Saturday, December 1, 2012

ORGANISASI DAKWAH KURANG PUBLISITI



Oleh: Dr Burhanuddin Jalal

Organisasi dakwah atau institusi agama sentiasa melaksanakan aktiviti dakwah serta kerja amal bertujuan mendidik masyarakat, tetapi sedikit sekali publisiti diberikan dalam media untuk maklumat masyarakat.


Ini menyebabkan kesungguhan organisasi dakwah, orang perseorangan atau institusi yang melakukan kerja berdakwah itu tidak diketahui ramai. Apakah tidak wajar pihak berkenaan mendapat publisiti kerana tujuannya demi berdakwah yang turut termasuk dalam sedekah?

Firman Allah SWT: Kalau kamu zahirkan sedekah-sedekah itu (secara terang), maka yang demikian adalah baik (kerana menjadi contoh yang baik), dan kalau pula kamu sembunyikan sedekah-sedekah itu serta kamu berikan kepada orang fakir miskin, maka itu adalah baik bagi kamu, dan Allah akan menghapuskan daripada kamu sebahagian kesalahan-kesalahan kamu, dan (ingatlah), Allah Maha mengetahui secara mendalam akan apa yang kamu lakukan. (Surah al-Baqarah, ayat 271)

Sebenarnya dibolehkan untuk menampakkan atau menzahirkan amal supaya dapat dijadikan contoh kepada orang lain. Melalui kebaikan yang ditunjukkan diharap dapat menggerak hati pihak lain melakukan perkara kebajikan itu.Allah SWT menyebut bahawa Nabi Muhammad SAW adalah sebaik-baik umat yang dipilih untuk seluruh umat manusia. Firman Allah SWT: Kamu (wahai Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji).

Nabi Muhammad SAW sebagai contoh teladan kepada umatnya menunjukkan perkara baik sepatutnya dilakukan umat Islam dalam kehidupan seharian mereka. Oleh itu, amal baik yang ditunjukkan bukan untuk bermegah, tetapi sebagai inspirasi dan motivasi kepada yang melihat.

Perlu dijelaskan juga, ada waktu dan ketikanya amalan bersedekah perlu disembunyikan. Perkara ini perlu dilakukan kerana jika ia dihebahkan mungkin akan menimbulkan perasaan riak atau boleh menyakiti perasaan orang yang mendapat sedekah itu.

Firman Allah SWT: Dan kalau pula kamu sembunyikan sedekah-sedekah itu serta kamu berikan kepada orang fakir miskin, maka itu adalah baik bagi kamu. (Surah al-Baqarah, ayat 271)Perasaan riak bermaksud melakukan sesuatu untuk mendapat pujian orang lain. Justeru, jika tujuan memberi semata-mata untuk dilihat orang maka kebaikan itu tidak disertai perasaan ikhlas. Sifat ikhlas adalah dorongan kuat dalam jiwa yang menjadi motivasi untuk melakukan sesuatu amal.

Sebahagian ulama salaf berpendapat, beramal kerana manusia adalah syirik dan meninggalkan amal kerana manusia adalah riak. Ini menandakan sifat ikhlas bermaksud dorongan melakukan atau meninggalkan amal kerana Allah sama ada ia dizahirkan atau disembunyikan.

Semua amalan, aktiviti atau apa saja yang dilakukan hendaklah didasari dengan niat yang ikhlas kerana mengharapkan reda serta pahala Allah, bukan manusia. Cukuplah kita yakin semua yang kita lakukan sentiasa berada dalam pengawasan dan pengetahuan Allah SWT.

Tokoh dakwah, Syeikh Hassan al-Banna menyatakan, amalan ikhlas itu bermaksud seseorang Muslim menunjukkan segala perkataan, amal dan jihadnya semata-mata mencari reda Allah, dan tidak memandang keuntungan duniawi, kedudukan, pangkat, gelaran dan sebagainya, kerana semua itu akan menyebabkan manusia pembela kepada citra akidah bukan kepentingan peribadi.

Bagaimanapun, menzahirkan amal tidak menghilangkan keikhlasan atau merosakkan amalan, tetapi perlu difahami bahawa faktor yang menyebabkan rosaknya amal berpunca daripada mengharapkan pujian orang lain atau berbangga-bangga.

Menyembunyikan amal itu tidak menggambarkan keikhlasan dan menzahirkan amal itu juga tidak menggambarkan perasaan riak atau tidak ikhlas. Oleh itu, publisiti adalah satu tindakan atau usaha untuk memberikan maklumat positif, memberi inspirasi dan motivasi supaya beramal soleh.

Organisasi dakwah perlu melihat tindakan melakukan promosi, publisiti atau perancangan media adalah suatu keperluan dan kebijaksanaan dalam gerak kerja dakwah Islamiah masa kini.

No comments:

DEFISIT SOSIAL GUGAT SEMANGAT PERPADUAN, ROSAK ERTI KEMERDEKAAN

 -------------------- Rencana yang telah disiarkan dalam Berita Harian 6 September 2024