Wahbah al-Zuhayli dalam
kitabnya ‘, al-Fiqh al-Islami wa
Adillatuhu’, telah mendefinisikan wakaf, ialah menahan harta yang kekal zatnya yang
boleh digunakan manfaatnya untuk tujuan kebajikan sebagai usaha taqarrub kepada
Allah SWT, harta yang diwakafkan diserahkan kepada pihak tertentu dan mereka
tidak boleh menggunakan harta wakaf tersebut secara sewenang-wenangnya. Menurut
istilah yang digunakan dalam perundangan Islam pula, wakaf difahami sebagai
suatu bentuk dedikasi harta, sama ada secara terang (sarih) atau sindiran
(kinayah) di mana harta (substance)
berkenaan ditahan dan hanya manfaatnya sahaja yang diaplikasikan kepada
tujuan-tujuan kebajikan sama ada berbentuk umum mahupun khusus. Sebenarnya
amalan wakaf merupakan sistem yang telah lama wujud dalam kehidupan manusia
sebelum Islam datang, walaupun tidak dinamakan dengan wakaf. Ianya terbukti
dengan terdapat pembinaan dan pembiayaan tempat-tempat peribadatan dilakukan
sesuai dengan konsep wakaf.
Selain dari itu, wakaf
merupakan instrumen kewangan yang berfungsi sebagai pemangkin kepada
pembangunan sesebuah negara, malah terlibat dalam pembinaan tamadun suatu
ketika dahulu. Hal ini kerana fungsi dan peranan wakaf atau juga disebut
sebagai sektor ketiga ini adalah sangat besar. Sebagai buktinya adalah
perkembangan negara dan peningkatan taraf hidup di negara Turki yang dibantu
oleh mekanisme wakaf. Antara hasil daripada aktiviti wakaf adalah pembinaan
institusi keagamaan dan pendidikan, kemudahan awam, pertanian, perladangan dan
banyak lagi. Perkembangan wakaf ini dapat dilihat hampir ke seluruh dunia
apabila negara Eropah juga menjadikan wakaf sebagai instrumen dalam pembinaan
institusi pendidikan. Contohnya, pembinaan Universiti Harvard dan Universiti
Cambridge. Perkembangan aktiviti wakaf dilihat berkembang ke rantau Asia
termasuklah Malaysia.
Dalam hal ini Institusi wakaf perlu terus
berkembang mengikut arus pemodenan, iaitu konsep wakaf dilaksanakan mengikut
keperluan dan keadaan semasa. Ia perlu dikembangkan dengan cara yang terbaik
dan waspada demi memaksimumkan manfaatnya kepada umat Islam khususnya dan
manusia seluruhnya. Pada hari ini wakaf seharusnya tidak harus disempitkan lagi
malah ianya terus dikembangkan dengan lebih meluas mengikut keperluan semasa.
Masyarakat Malaysia masa kini masih lagi dibayangi oleh pemahaman bahawa wakaf
adalah berorientasikan tanah terbiar atau pembinaan masjid dan surau. Namun
sedikit sebanyak dengan wujudnya saham tunai dan saham wakaf telah memberikan
pendedahan tentang konsep sebenar wakaf itu iaitu ianya tidak hanya tertumpu
kepada pembinaan rumah-rumah Allah sahaja.-BERITA HARIAN 19 FEB 2019 Muka surat 10