Tuesday, December 9, 2014

MENGENAL ULAMA

Oleh: Dr Burhanuddin Jalal SUDAHKAH kita manamengenal ulama? Menurut Dr Zulkifli al-Bakri, Mufti Wilayah Persekutuan telah menggariskan beberapa ciri ulama iaitu: " Ulama ialah yang mengenali syariah Allah, faqih dalam agama, beramal dengan ilmu, mengikut hidayah Allah yang dikurniakan kepada mereka dengan hikmah. " Ulama ialah golongan yang Allah jadikan sebagai tiang kepada manusia untuk bersandar dan bergantung dalam permasalahan fiqah, ilmu urusan agama dan dunia. " Ulama ialah ahli fiqah Islam dan fatwa berkisar daripada pendapat mereka dalam kalangan manusia yang mana mereka dikhususkan untuk istinbat hukum dan begitu prihatin dalam menyatakan aspek qawaid halal daripada haram. " Ulama ialah pemimpin agama telah mencapai kedudukan besar dengan sebab mereka berijtihad, sabar dan sempurna keyakinan seperti mana firman Allah dalam surah al-Sajdah ayat 24 yang bermaksud, "Dan Kami jadikan daripada kalangan mereka beberapa pemimpin, yang membimbing kaum masing-masing kepada hukum agama kami, selama mereka bersikap sabar (dalam menjalankan tugas itu) serta mereka tetap yakin akan ayat-ayat keterangan kami". " Ulama ialah golongan yang masyarakat dan umat belajar dan bertafaqquh (mengukuhkan) ilmu agama yang kemudian menyampaikan dakwah serta peringatan. " Ulama ialah petunjuk kepada manusia yang sentiasa wujud di sepanjang zaman untuk membela agamanya. " Ulama ialah ketua jemaah yang diperintahkan supaya beriltizam dengannya dan melarang kita berpisah dengannya. Berdasarkan ciri-ciri tersebut ternyata ulama amat mulia dan besar peranan mereka kepada ummah seluruhnya. Selain dari itu bagi memastikan kita semua tidak terkeliru atau tersilau dengan ' kehebatan' individu yang kadangkala dikategorikan sebagai ulama, kita mestilah memastikan mereka juga mempunyai ciri-ciri seperti mempunyai ilmu yang banyak, kemantapan keilmuan yang ada, mampu untuk menguasai bab syubhah sehingga dapat membezakan dengan jelas, mereka dapat diketahui melalui jihad dan dakwah mereka serta penggunaan masa mereka pada jalan Allah, mereka dikenali kerana kuat beribadah dan takut kepada Allah, mereka dikenali dengan mulianya mereka daripada dikalahkan dunia dan ulama dikenali berdasarkan sijil serta perakuan-perakuan guru-guru mereka yang mursyid, Dalam perkara ini Imam Malik pernah berkata, " Tidak sepatutnya seseorang merasa dirinya hebat dan berkeahlian sehingga ditanya kepada orang yang lebih alim daripadanya".

No comments:

LAHIRKAN RAMAI CENDEKIAWAN MUSLIM HADAPI PERANG PEMIKIRAN

Arikel yang telah disiarkan dalam Ruangan Agama BERITA HARIAN - 28 Januari 2024 (Ahad). Selamat membaca .