Sunday, December 29, 2013

SENARAI PENULISAN 2013

Berikut adalah senarai penulisan yang telah disiarkan dalam media ctak tempatan sepanjang 2013, khususnya penulisam popular. • Jauhi perbuatan menghina diri. Berita Harian. 6 Jan. • Memahami sirah Rasul dapat mengenal Rasulullah . Berita Harian. 10 Januari. • Musibah dugaan hidup untuk bermuhasabah. Berita Harian. 19 Januari. • Doktrin perang berasaskan tauhid. Berita Harian. 21 Januari. • Dakwah dan individu sukar. Majalah inilah Islam. Bil 3/Rabiulawal 1434. • Bahaya tidak jaga lidah. Berita Harian. 18 Januari. • Meningkatkan kualiti pendakwah. Majalah Inilah Islam Bil 3 1434. • Berusaha untuk berubah. Majalah Inilah Islam. Bil 3 1434 • Pertahanan asset penting negara. Berita Harian. 25 Mac. • Nabi Muhammad SAW pemimpin tentera Islam. Majalah Inilah Islam. Bil 5 1434 • Dakwah mampu memberikan alternatif. Majalah Inilah Islam. Bil 5 1434 • Penghayatan solat dalam kalangan generasi muda. Majalah Inilah Islam. Bil 5. • Meningkat kredibiliti pendakwah. Majalah Inilah Islam. Bil 3 143 • Perspektif dakwah. Berita Harian. 9 April. • Taubat seorang hamba. Berita Harian. 6 Mei. • Balasan jika umat membelakangi al-Quran. Berita Harian. 9 Jun. • Al-Quran pedoman hidup ummah. Berita Harian. 11 Jun. • Senergi ulama dan umara. Berita Harian. 17 Jun. • Memantapkan pengurusan dakwah satu keperluan. Majalah Inilah Islam Bil 7 • Tanpa syahadah iman runtuh. Berita Harian. 27 Jun. • Penghayatan disebalik ibadah Ramadan. Berita Harian. 4 Julai. • Fahamai falsafah dakwah tingkah semangat juang. Berita Harian. 9 Julai. • Tarbiyyah ruhiyyah bina individu baik. Berita Harian. 14 Julai. • Ibadah tidak ikhlas jika niat mahu dipuji. Berita Harian. 24 Julai. • Perkukuh akhlak generasi muda. Berita Harian. 28 Julai. • Kekuatan ilmu teras akhlak Muslim. Berita Harian. 6 Ogos. • Bersatu perkasa dakwah hadapi cabaran semasa. Berita Harian. 15 Ogos. • Misi dan visi kekalkan kemerdekaan. Berita Harian. 27 Ogos. • Memahami pengertian tersirat ibadah haji. Berita Harian. 2 September. • Tiga aspek bina shahsiah Islamiah, Berita Harian. 10 September. • Ibadah korban dan kasih sayang. Berita Harian. 16 September. • Tanamkan azam tunai haji. Berita Harian. 22 September. • Umat Islam elak remeh temeh. Berita Harian. 28 September. • Lima kaedah untuk kukuhkan iman. Berita Harian. 29 Oktober. • Perkembangan ilmu tanda tegak peradaban. Berita Harian. 5 November. • Nilai hidup berasaskan sumbangan bukan usia. Berita Harian. 19 November. • Peringatan untuk pendakwah. Majalah Dakwah. Nov/Dis13. • Sifat ikhlas penting untuk kejayaan dakwah. Majalah inilah Islam. Bil 12/13. • Jangan harap pujian dalam dakwah. Berita Harian. 25 November. • Sirah Nabi proses pendidikan insan. Berita Harian. 3 Dis. • Dakwah tuntut pengorbanan daie. Berita Harian. 24 Dis. • Islah diri iringi tahun baru. Berita Harian. 29 Dis.

