Sunday, January 12, 2014

AZAM TAHUN BARU 2014

Oleh: Dr Burhanuddin Jalal

 Kita baru sahaja menyambut tahun baharu masihi 2014. Ini bermakna masa terus berlalu dengan pantas dan jika kita tidak bersedia atau tidak membuat tindakan bijak, kita akan terus tertinggal, malah cabaran baru kian menghimpit.

Menyedari perkara ini, Islam menyarankan umatnya sentiasa peka dan bersedia menghadapi cabaran masa depan bagi memastikan kehidupan umat dan Islam terus terjamin. Kepemimpinan negara menyarankan kita melakukan transformasi bagi memastikan kejayaan dapat dicapai.

Transformasi dalam Islam disebut sebagai islah yang bermaksud perubahan ke arah kehidupan atau keadaan lebih baik. Proses islah atau transformasi pada asasnya terdapat dua aspek iaitu al-islah al-insan (transformasi kehidupan manusia) dan al-islah al-manhaj (transformasi sistem kehidupan manusia).

Islam menetapkan transformasi kehidupan insan sebagai alat yang dapat mengubah atau mencipta sesuatu perubahan. Oleh yang demikian, segala bentuk perubahan atau pembaikan bertujuan membina kualiti kemanusiaan.

Kitab suci al-Quran yang mengandungi pelbagai aspek pengajaran menyentuh akidah, hukum, akhlak, sirah, sains dan teknologi. Semua aspek itu disebut Allah SWT sebagai satu petunjuk kepada manusia untuk mencapai perubahan atau membina peradaban manusia.

Ini jelas seperti firman Allah SWT yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah SWT tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri." (Surah ar-Ra'du, ayat 11)

Perubahan diri dapat dilakukan dengan wujudnya kesedaran untuk melakukan perubahan. Ini disebut sebagai muhasabah diri dan selanjutnya disusuli dengan tindakan untuk membangun semangat ke arah kebaikan dan pembaikan diri.

Amat sedih sekali kerana ramai dalam kalangan umat Islam hari ini hanya sibuk melemparkan pelbagai tuduhan dan sering mencari kesalahan orang lain sehingga gagal menemukan kelemahan diri sendiri.

Oleh itu, dalam hal ini kita perlu mengingati apa yang disebut Khalifah Umar al-Khattab, hitunglah diri kamu sebelum kamu dihitung. Walaupun ramai mentafsirkan peringatan itu merujuk kepada persiapan kematian, tetapi muhasabah perlu dilihat dalam konteks lebih luas.

Muhasabah diri

Bermuhasabah dan tindakan perlu dimulakan oleh diri sendiri seperti saranan Rasulullah SAW. Perlu kita sedari umat Islam tidak akan terjatuh ke lembah kehinaan jika seluruh umat Islam mengamalkan dan memegang teguh ajaran Islam.

Pelbagai cabaran dan kehinaan akan menimpa jika umat Islam gagal mengambil ajaran Allah SWT sebagai petunjuk dan panduan kehidupan. Berdasarkan itu, beberapa tindakan untuk memperbaiki diri dan membetulkan keadaan umat perlu dilakukan.

Perbetul visi

Keadaan ini perlu dimulakan dengan membetulkan visi keislaman yang jelas, akidah murni, ibadah kukuh dan disertai dengan ilmu serta sifat ikhlas yang mantap. Jika ini dapat dilakukan, ia akan melahirkan akhlak yang baik dan semangat penyebaran syiar Islam yang menyeluruh.

Seorang Muslim yang baik, tidak pernah dalam dirinya bersifat statik melakukan perubahan diri. Pada asasnya, kehidupan hari ini perlu lebih baik dari semalam dan kehidupan hari esok perlu lebih baik dari hari ini.

Jika berlaku keadaan statik atau jumud, ini bererti sudah berlaku kemunduran dan jika tidak dibaiki, keadaan menjadi bertambah buruk serta menuju kehancuran. Perkara ini perlu disedarkan kepada seluruh umat supaya menjadi umat yang sederhana.

Jika kesedaran ini dapat digerakkan dan dicapai, sudah pasti umat Islam menjadi pemimpin dunia yang bukan saja menguasai politik, juga dalam segala aspek kehidupan dalam bidang sains, teknologi, ekonomi, politik dan juga peradaban secara umumnya.

Transformasi sistem kehidupan mendorong manusia saling berkomunikasi dan berinteraksi antara satu sama lain. Dalam melakukan hubungan sosial atau interaksi ini, manusia memerlukan peraturan dan sistem yang dapat mengatur kehidupan dengan lebih baik serta sempurna.

Sehubungan itu, Islam sudah mengatur sistem kehidupan manusia secara jamaie untuk membentuk sistem hidup sempurna. Ini semua terkandung dalam peraturan dan hukum hakam yang terdapat dalam ibadah, munakahat, muamalat dan jinayat.

Aspek kepemimpinan

Selain itu, Islam juga mementingkan aspek kepemimpinan kerana manusia bukan haiwan yang hidup tanpa ikatan peraturan dan norma tertentu. Dalam sistem kehidupan berperaturan dan bersistem, memerlukan kepemimpinan yang mampu mengurus manusia ke arah lebih baik.

Sirah Nabawi mencatatkan, terdapat dua Nabi yang membawa syariat Islam dan diikuti oleh ramai umat manusia iaitu Nabi Musa dan Nabi Muhammad SAW. Kedua-dua pemimpin itu mengajak manusia melakukan ketaatan kepada Allah SWT berlandaskan sistem Islam yang dibawa mereka.

Membina sistem kehidupan bertujuan membentuk manusia ke arah lebih sempurna dan berjaya, seluruh umat Islam perlu melihat ibadah, kehidupan bermasyarakat dan peraturan ditetapkan Islam mampu membentuk masyarakat melakukan perubahan secara menyeluruh.

Manusia umpama benih yang perlu ditanam di tanah yang subur untuk pertumbuhan benih yang baik. Benih yang baik tidak akan tumbuh pada tanah gersang atau kering. Walaupun tanahnya subur dan baik tetapi benihnya tidak baik, kita tidak boleh mengharapkan pokok tumbuh dengan subur.

-----------------------
Rencana telah disiarkan dalam Berita Harian 26 Dis 13

No comments:

DEFISIT SOSIAL GUGAT SEMANGAT PERPADUAN, ROSAK ERTI KEMERDEKAAN

 -------------------- Rencana yang telah disiarkan dalam Berita Harian 6 September 2024