Buku
“KEPIMPINAN KETENTERAAN’ ini ialah
hasil kerjasama bersama dengan Jeneral
Tan Sri Dato' Seri Panglima Profesor Hj Zulkifli bin Hj Zainal Abidin, Kolonel Dr.
Zahimi bin Zainol Abidin dan Kolonel Profesor Madya Dr. Burhanuddin bin Jalal.
Buku ini diusahakan bersama sebagai ‘tribute’ kepada Jeneral Tan Sri Dato' Seri Panglima Profesor Hj Zulkifli bin Hj Zainal
Abidin di atas usaha-usaha yang beliau lakukan sepanjang menjadi Naib Canselor
Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM). Buku diterbitkan oleh UPNM Press pada tahun 2018.
Buku ini menjelaskan tentang kepimpinan dan juga
tentang profesion ketenteraan. Perlu ditekankan bahawa profesion ketenteraan merupakan kerjaya yang dipandang
mulia oleh Islam bahkan satu penghormatan yang tinggi terhadap orang yang
terlibat secara langsung dengan tugas-tugas ketenteraan. Orang yang gugur di
medan peperangan atau tugas yang telah diamanahkan demi kepentingan agama,
bangsa dan negara layak untuk digelar sebagai ‘syuhada’ jauh lebih bernilai
daripada penghargaan yang diberikan di dunia ini. Dalam hal ini Nabi Muhammad
SAW telah bersabda yang bermaksud, “Sesiapa
yang mati kerana mempertahankan hartanya digelar sebagai syahid. Sesiapa yang
mati kerana mempertahankan keluarga dan jiwa rakannya ia digelar sebagai syahid
dan sesiapa yang mati kerana mempertahankan agamanya maka akan digelar sebagai
syahid”. (Hadis Riwayat Said bin Zayd, Sunan al-Tirmizi, No. Hadis: 1421)
Allah SWT telah memerintahkan umat Islam supaya
membuat persiapan dan membentuk kekuatan bagi mempertahankan agama, bangsa dan
negara. Ini seperti mana yang telah difirmankan
oleh Allah SWT yang bermaksud;“Dan sediakanlah untuk
menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu
sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk
menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh
yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah
mengetahuinya. Dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan
disempurnakan balasannya kepada kamu, dan kamu tidak akan dianiaya”. (Al-Quran, Al-Anfal, 8: 60).
Berdasarkan ayat tersebut, bagi menghadapi semua
keadaan, sama ada aman atau perang kita perlu kepada kekuatan tentera agar kita
tidak dipandang remeh atau rendah oleh pihak musuh. Sumbangan ketenteraan amat
besar ertinya kepada agama, bangsa dan tanah air. Kajian tentang ketenteraan
dalam Islam masih sedikit jika hendak dibandingkan dengan kajian-kajian Islam
dalam bidang-bidang lain. Kajian dalam bidang ketenteraan Islam banyak
dikaitkan dengan kekhalifahan, imamah dan juga isu-isu yang berkaitan dengan politik dan
juga pemerintahan dalam Islam. Sejarah telah membuktikan bahawa konsep tentera
dalam Islam pada mulanya hanyalah untuk mempertahankan agama (jihad) yang
mempunyai kaitan dengan pemerintahan, nilai-nilai keadilan, kemerdekaan dan
keselamatan.
Semoga buku ini dimanfaatkan oleh pembaca dan menambah
lagi buku-buku yang berkaitan dengan ketenteraan dan kepimpinan. Selamat
membaca.
Judul Buku: KEPIMPINAN KETENTERAAN’
Penulis: Zulkifli Zainal Abidin, Zahimi Zainol Abidin, Burhanuddin Jalal.
Penerbit. UPNM Press
Tahun terbit: 2018