Friday, November 15, 2013

PENGUKUHAN SPRITUAL PENDAKWAH

OLEH: DR BURHANUDDIN JALAL SETIAP pendakwah atau daie perlu menyedari bahawa dirinya adalah pendakwah dan sering menjadi contoh teladan serta menjadi rujukan dan teladan. Oleh yang demikian, aspek pengukuhan iman dan takwa perlu sentiasa ada dalamn diri pendakwah. Pengukuhan spiritual atau iman ini serta menyedari bahawa diri mereka adalah pendakwah yang perlu terus melaksanakan tugas menyebarkan Islam secara berterusan. Bagi melaksanakan tugas yang berat ini, para pendakwah perlu kepada kekuatan iman dan spiritual bagi memastikan kejayaan berdakwah dapat diraih serta terus mendapat bantuan, pertolongan dan juga hidayah dari Allah SWT. Kepentingan perkara ini pernah disebutkan oleh Ibnu Rawhah yang mengajak temannya yang bernama, Ibn Dardak, supaya terus menguatkan iman dan sedar tentang peranan sebagai pendakwah dengan katanya, “ akhi, ta’al nu’minu sa’ah yang bermaksud, “wahai saudaraku, marilah kita teguhkan iman’. Perkara yang sama turut dilakukan oleh Khalifah Umar bin Abdul Aziz yang telah meminta ulama terkenal pada waktu itu yang bernama Bakar bin Amar bin Hazmi untuk memberikannya nasihat serta mengingatkan tentang iman dan ketakwaan kepada Allah. Konsep pengukuhan iman ini diperlukan bagi melembutkan hati, mengasah jiwa agar sentiasa wujudnya nilai-nilai kebaikan dalam diri serta untuk melatih diri agar sentiasa sentitif terhadap keburukan hingga kita mampu menjauhkan diri dari kesemua perkara tersebut. Selain dari itu ia juga dapat melatih diri serta memberi kekuatan untuk menghalang kemaksiatan dan kemungkaran dari menghampiri diri. Pengukuhan iman ini dapat dilakukan secara individu ataupun dalam bentuk kumpulan. Dalam peringkat secara individu ia dapat dilakukan dengan melakukan pemeriksaan diri atau muhasabah tentang apa yang telah dilakukan sehingga mampu meningkatkan diri untuk terus berdakwah dan berazam tinggi untuk meninggikan syiar Islam menerusi pendekatan dan idea yang baru. Sementara program pengukuhan iman secara berkumpulan pula dapat dilakukan dengan cara melaksanakan amalan ruhaniah secara kolektif serta memperbaharui tekad bersama untuk terus berdakwah dalam bentuk kolektif dengan lebih produktif lagi. Selain dari itu program pengukuhan iman yang dilaksanakan turut memberi kepentingan sekurang-kurangnya dari dua aspek yang lain iaitu: • Pertama: Untuk memantau keseimbangan dan perubahan yang berlaku dalam gerak kerja dakwah serta dapat memantaunya. • Kedua: Untuk mengukuhkan kembali semangat berdakwah serta menghilangkan perkara-perkara negatif yang ada dalam diri dengan nilai kerohanian dan usaha mendapatkan tenaga baru. Dalam aspek pengukuhan iman dalam kalangan pendakwah, Abdullah Nasikh Ulwan telah menyebutkan tentang kepentingan perkara ini dengan kata-katanya, “ Ketika jiwa para daie penuh dengan ketakwaan kepada Allah, akan merasakan kedekatan dirinya dengan Allah, kekuatan jiwanya dipenuhinya dengan pembacaan ayat-ayat al-Quran dan sentiasa mengamalkan ibadah sunnah, maka ketika bercakap, berkhutbah atau mengajak orang lain ke jalan Allah akan ternampak pancaran cahaya dari matanya, keikhlasan terserlah dari raut wajahnya, kejujuran terus mengalir bersama kelembutan suaranya, nada kata-katanya dan juga lenggok tangannya. Bahkan perkataannya akan meresap ke dalam hati dan melenyapkan kegelapan jiwa seperti air sejuk yang meresap di kerongkong orang yang kehausan”. Begitulah penting dan berkesannya kekuatan dan kejernihan iman para pendakwah. Kualiti sedemikian perlu menjadi keutamaan bagi setiap pendakwah, lebih-lebih lagi para pendakwah yang tentunya menghadapi pelbagai cabaran, halangan dan tribulasi dalam melaksanakan kerja-kerja dakwah.

