Tuesday, December 18, 2007

Membentuk imam berwibawa

bicara agama


Membentuk imam berwibawa
Oleh Mejar Burhanuddin Abdul Jalal

SEJAK kebelakangan ini sering diperkatakan tentang institusi masjid dan surau, sama Ada dari aspek pengurusan fizikalnya ataupun dari segi para pentadbir atau orang-orang yang menguruskan masjid.

Tidak terlepas daripada perbincangan ialah tentang isu imam-imam di masjid. Di antara topik yang sering diperbincangkan ialah tentang peranan imam masjid tidak terserlah lagi, tetapi yang menonjol ialah nazir atau AJK masjid. Persoalannya apakah pada hari ini peranan imam tidak menonjol lagi? Oleh yang demikian tulisan berikut ingin menjelaskan bagaimanakah sepatutnya imam-imam berperanan dalam masyarakat sekali gus membina masyarakat dan menonjolkan perpaduan ummah.

Sesungguhnya imam mempunyai tempat dan peranan yang penting dalam Islam. Untuk itu Islam menetapkan beberapa garis panduan dan beberapa sifat yang perlu dimiliki oleh imam sebelum ia seterusnya berperanan sebagai imam dalam sembahyang. Di antara dalil yang menjelaskan tentang ketinggian kedudukan imam, adalah berdasarkan hadis nabi yang bermaksud,

Apabila telah datang waktu sembahyang, segeralah kamu azan dan seterusnya lantiklah seseorang yang lebih besar (tua) di kalangan kamu menjadi imam. (Riwayat Bukhari).

Rasulullah s.a.w. menyebut agar melantik imam di kalangan yang lebih tua kerana rata-rata sahabat pada waktu itu mempunyai hafalan dan pengetahuan yang sama, dan ini merupakan dalil yang jelas dari sudut keutamaan perlantikan imam.

Sebuah lagi hadis yang diriwayatkan oleh Uqbah bin Amir al-Juhani, telah menyebut Rasulullah s.a.w. pernah bersabda.

Barangsiapa mengimami sesuatu kaum, apabila sempurna mengimami solat, maka baginya pahala sempurna solat, begitu juga bagi makmum, namun jika ia (imam) tidak menyempurnakan maka bagi makmum pihak yang sempurna (solatnya sah), tetapi atas imam, dosa baginya. (Riwayat Imam Ahmad).

Apakah ciri-ciri atau kriteria untuk seseorang itu boleh dilantik menjadi imam?

Banyak hadis sahih yang boleh dijadikan rujukan kita melantik imam untuk memimpin jemaah menunaikan solat. Di antaranya hadis yang boleh dirujuk adalah seperti berikut:

- Apabila mereka tiga orang, agar memimpin salah seorang daripada mereka (dalam solat) dan yang paling berhak di antara mereka untuk memimpin iaitu yang paling banyak hafalannya. (Riwayat Muslim).

- Rasulullah bersabda, Orang yang paling pandai membaca al-Quran yang akan menjadi imam kaumnya. Apabila kepandaian mereka dalam al-Quran sama, maka yang paling mengerti tentang sunah, apabila pengertian mereka tentang sunah sama, maka yang paling dahulu hijrah. Apabila waktu hijrah bersamaan, maka yang paling dahulu masuk Islam.'' Dan dalam hadis yang lain ``yang lebih tua. (Riwayat Bukhari).

berdasarkan hadis di atas, dapat dibuat kesimpulan bahawa individu yang paling layak menjadi imam ialah yang paling banyak hafalan al-Qurannya, serta menguasai hukum-hukum syarie serta dapat menguasai masalah-masalah dalam bab kebersihan (thaharah dan sembahyang).

Ini penting kerana apabila kita menyorot kembali keazaman nabi, para sahabat, mempelajari al-Quran dengan kaedah membaca dan seterusnya menghayatinya. Oleh yang demikian, terkumpul dalam diri mereka ilmu, amal dan iman dan tidak sekadar menguasai hafalan semata-mata. Aspek ini ditekankan kerana dikhuatiri terdapat orang yang banyak hafalannya, bagus suaranya, tetapi tidak faham hukum-hukum tentang bab sembahyang serta tidak mantap akidahnya.

Dalam hadis itu juga menyebut, apabila terdapat persamaan dari segi hafalan al-Quran , maka pilih di kalangan mereka yang paling memahami tentang as-sunah, jika terdapat juga persamaan dari segi hijrah dan seterusnya dari aspek umur iaitu tua. Oleh yang demikian, perlantikan imam bukan sekadar disebabkan kedudukannya dalam masyarakat, keturunan ulama atau tinggal dekat dengan masjid tetapi seseorang yang dipilih perlu mempunyai pengetahuan dari segi agama agar imam yang dilantik dapat membawa kebaikan kepada umat di dunia hingga hari akhirat.

