidupan seharian mereka. Oleh itu, amal baik yang ditunjukkan bukan untuk bermegah, tetapi sebagai inspirasi dan motivasi kepada yang melihat.

Perlu dijelaskan juga, ada waktu dan ketikanya amalan bersedekah perlu disembunyikan. Perkara ini perlu dilakukan kerana jika ia dihebahkan mungkin akan menimbulkan perasaan riak atau boleh menyakiti perasaan orang yang mendapat sedekah itu.

Firman Allah SWT: Dan kalau pula kamu sembunyikan sedekah-sedekah itu serta kamu berikan kepada orang fakir miskin, maka itu adalah baik bagi kamu. (Surah al-Baqarah, ayat 271)Perasaan riak bermaksud melakukan sesuatu untuk mendapat pujian orang lain. Justeru, jika tujuan memberi semata-mata untuk dilihat orang maka kebaikan itu tidak disertai perasaan ikhlas. Sifat ikhlas adalah dorongan kuat dalam jiwa yang menjadi motivasi untuk melakukan sesuatu amal.

Sebahagian ulama salaf berpendapat, beramal kerana manusia adalah syirik dan meninggalkan amal kerana manusia adalah riak. Ini menandakan sifat ikhlas bermaksud dorongan melakukan atau meninggalkan amal kerana Allah sama ada ia dizahirkan atau disembunyikan.

Semua amalan, aktiviti atau apa saja yang dilakukan hendaklah didasari dengan niat yang ikhlas kerana mengharapkan reda serta pahala Allah, bukan manusia. Cukuplah kita yakin semua yang kita lakukan sentiasa berada dalam pengawasan dan pengetahuan Allah SWT.

Tokoh dakwah, Syeikh Hassan al-Banna menyatakan, amalan ikhlas itu bermaksud seseorang Muslim menunjukkan segala perkataan, amal dan jihadnya semata-mata mencari reda Allah, dan tidak memandang keuntungan duniawi, kedudukan, pangkat, gelaran dan sebagainya, kerana semua itu akan menyebabkan manusia pembela kepada citra akidah bukan kepentingan peribadi.

Bagaimanapun, menzahirkan amal tidak menghilangkan keikhlasan atau merosakkan amalan, tetapi perlu difahami bahawa faktor yang menyebabkan rosaknya amal berpunca daripada mengharapkan pujian orang lain atau berbangga-bangga.

Menyembunyikan amal itu tidak menggambarkan keikhlasan dan menzahirkan amal itu juga tidak menggambarkan perasaan riak atau tidak ikhlas. Oleh itu, publisiti adalah satu tindakan atau usaha untuk memberikan maklumat positif, memberi inspirasi dan motivasi supaya beramal soleh.

Organisasi dakwah perlu melihat tindakan melakukan promosi, publisiti atau perancangan media adalah suatu keperluan dan kebijaksanaan dalam gerak kerja dakwah Islamiah masa kini.

DEFISIT SOSIAL GUGAT SEMANGAT PERPADUAN, ROSAK ERTI KEMERDEKAAN

 -------------------- Rencana yang telah disiarkan dalam Berita Harian 6 September 2024