Sunday, August 18, 2013

PERKASAKAN DAKWAH ISLAMIAH

Oleh: Dr Burhanuddin Jalal Walaupun cabaran dakwah masa kini makin banyak dan hebat, pendakwah perlu terus melaksanakan tugas menyampaikan risalah Islam seperti yang diperintah Allah SWT dan Rasul-Nya. Peringatan mengenai cabaran dalam berdakwah ini dinyatakan Nabi Muhammad SAW melalui sabdanya yang bermaksud: "Akan datang suatu masa nanti, umat-umat lain akan mengerumuni umat Islam seperti mereka merebut makanan. Salah seorang sahabat bertanya, adakah jumlah kami pada ketika itu sedikit? Rasulullah menjawab: Tidak, bahkan jumlah kamu pada ketika itu ramai tetapi kamu sekalian pada waktu itu seperti buih-buih di lautan. Sesungguhnya Allah akan mencabut dari dada-dada musuh kamu rasa takut terhadap kamu sekalian dan Allah akan menambah wahn dalam dada-dada kamu sekalian. Salah seorang sahabat, bertanya lagi: Apakah wahn itu ya, Rasulullah?. Rasulullah menjawab: Cintakan dunia dan takutkan mati". Berdasarkan hadis itu, ternyata jumlah yang ramai belum tentu menjadi penentu perubahan atau berkuasa untuk mengubah orang lain. Malah, musuh Islam tidak gentar terhadap umat Islam yang ramai kerana sudah diserang penyakit wahn atau lebih mengutamakan keduniaan, kepentingan diri dan tidak lagi mengutamakan agama atau cintakan kematian berteraskan mempertahankan agama yang suci. Tergoda dengan harta ditinggalkan musuh Ini seperti yang berlaku dalam perang Uhud, apabila tentera Islam tergoda dengan harta yang ditinggalkan musuh dan terus melanggar perintah dan ketaatan terhadap pesanan Rasulullah SAW. Ternyata jumlah yang banyak bukan menjadi faktor penentu dan jumlah yang kecil sekalipun mampu memberikan kesan atau impak dengan izin Allah SWT. Ini seperti yang berlaku dalam perang Badar. Firman Allah SWT yang bermaksud: "Berapa banyak (yang pernah terjadi), golongan yang sedikit berjaya menewaskan golongan yang banyak dengan izin Allah dan Allah (sentiasa) bersama-sama orang-orang yang sabar." (Al-Baqarah, ayat 249) Sesungguhnya dalam gerakan dakwah, khususnya dalam peringkat yang lebih besar merangkumi kepentingan umat dan negara seluruhnya, dukungan dakwah daripada peringkat kepimpinan negara sehingga kepada rakyat jelata amat diperlukan. Pihak berkuasa pemerintahan perlu melihat secara jelas kepentingan agama dan syiar Islam perlu terus ditingkatkan. Tentunya negara kita Malaysia tergolong dalam kategori ini. Faktor ini adalah kerana dalam Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menzahirkan kedudukan istimewa kepada agama Islam. Perkara 3, Perlembagaan Persekutuan menobatkan Islam sebagai agama Persekutuan dan dalam Perkara 11 pula, menjamin kebebasan agama kepada semua individu, namun dengan jelas melarang agama lain daripada disebarkan kepada seorang Muslim. Berdasarkan fakta tersebut ternyata dakwah Islamiah di Malaysia sudah sekian lama memasuki apa yang disebut sebagai `marhalah mihwar muasasi' iaitu tahap atau era dakwah aktif dalam pemerintahan negara. Berdasarkan tahap yang jauh itu, ia tidak bererti kita perlu meninggalkan tahap atau sejarah yang lama. Memasuki tahap yang baru ini juga bererti kita akan memasuki era dakwah yang lebih berat, penuh cabaran dan memerlukan komitmen yang lebih kuat dan mantap dalam usaha menyampaikan dakwah. Catatan: Rencana telah disiarkan dalam Ruangan Agama Berita Harian pada 15 Ogos 2013.

Wednesday, August 14, 2013

SERAH TERIMA TUGAS PENGARAH PSIKOLOGI TENTERA DARAT

Kuala Lumpur, 29 Jul - Asisten Ketua Staf Sumber Manusia, Mej Jen Dato’ Abu Muslim bin Ismail telah menyaksikan acara menandatangani nota serah terima tugas Pengarah Psikologi Tentera Darat antara Kol Dr Mohd Kenali bin Basiron dan Lt Kol Dr Burhanuddin bin Jalal. Acara menandatangani nota tersebut telah diadakan di Bilik Mesyuarat Cawangan Sumber Manusia, Kementerian Pertahanan pada 29 Julai 13. Kol Dr Kenali akan mengikuti Kursus National Security And War Course di Islamabad, Pakistan mulai 19 Ogos 2013 hingga 20 Ogos 2014. Sumber: Fatin Izzati Amir - Portel Tentera Darat.

