Wednesday, December 5, 2007

Membina konsep khutbah dinamik

Berita Harian Online
Jumaat, 25 Julai 1997 20 Rabiulawal 1418
Membina konsep khutbah dinamik
DR UTHMAN El-Muhammady (1997) pernah menyatakan khutbah masa kini tidak memberi panduan, kurang memberangsangkan, kurang menarik minat dan perhatian, menjadi pemenuh syarat dan sah sembahyang semata-mata serta kurang persiapan khatib. Malek Ben Nabi, tokoh pemikir Islam juga memberikan sindiran tajam apabila menyatakan: "Dalam solat Jumaat seolah-olah imam/khatib dan makmum/pendengar sudah berpakat tidak ingin mendapat apa-apa faedah daripada khutbah yang disampaikan." Mengapa? KOLONEL NAJMI AHMAD dan MEJAR BURHANUDDIN ABDUL JALAL daripada Kor Agama Angkatan Tentera, Kementerian Pertahanan Malaysia memberikan pendapat mereka.

UNTUK menghasilkan khutbah dinamik, adalah perlu melihat bagaimanakah persediaan atau keadaan jemaah yang hadir bagi menunaikan ibadat Jumaat. Tidak dinafikan ramai yang bersedia untuk menunaikan solat Jumaat dengan penuh takwa dan keikhlasan. Tetapi jumlah ahli Jumaat yang tidak mempunyai ciri yang digalakkan juga ramai. Noraini Md Yaman (1997) dalam kertas kerjanya, 'Golongan Sasaran Khutbah' menyebut ada ahli Jumaat tidak menghayati khutbah yang disampaikan kerana faktor:

* Fizikal -letih, lapar, mengantuk, kurang selesa, duduk bersila, panas, masjid penuh sesak;

* Mental - fikiran tidak tenang, kusut, keupayaan untuk memahami khutbah, tahap pengetahuan, tumpuan terganggu, perbezaan pendapat dan faktor lain;

* Emosi - perasaan tertekan, konflik jiwa rasa tercabar atau diperkecil-kecilkan oleh khutbah yang disampaikan; dan

* Rohani - perbezaan tahap pendidikan rohani dan berlainan fahaman.

Berdasarkan faktor kelemahan dan faktor kesediaan ahli jemaah yang hadir untuk mendengar khutbah, beberapa tindakan perlu diambil bagi memberi nafas baru terhadap khutbah. Menurut Dr Uthman (1997) ada dua keperluan utama khutbah masa kini.

Pertama; bagaimana hendak menjayakan khutbah sebagai wahana bagi menjayakan perubahan dalam masyarakat dan kedua; bagaimana menimbulkan motivasi dan semangat melakukan kebaikan dalam semua kegiatan dan keperluan hidup.

Bagi mendapatkan model atau konsep khutbah yang dinamik kita perlu merujuk kepada ciri khutbah Nabi. Dalam aspek khutbah Nabi ada dua perkara yang perlu diperhatikan. Pertama aspek penyampaian dan kedua kandungan.

Apakah ciri khutbah nabi yang perlu dihayati? Ada empat perkara yang penting berasaskan ciri khutbah Nabi: Isi, bahasa, teknik penyampaian dan jangka masa.

Isi khutbah hendaklah ringkas dan padat selaras dengan Sunnah Rasulullah. Anas bin Yasir berkata: "Saya mendengar Rasulullah bersabda, sesungguhnya panjangnya solat dan singkatnya khutbah menunjukkan kedalaman agama seseorang itu. Oleh itu, panjangkanlah solat dan singkatkan khutbah" - (Hadis riwayat Muslim dan Ahmad).

Isi yang hendak dibincangkan hendaklah tepat, jelas, kukuh dan dapat menyentuh jiwa pendengar. Dalil naqli serta dalil yang tepat perlu disertakan untuk memperkukuh hujah yang diberikan.

Bahasa yang digunakan dalam khutbah hendaklah bersesuaian dengan tahap kebolehan pendengar. "Berbincanglah kepada manusia mengikut tahap kecerdasan (akal) mereka." - (Hadis riwayat Muslim).

Dalam hubungan ini, bahasa yang digunakan dalam khutbah Jumaat hendaklah sealiran dengan perkembangan dan suasana semasa. Oleh itu, khutbah yang masih menggunakan bahasa 'lama' perlu diberi nafas baru dengan bahasa dan istilah yang baru dan lebih segar. Di samping itu, bahasa khutbah perlu bersifat bahasa 'lisan'.

