Tuesday, December 18, 2007

Jasa keluarga diraja bangunkan Kolej Islam

Jasa keluarga diraja bangunkan Kolej Islam
PADA Sabtu lalu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan merasmikan sambutan Jubli Emas Kolej Islam Sultan Alam Shah di Klang. Sesungguhnya nama Kolej Islam sudah tidak asing lagi di negara ini setanding dengan nama-nama besar sekolah berasrama penuh (SBP) yang lain, yang telah berjaya melahirkan cerdik pandai, teknokrat dan ilmuwan Islam di Malaysia, Singapura dan Brunei.
Bagi memperingati sejarah dan peranan Kolej Islam yang dirasmikan pada 8 April 1955 itu, oleh AlMarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah di Klang itu, sebuah buku telah diterbitkan bagi menyorot sejarah awal penubuhan, perkembangan dan yang paling penting sebagai satu dokumentasi untuk membuktikan perkembangan pendidikan Islam di negara ini.
Sesungguhnya sejarah dan perkembangan Kolej Islam ini amat panjang dan menarik sekali. Antaranya buku ini menjelaskan tentang bagaimana Kolej Islam ditubuhkan, berpindah ke Petaling Jaya, kembali semula ke Klang dan usaha Kementerian Pelajaran Malaysia untuk mengambil alih kolej ini pada tahun 1967 bagi memperbaiki tahap pengurusan dan dikenali sebagai Kolej Islam Klang (KIK).
Kemudian pada tahun 1972 KIK sekali lagi berubah status dengan dinaik taraf menjadi sekolah berasrama penuh (SBP) aliran agama yang pertama lengkap dengan pelbagai kemudahan yang terbaik. Pada tahun 1989, KIK ditukar nama kepada Kolej Islam Sultan Alam Shah (KISAS) dengan mengekalkan bangunan bekas istana sultan sebagai nadi pentadbiran dan pengurusan kolej.
Sesungguhnya buku berjudul Kolej Islam - Sejarah dan Perkembangan, hasil tulisan Abdul Talib Hamid dan Firdaus Ahmad Azzam ini telah membongkar dan menyelusuri sejarah perkembangan dan pengorbanan cendekiawan Islam dan pengorbanan golongan diraja untuk sama-sama membangun dan memperkasa institusi pendidikan Islam di negara ini.
Kajian penulis juga telah membuktikan bahawa Kolej Islam lahir daripada tradisi ilmu dan budaya Islam yang unggul dan kaya. Institusi pendidikan Islam di Malaysia mendapat bekalan dan semangat serta aspirasi daripada kejayaan institusi pendidikan Islam tersohor di serata dunia yang membawa visi dan misi yang sama.
Bermula dengan institusi tradisional yang telah berperanan seadanya, berubah kepada institusi pendidikan Islam moden yang sangat diperlukan pada zaman yang kian berubah pada waktu dan ketika itu.
Kesedaran mengenai Islam dan perubahan banyak sekali dipengaruhi oleh semangat pan-Islam dan gerakan Islah yang dibawa pulang oleh pelajar Malaysia (Malaya) yang menuntut di Asia Barat.
Bersesuaian dengan semangat nasionalisme yang sedang memuncak dan ke arah kemerdekaan, gagasan penubuhan Kolej Islam Malaya mendapat sambutan dan dukungan umat. Apabila AlMarhum Tuanku Abdul Rahman Putera, Perdana Menteri pada waktu itu memaklumkan mengenai keterbatasan dana bagi merealisasikan penubuhan Kolej Islam Malaya pada waktu itu, umat dan rakyat tampil membantu dan menderma.
Apabila timbul isu mengenai kesesuaian `tapak' untuk melaksanakan cita-cita, tampil pula raja yang terkenal kuat beragama dan berhati mulia membantu menyelamatkan suasana iaitu Sultan Selangor, Almarhum Sultan Sir Hisamuddin Alam Shah Al-Haj.
Baginda bukan sekadar memberi bantuan kewangan seperti mana baginda memberi bantuan kepada penubuhan Universiti Malaya di Kuala Lumpur, malah baginda telah mewakafkan Istana Jemaah Kampung Jawa untuk dijadikan kampus Kolej Islam.
Perhatian keluarga diraja Selangor sejak dahulu dan berterusan sehingga hari ini termasuk AlMarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dan kini Sultan Sharafuddin Idris Shah amat besar maknanya kepada kejayaan dan keunggulan institusi Kolej Islam.
Sepanjang sejarahnya, Kolej Islam didatangi oleh kelompok terbaik dari lepasan sekolah agama di seluruh Malaysia, Singapura dan juga Brunei.
Kesungguhan penulis mengkaji dan menyusuri sejarah suka dan duka tiga generasi kemajuan dan perkembangan Kolej Islam iaitu Kolej Islam Malaysia (KIM), Kolej Islam Klang (KIK) dan Kolej Islam Sultan Alam Shah (KISAS) telah memberikan impak yang besar kepada kita tentang kesungguhan generasi awal untuk mendidik generasi muda menjadi insan yang berguna yang mampu menguruskan kehidupan yang seimbang bagi memenuhi kepentingan dunia dan akhirat.
Sesungguhnya tiga generasi Kolej Islam iaitu KIM, KIK dan KISAS atau dalam tempoh 50 tahun yang lalu tiga generasi tersebut telah membawa nama baik bagi negeri Darul Ehsan bandar diraja Klang dan juga Malaysia amnya ke mercu kecemerlangan sejagat dengan cogan kata Kolej Islam yang berasal dari ayat 112 surah Hud yang bermaksud Tetaplah (istoqamah) atas jalan lurus sebagaimana yang diperintah.
Judul: Kolej Islam - Sejarah Dan Perkembangan
Penulis: Abdul Talib Hamid
dan Firdaus Ahmad Azzam
Tahun Terbit: 2003
Penerbit: Kolej Islam
Sultan Alam Shah
Harga: RM25
Halaman: 212
Pengulas: Burhanuddin
Abdul Jalal
ISBN: 983 - 2966 - 00 - 0
_____________________________________
Telah disiarkan dalam uitusan Mlaysia 20/06/2005

No comments:

DEFISIT SOSIAL GUGAT SEMANGAT PERPADUAN, ROSAK ERTI KEMERDEKAAN

 -------------------- Rencana yang telah disiarkan dalam Berita Harian 6 September 2024