Friday, April 26, 2013

SEMANGAT ITSAR DALAM BERPOLITIK

OLeh: Dr Burhanuddin Jalal

Negara sedang berada di ambang Pilihanraya Umum ke 13 (PRU 13) dan beberapa hari yang lalu telah diadakan hari penamaan calon. Antara isu yang besar dalam setiap kali pilihanraya adalah berkaitan dengan pemilihan calon. Begitu juga pada pilihanraya kali ini, terdapatnya individu yang tidak terpilih menjadi calon atau yang digugurkan oleh parti-parti politik yang bertanding. Ada individu atau kumpulan yang tidak puas hati kerana namanya, dirinya atau individu yang disokong tidak terpilih atau digugurkan menjadi calon untuk mewakili parti politik tertentu. Ada yang berdiam diri, memprotes atau mengambil keputusan untuk terus menjadi calon pilihanraya dengan menjadi calon bebas. Kekecewaan akibat tidak terpilih atau digugurkan sebagai calon sering menjadi pertikaian, saling menyalahi antara satu sama lain dan ini semua menimbulkan perasaan sakit hati atau dendam yang tidak berkesudahan.


Dari satu aspek, sebagai insan muslim kita telah diajar tentang ajaran atau semangat persaudaraan sesama insan. Kita juga menyedari semangat persaudaraan atau ukhuwah itu sebenarnya sangat indah. Dalam hal pemilihan calon ini, tentu kita menyedari bahawa pihak kepimpinan telah memilih individu tertentu berdasarkan kriteria tertentu. Oleh yang demikian, calon yang tidak terpilih perlu mematuhi arahan tersebut dan tidak boleh hanya memikirkan diri sendiri atau ego yang ada dalam diri tanpa mempertimbangkan orang lain dari dirinya. Dalam Islam ia disebut sebagai itsar yang bermaksud bersedia mendahulukan kepentingan orang lain melebihi kepentingan diri sendiri. Sejauh manakah umat seluruhnya telah menghayati sifat itsar ini dalam kehidupan seharian khususnya semangat setiakawan yang telah dididik dalam berpolitik?

Semangat itsar telah menjadi pengajaran penting sejak generasi awal Islam. Dalam peristiwa hijrah, para sahabat daripada kalangan ansar dan muhajirin telah mempamerkan semangat itsar yang luar biasa. Orang Ansar (penduduk asal Madinah) telah mempamerkan dan memiliki sikap dan semangat yang sangat tulus dalam memuliakan saudara-saudara mereka dalam kalangan orang Muhajirin. Kecintaan, pembelaan, keutamaan, keprihatinan terhadap saudara mereka berbanding dengan diri mereka sendiri telah disebut oleh Allah dalam kitab al-Quran melalui firmannya dalam surah al-Hasyr ayat 9 yang bermaksud, “ Dan orang-orang (Ansar) yang mendiami negeri (Madinah) serta beriman sebelum mereka, mengasihi orang-orang yang berhijrah ke negeri mereka, dan tidak ada pula dalam hati mereka perasaan berhajatkan apa yang telah diberi kepada orang-orang yang berhijrah itu; dan mereka juga mengutamakan orang-orang yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan dan amat berhajat dan (ingatlah), sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang-orang yang berjaya”.

Saturday, March 2, 2013

80 TAHUN PERKHIDMATAN DIUTAMAKAN



Oleh: Dr Burhanuddin Jalal

Selamat menyambut Ulangtahun ke 80 Tentera Darat Malaysia. Tema yang dipilih pada tahun ini ialah ' 80 tahun perkhidmatan diutamakan' atau dalam Bahasa Inggerisnya ' 80 years selfless servise'.

Dalam usaha untuk terus memperkukuh pertahanan negara,  setiap warga tentera perlu terus menimgkatkan kesiapsiagaan dan sentiasa menghayati firman Allah dalam surah al-Anfal ayat 60 yang bermaksud, “Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya. dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu, dan kamu tidak akan dianiaya”.

Wednesday, January 30, 2013

DOKTRIN PERANG BERASASKAN TAUHID



Oleh : Dr Burhanuddin Jalal

Rencana ini telah disiarkan dalam Berita Harian 21 Jan 2013. Mohon pandangan dan ulasan  dari pembaca selanjutnya. Terima kasih.

