Sunday, December 23, 2012

DAKWAH MAMPU MEMBERIKAN ALTERNATIF


Oleh: Dr Burhanuddin Jalal

DALAM kehidupan seharian, kita sering menyaksikan berbagai perkara yang tidak sesuai dengan nilai-nilai Islam dan keimanan. Masalah keruntuhan akhlak, penyimpangan tingkah laku sifat dan amalan kejahatan sentiasa berlaku di hadapan mata kita setiap hari. Sebagai seorang aktivis dakwah atau invidu yang mempunyai kepekaan serta mempunyai nilai keimanan yang kukuh, tentunya berhasrat untuk mengubah atau menegah segala kemungkaran atau penyimpangan tingkah laku yang berlaku serta dapat dihentikan atau digantikan dengan nilai-nilai keimanan dan amalan yang benar selaras dengan kehendak Islam.


Namun demikian, pelaksanaan dakwah bukan semata-mata untuk menghindarkan kemaksiatan atau membenteras kemungkaran. Dakwah Islamiah perlu dilaksanakan lebih dari itu. Perkara yang perlu dilakukan dalam dakwah juga merangkumi untuk memberikan alternatif yang lebih baik atau lebih sesuai untuk dilakukan dan diterima dalam sesebuah masyakat atau kumpulan tersebut. Ini bermaksud alternatif atau pilihan yang dilakukan melalui pendekatan dakwah Islamiah dapat dimanfaatkan oleh masyarakat. Ternyata aktiviti dakwah Islamiah tidak sekadar melarang atau mencegah tetapi ia memberikan alternatif atau jalan keluar bagi mengatasi masalah yang berlaku.

 Dakwah bukan sekadar melarang tetapi turut memberikan alternatif dan penyelesaian. Perlu disedari bahawa sekiranya dakwah yang hadir dalam masyarakat hanya menekankan pendekatan secara melarang, menegah dan mencegah semata-mata, sudah pasti terdapat stigma yang menyatakan bahawa dakwah yang dilakukan tidak mempunyai pendekatan atau kaedah yang lain kecuali sekadar melarang dan menegah. Sedangkan masyarakat memerlukan penyelesaian atau pendekatan yang jelas bagi menyelesaikan pelbagai masalah atau persoalan yang mereka hadapi. Jika sekiranya masyarakat hanya diberikan jawapan sekadar larangan semata-mata tanpa alternatif yang lain, sudah pasti usaha dakwah yang dilaksanakan itu tidak berupaya membawa perubahan seperti yang diharapkan. Dalam kisah dakwah Nabi Luth yang dilakukan kepada kaumnya, Nabi Luth telah melarang kaumnya tentang amalan keji, namun dalam masa yang sama nabi Luth telah memberikan alternatif kepada mereka, Firman Allah yang bermaksud, "Wahai kaumku! di sini ada anak-anak perempuanku mereka lebih suci bagi kamu (maka berkahwinlah dengan mereka). Oleh itu takutlah kamu kepada Allah, dan janganlah kamu memberi malu kepadaKu mengenai tetamu-tetamuku, tidakkah ada di antara kamu seorang lelaki yang bijak berakal”.

____________
Sebahagian rencana yang telah disiarkan dalam ruangan agama Berita Harian pada 9 Disember 2012.

No comments:

DEFISIT SOSIAL GUGAT SEMANGAT PERPADUAN, ROSAK ERTI KEMERDEKAAN

 -------------------- Rencana yang telah disiarkan dalam Berita Harian 6 September 2024