Perlu ditekankan sekali lagi, bahawa imam masjid atau surau mempunyai martabat yang tinggi dalam masyarakat. Ini dapat dibuktikan dengan apa yang telah dilakukan oleh imam pertama bagi kaum Muslimin iaitu Rasulullah s.a.w. baginda bukan sekadar menjadi imam tetapi turut menjadi qudurah serta hakim yang adil, panglima perang yang berani, seorang guru dan khatib. Oleh yang demikian, seseorang imam yang dilantik perlu mempunyai ciri-ciri atau kewibawaan yang terserlah, agar wujud kebaikan-kebaikan tertentu khususnya manfaat kepada masyarakat.

Di antara sifat-sifat penting yang perlu dimiliki oleh imam bagi mempastikan imam mempunyai kewibawaan dan mampu memimpin masyarakat ialah:

- Seorang imam mempunyai hafalan dan bacaan al-Quran yang baik. Jika seseorang imam dapat menguasai al-Quran sama ada dari segi hafalan bacaan atau pengertian dan isi kandungan sudah tentu ia dapat memberi nasihat dengan baik kepada makmum dalam pelbagai aspek al-Quran. Jika seseorang imam mempunyai hafalan yang sedikit, sudah tentu para makmum agak terhalang untuk mendatangkan kebaikan yang banyak. Ini jelas daripada sabda Nabi Muhammad s.a.w.

(Agar) mengimami sesuatu kaum itu orang yang paling banyak bacaan al-Quran di kalangan mereka. (Riwayat Muslim).

Di samping seorang imam perlu mempunyai hafalan yang banyak, seseorang imam juga perlu memahami sunah Rasul secara ikhlas yang berhubung dengan bab bersuci dan juga bab yang berhubung dengan solat. Menguasai sunah dalam bab-bab sembahyang atau bersuci amat penting bagi seseorang imam kerana imam perlu memahami dan menguasai bidang tugasnya.

Bila seorang imam tidak mematuhi perkara-perkara yang berkaitan dengan sembahyang, aspek wajib, sunat, harus, batal, makruh, haram dan sebagainya tentulah banyak masalah akan timbul jika ia berdepan dengan pertanyaan atau ia melakukan sesuatu kesilapan. Untuk itu imam perlu mempersiapkan diri dengan ilmu agar dapat memimpin sembahyang dengan betul, sempurna dan mendapat pahala serta selamat daripada dosa.

- Mempunyai suara yang baik. Seorang imam perlu mempunyai suara yang bagus, dengan harapan bacaan al-Quran yang dibacanya dapat memberi kesan kepada orang yang mendengarnya. Ini seperti mana yang telah disabdakan oleh Rasulullah s.a.w.

Wahai Abu Musa, sesungguhnya engkau telah diberi seruling daripada seruling keluarga Daud (suara yang merdu dan baginda bersabda, ``Allah tidak mendengarkan pada sesuatu seperti mendengarkannya kepada Nabi yang bersuara bagus yang memperindah suaranya dalam bacaan al-Quran ..... (Riwayat Bukhari).

- Mempunyai iman yang mantap.

Sebagai seorang imam sudah pasti ia mempunyai kekuatan akidah dan juga iman yang mantap. Dengan iman dan akidah yang mantap, ia dapat menjelaskan kepada para makmum tentang aliran-aliran yang batil serta ia dapat menjadi imamnya, istiqamah serta hatinya sentiasa bersih. Dengan sifat yang demikian, ia dapat diterima oleh masyarakat serta memudahkan dirinya untuk menasihati orang lain.

- Mempunyai keterampilan berceramah/pendakwah.

Sebagai seorang imam, ia perlu mampu menjadi penceramah dan pendakwah yang baik. Ini penting mempastikan masjid yang dijaganya dapat berperanan dengan baik dan lancar dan bukan orang lain yang sentiasa memenuhi program masjid, dan ia sekadar menjadi pendengar atau murid yang setia.

Berdasarkan beberapa kriteria yang dijelaskan dan jika ini dapat dikuasai oleh imam-imam dari keseluruhan 5,000 masjid yang terdapat di Malaysia, sudah tentu masjid/surau dapat berfungsi dan berperanan dengan baik dan mencapai matlamatnya.

----------------------------
Telah disiarkan dalam Utusan Malaysia 16 Jan 2004

No comments:

DEFISIT SOSIAL GUGAT SEMANGAT PERPADUAN, ROSAK ERTI KEMERDEKAAN

 -------------------- Rencana yang telah disiarkan dalam Berita Harian 6 September 2024