Thursday, January 24, 2013

SAYANGI SESAMA INSAN




 Oleh Dr Burhanuddin Jalal
Salah satu pendidikan ditekankan Rasulullah SAW ialah ukhuwah atau persaudaraan yang dibina atas dasar kasih sayang sesama insan. Ukhuwah dan kasih sayang atas nama Allah tidak hanya mendapat ganjaran, ia juga meningkatkan kualiti iman. Sabda Rasulullah SAW: “Mencintai kerana Allah dan membenci kerana Allah adalah penguat simpul-simpul keimanan.” (Hadis Riwayat Ahmad)

Setiap individu Muslim perlu mencintai Muslim lain kerana Allah dan membenci kaum kafir munafik kerana Allah. Rasulullah SAW bersabda: “Dua orang Muslim yang bertemu kemudian bersalam, maka mereka mendapat keampunan sebelum mereka berpisah.” (Riwayat Abu Daud)

“Allah berfirman: “Sebenarnya orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.” (Surah al-Hujurat, ayat 10)

Ternyata banyak sekali kebajikan yang boleh dilakukan dalam Islam serta mendapat keampunan dan rahmat Allah SWT. Malah, menyapa dan bersalam dengan saudara seagama pun akan mendapat rahmat serta keampunan Allah. Sesungguhnya ini semua anugerah Allah yang amat besar dan indah.

Abdul Rahman bin Auf ialah Muhajirin yang berhijrah dan Saad bin Rabi pula kalangan orang Ansar. Abdul Rahman berhijrah tanpa membawa harta, tetapi Saad berkata kepadanya: “Saudaraku, rumah, kekayaan, pakaian dan seluruh harta milikku akan aku bahagi dua. Separuh untuk aku dan separuh untuk engkau.”Kedua-duanya tidak pernah kenal antara satu sama lain, tidak mempunyai hubungan kekeluargaan atau apa-apa kepentingan, tetapi oleh kerana kesan tarbiah Rasulullah SAW, Saad melakukan sesuatu yang amat dituntut Islam.Ini diingatkan Allah melalui firman: “Sebenarnya orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.” (Surah al-Hujurat, ayat 10)

Sesungguhnya Rasulullah SAW sangat menitikberatkan nilai kasih sayang dan persaudaraan. Mungkin kita tertanya apakah sahabat Rasulullah tidak pernah melakukan kesalahan terhadap sahabat mereka yang lain?
Ketika Umar al-Khattab menjawat jawatan khalifah, beliau ingin menguji sejauh mana perasaan ukhuwah, persaudaraan, kasih sayang dan mengasihi dalam kalangan sahabat. Apakah pendidikan atau benih yang disemai Rasulullah SAW benar-benar hidup dalam jiwa mereka. Umar al-Khattab telah memberikan 1,000 dirham kepada pembantunya dan berkata, “Pergilah berjumpa Abu Ubaidah bin al-Jarrah dan katakan kepadanya, Amir al-Mukminin telah memberikan wang untuk dibelanjakan sesuka hati tuan. Kemudian, tunggu sebentar lihat apa dilakukan Abu Ubaidah al-Jarrah.”Pembantu Umar melaksanakan apa diarahkan dan melihat Abu Ubaidah al-Jarrah mengagihkan wang yang diterima kepada pelbagai pihak yang memerlukan sehingga tiada yang tinggal. Pembantu Umar kembali dan melaporkan apa telah dilihatnya. Kemudian Umar memberikan lagi wang 1,000 dirham untuk diberikan pula kepada Mu’adz bin Jabal. Tindakan sama juga dilakukan Mu’adz bin Jabal dengan menyedekahkan kembali wang itu kepada orang ramai. Selanjutnya Umar memberikan wang kepada Sa’ad bin Abi Waqas. Beliau juga menyedekahkan wang itu. Melihat tindakan ketiga-tiga sahabatnya itu, lantas Umar berkata, “Alhamdulillah masih ada persaudaraan di hati mereka.”

