Sunday, January 12, 2014
EMPAT MODEL PEMERINTAHAN ISLAM
Oleh: Dr Burhanuddin Jalal
Sejarah mencatatkan bahawa Islam mengalami pelbagai dimensi pemerintahan. Pada zaman pemerintahan Nabi Muhammad SAW di kota Madinah, ia adalah puncak kejayaan politik Islam. Di bawah kepemimpinan Rasulullah SAW, masyarakat Madinah mencapai tahap kesejahteraan sosial yang amat tinggi.
Selepas Islam menguasai kehidupan umat, masyarakat yang sebelumnya suka untuk berperang, bertelingkah dan bahasa yang digunakan adalah `pedang' bertukar menjadi masyarakat yang lebih bertamadun dengan mengutamakan perdamaian, tidak berdendam, kelembutan, beramanah dan mempunyai nilai kemanusiaan yang tinggi.
Kehidupan masyarakat Madinah di bawah kepemimpinan Rasulullah SAW itu juga mampu melahirkan masyarakat yang bertoleransi bukan saja sesama Muslim, bahkan dengan yang bukan Islam.
Masyarakat Madinah pada waktu itu juga adalah model yang terbaik bagi perkembangan Islam selepas itu. Masyarakat Madinah dibangunkan atas teladan, persaudaraan, persamaan, toleransi, musyawarah, tolong-menolong dan keadilan.
Selepas kewafatan Rasulullah SAW, pemerintahan Islam mula mengalami perubahan yang ketara dan semakin kompleks. Kualiti kepemimpinan umat Islam ada naik dan turunnya. Selepas berakhirnya zaman pemerintahan Khulafa al-Rasyidin, dunia pemerintahan umat Islam mengalami perubahan yang amat drastik, khususnya pada zaman pemerintahan Bani Umayyah, Bani Abbasiyyah dan seterusnya.
Pergolakan politik dalam kalangan umat dan negara pada waktu itu terlalu rumit dan pelbagai. Akhirnya pada 1341 Hijrah, Mustaffa Kamal Artatuk mengambil pemerintahan Othmaniah dari Abdul Majid II dan selepas itu politik negara Islam terus mengalami perubahan yang ketara.
Secara umumnya, perjalanan sistem pemerintahan Islam dapat digambarkan berdasarkan empat model yang utama iaitu zaman pemerintahan Rasulullah SAW, zaman pemerintahan Khulafa al-Rasyidin, zaman pemerintahan negara Islam dan zaman pemerintahan dalam pembentukan negara.
Model paling membina masyarakat
Daripada keempat-empat model itu, ternyata model pemerintahan dan kepemimpinan pada zaman Nabi Muhammad SAW adalah yang paling berjaya dalam membangun dan membina masyarakat.
Salah satu aspek teras kejayaan itu adalah disebabkan unsur peribadi yang ada pada diri Rasulullah SAW. Model terpenting yang diterapkan Rasulullah dalam aspek pentadbiran dan pemerintahan Baginda SAW adalah aspek modal insan atau keteladanan yang ditunjukkan Rasulullah SAW.
Ini seperti difirmankan oleh Allah SWT dalam Surah al-Ahzab, ayat 21 yang bermaksud: "Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)."
Kejayaan Rasulullah SAW dapat membina dan mewujudkan umat Islam dapat dilihat pada zaman kecemerlangan negara Islam Madinah.
Perlu kita sedari bahawa perubahan yang berlaku di Madinah itu bukanlah sesuatu yang bersifat `segera' dan `mudah', tetapi ia juga mengalami proses dan masa dalam mengubah kehidupan ke arah yang lebih baik.
Namun, apa yang berlaku di Madinah itu adalah lanjutan daripada pembentukan manusia yang dilakukan Rasulullah SAW sejak dari zaman Makkah lagi iaitu sebelum berlakunya peristiwa hijrah dan individu yang berjaya dibentuk itu menjadi daya penggerak kepada perubahan bagi membantu Rasulullah SAW.