Besarlah harapan kita supaya nilai kemurahan hati dan sifat persaudaraan sentiasa ada dalam diri setiap insan Muslim. Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang membela kehormatan saudaranya, maka nescaya Allah akan menjauhkannya dari neraka pada hari kiamat.” Maksud hadis ini ialah bagi seseorang yang tidak sanggup mendengar saudaranya dihina oleh orang lain dan dia sendiri tidak menghina saudaranya bahkan membela kehormatannya, maka Allah akan membebaskannya daripada api neraka. Mulai saat ini lepaskan diri daripada sikap benci dan dengki terhadap saudara seagama sehingga Allah mengampuni kita.
____________
Telah disiarkan dalam BERITA HARIAN pada 24 Januari 2013

Thursday, January 17, 2013

MEMAHAMI SIRAH NABAWIYYAH

Oleh Dr Burhanuddin Jalal


Umat Islam di Malaysia dan juga di seluruh dunia sudah pastikan akan mengingati tarih 12 Rabiul Awwal setiap tahun kerana tarikh tersebut tercatat dalam sirah sebagai hari keputeraaan Nabi Muhammad SAW. Untuk tahun ini tema sambutan yang telah dipilih ia;lah ‘1Malaysia, 1Ummah’.

Satu aspek yang penting dalam suasana kita mengadakan majlis sambutan Maulidur rasul ini, sejauh mankah kita menghayati dan menghayati kepentingan untuk mengetahui sirah nabi Muhamad SAW ini? Menurut Dr. Said Ramadhan al-Buti dalam bukunya ‘fiqh al-sirah’ telah mencatatkan bahawa tujuan memahami sirah ialah agar setiap orang Muslim memperoleh gambaran sebenar tentang hakikat agama Islam secara sempurna yang tercermin dalam kehidupan Nabi Muhammad s.a.w. sesudah ia difahami secara konsepsinya sebagai prinsip, kaedah dan hukum. Oleh itu, mempelajari sirah mengandungi beberapa faedah.

• Pertama ialah memahami keperibadian nabi melalui celah-celah kehidupan dan keadaan-keadaan yang pernah dihadapinya, untuk menegaskan bahawa nabi Muhammad bukan sahaja seorang yang terkenal di antara kaumnya sahaja tetapi sebelum itu baginda adalah seorang Rasul yang didukung oleh Allah dengan wahyu dan taufik dari-Nya.

• Kedua ialah agar manusia mendapat gambaran contoh terbaik dalam seluruh kehidupan yang utama untuk dijadikan dastur dan pedoman kehidupan. Tidak diragukan lagi, betapa pun manusia mencari contoh terbaik mengenai salah satu aspek kehidupan, dia pasti akan mendapatkannya di dalam kehidupan Rasulullah secara jelas dan sempurna. Oleh itu, Allah menjadikannya qudwah bagi seluruh manusia seperti firman Allah yang bermaksud, “ Sesungguhnya telah ada pada diri Rasulullah itu suri teladan yang baik bagi kamu.” (al-Ahzab 21)

• Ketiga ialah agar manusia mendapatkan dalam mempelajari sirah Rasulullah ini, sesuatu yang dapat membantunya untuk memahami kitab Allah dan menyelami tujuan-tujuannya. Ini disebabkan banyak ayat-ayat al-Quran yang boleh ditafsirkan dan dijelaskan maksudnya melalui peristiwa-peristiwa yang pernah dihadapi Rasulullah s.a.w. dan sikapnya.

• Keempat ialah dengan mempelajari sirah ini seseorang muslim dapat mengumpulkan sekian banyak pengetahuan dan ilmu-ilmu Islam yang benar, sama ada dalam perkara akidah, hukum dan akhlak. Tidak diragukan lagi bahawa kehidupan Rasulullah merupakan gambaran yang kukuh dari sejumlah prinsip dan hukum. Kelima ialah agar setiap pendakwah Islam memiliki contoh hidup dalam aspek pendidikan dan dakwah. Adalah Rasulullah s.a.w. seorang daie pemberi nasihat dan guru yang terbaik yang tidak berputus asa mencari pendekatan terbaik dalam pendidikan selama beberapa period dakwahnya.

Dengan memahami dan menghayati sirah nabawiyah serta pelbagai yang dilaksanakan olej pelbagai pihak sempena sambutan Maulidur Rasul tahun ini, diharapkan akan menambangkan lagi rasa cinta dan kasih sayang kita kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad s.a.w sekali gus dapat memperkasa kita diri dan ummah ke arah yang lebih dinamik.
______________
Telah disiarkan dalam Ruangan Agama Berita Harian pada 10 Januari 2013.

DEFISIT SOSIAL GUGAT SEMANGAT PERPADUAN, ROSAK ERTI KEMERDEKAAN

 -------------------- Rencana yang telah disiarkan dalam Berita Harian 6 September 2024