Selain itu, beberapa aspek yang turut menyerlahkan kegemilangan kehidupan sosial, ekonomi dan politik di Madinah pada waktu itu adalah aspek pengukuhan iman yang diterapkan dalam diri sahabat dan setiap individu Mus- lim di Madinah.
Perkara utama dibentuk Rasulullah SAW dalam kalangan sahabat Baginda adalah keimanan kepada Allah SWT. Keimanan yang teguh dan mantap inilah yang menjadi teras dalam diri dan peribadi sahabat serta seluruh kehidupan masyarakat Islam Madinah.
Selain itu, kita dapat saksikan bahawa kejayaan kepemimpinan terdahulu ialah kerana mencontohi kepemimpinan Rasulullah SAW. Ini dapat dilihat pada zaman Umar Abdul Aziz yang melakukan perubahan drastik dalam pemerintahan, khususnya meninggalkan perkara buruk yang dilakukan oleh pemerintahan sebelum itu seperti mengamalkan kemewahan dan pembaziran.
Umar Abdul Aziz mengembalikan gaya pengurusan negara seperti yang pernah dipimpin oleh Khulafa al-Rasyidin, seperti kembali menyusun semula kehidupan masyarakat tanpa mengenal status, membina kestabilan sosial serta menaik taraf kehidupan rakyat dalam pelbagai aspek kemudahan dan prasarana yang sewajarnya disediakan oleh pihak kerajaan.
Tokoh pembaharuan pertama
Tindakan yang dilakukan Umar Abdul Aziz dalam zaman pemerintahannya itu diakui ulama dan mengiktiraf beliau sebagai tokoh pembaharuan yang pertama dalam dunia Islam selepas Rasulullah SAW. Ternyata fakta ini membuktikan bahawa aspek peribadi pemimpin yang ideal adalah satu aspek penting untuk kejayaan organisasi atau masyarakat dipimpin.
Dalam hal ini, Imam al-Mawardi dalam buku Ahkamul al-sultaniyyah mencatatkan mengenai satu syarat yang perlu dipenuhi pemimpin ialah aspek keadilan atau al-Adalah. Konsep adil ini mempunyai kaitan yang rapat dengan nilai keperibadian seseorang pemimpin.
Nilai keadilan dalam Islam tidak hanya berkaitan dengan aspek duniawi semata-mata, tetapi ia juga mencakupi aspek kerohanian dan akhirat. Pemimpin yang adil akan sentiasa menjauhi perbuatan yang bertentangan dengan nilai Islam dan syariat Allah SWT.
Untuk itu dalam suasana kita mengadakan sambutan Maulidur Rasul bagi tahun ini, agenda bertindak kita adalah untuk mengorak langkah ke arah membina kepemimpinan dalam setiap peringkat masyarakat dan organisasi agar mempunyai kepemimpinan yang mampu mencerap keteladanan Rasulullah SAW.
Ini merangkumi aspek siddiq (benar, dipercayai), amanah (jujur, amanah, ikhlas), fatonah (bijaksana, cerdik, pan- dai, intelektual) dan juga tabligh (menyampaikan, telus, kepimpinan, berwibawa). Jika ini dapat dilakukan sudah tentu negara kita sentiasa mendapat berkat dan rahmat daripada Allah SWT.
___________________
Catatan: Rencana telah disiar dalam Berita Harian 6 Jan 2014
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
DEFISIT SOSIAL GUGAT SEMANGAT PERPADUAN, ROSAK ERTI KEMERDEKAAN
-------------------- Rencana yang telah disiarkan dalam Berita Harian 6 September 2024
-
Menurut Kamus Dewan, penghayatan adalah kata terbitan yang berasal dari kata hayat. Ia menggambarkan perihal atau proses menghayati atau men...
-
Mejar Burhanuddin Abdul Jalal Ketika mengajar bab sembahyang dengan menggunakan kitab 'Bahrun Mazi" tulisan Sheikh Idris Marbawi di...
-
RENCANA OLEH: MEJAR BURHANUDDIN ABDUL JALAL TAJUK: CABARAN DAKWAH ISLAMIAH MASA KINI Era dakwah masa kini berhadapan dengan pelbagai cabara...
No comments:
Post a Comment