Syed Sabiq (1987) memetik pandangan Imam an-Nawawi yang menyarankan penggunaan bahasa yang baik dalam khutbah. Katanya: "Disunatkan khutbah Jumaat menggunakan bahasa yang fasih dan lancar, tersusun, mudah dimengertikan tidak terlalu tinggi, tidak pula menjadi tidak keruan, kerana yang demikian itu tidak memberi bekas walau sedikit pun pada hati pendengar. Sebaik-baiknya pilihlah bahasa yang mudah, ringkas dan bervariasi."

Teknik penyampaian juga penting. Penyampaian khutbah yang berkesan biasanya berbentuk 'perbualan antara khatib dan pendengarnya. Oleh yang demikian tidak digalakkan membaca teks khutbah. Perbuatan membaca teks khutbah dengan sendirinya membunuh semangat khutbah yang sering menjemukan pendengar. Khatib juga perlu mengawal suara, pergerakan badan, menarik perhatian dengan gaya, retorika, bahasa badan dan strategi pemujukan yang sesuai.

Allah berfirman: "Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad dengan hikmah dan pengajaran yang baik dan berbahaslah dengan mereka dengan cara yang lebih baik" - (AlQuran, an-Nahl:125).

Jabir (RA) berkata: "Apabila Rasulullah berkhutbah, kedua-dua mata baginda merah, suaranya keras dan bersemangat bagaikan seorang panglima yang memperingatkan kedatangan musuh yang hendak menyerang."

Bagaimana dengan jangka masa khutbah? Nabi menyampaikan khutbah dalam jangka masa yang pendek. Ini berdasarkan beberapa hadis yang diriwayatkan sahabat. Jabir berkata: "Nabi tidaklah memanjangkan nasihatnya pada hari Jumaat (dalam khutbah Jumaat). Baginda hanya memberikan amanat yang singkat saja" - (Hadis, riwayat Abu Daud).

Penyampaian sesuatu khutbah itu akan lebih bersesuaian jika disampaikan dalam tempoh yang tidak melebihi 15 minit. Dari sudut psikologi, tumpuan pertama manusia adalah sekitar 15 - 30 minit. Selepas itu, fikiran manusia tidak dapat lagi memberi tumpuan sebaik-baiknya terhadap apa yang didengarinya. (Najmi Haji Ahmad, 1997).

Berdasarkan ciri khutbah Nabi, ada beberapa ciri penulisan khutbah yang perlu diperhatikan: Pendek, tepat, padat, tidak menyeleweng, tidak tergantung, tidak kabur, persoalan terjawab, terjurus kepada perbincangan, menjiwai pendengar, menjadi pegangan, membawa perubahan, mendapat ilmu dan mendapat benda baru.

Pada asasnya ada beberapa jenis penulisan khutbah yang boleh memberi kesan dan bersifat dinamik jika dapat dijayakan. Antaranya:

* Khutbah berbentuk berita seperti kemalangan, kebakaran, kejayaan atau kegagalan manusia yang boleh dijadikan teladan. Fakta dari media massa perlu diulas bersama dalil naqli, kata ulama dan dijadikan iktibar;

* Khutbah bersifat bagaimana mencapai ketakwaan, keikhlasan, kecantikan akal budi;

* Khutbah membincang profil seperti ulama, sahabat Nabi dengan menceritakan perihal individu untuk pengajaran manusia;

* Khutbah penerangan untuk memperjelaskan mengeni sesuatu aktiviti atau ibadat yang disaran oleh Islam untuk dilaksanakan;

* Khutbah sejarah yang memperihalkan kisah sejarah Islam, Sirah Rasul dan sahabat Nabi yang masih belum dibongkar. Khutbah sejarah tentu dapat menarik minat jemaah jika berjaya diolah dan disesuaikan dengan keadaan semasa dan dikaitkan dengan kehidupan masa kini;

* Khutbah penyiasatan mengenai mengapa masalah rasuah, gejala sosial banyak berlaku dalam masyarakat. Penyiasatan mengenai sesuatu perkara buruk berlaku serta akibat dan kesan dalam masyarakat perlu diolah dengan baik;

* Khutbah pendapat khatib untuk menyaran sesuatu perkara untuk memperbaiki golongan sasaran. Pendapat diperkukuh dengan fakta yang tepat dan bersifat ilmu;

* Khutbah berbentuk soalan seperti tahukah anda ayat 25 surah al-Kahfi mempunyai pengertian yang paling bermakna kepada manusia. Soalan ditujukan kepada jemaah dan menggalakkan mereka menjawab dan seolah-soalan khatib memberikan homework kepada jemaah; dan

* Khutbah muhasabah yang mengajak jemaah memperbetulkan diri ke arah ketakwaan. Sudahkah anda beres dalam soal sembahyang? Sudahkah kita membaca al-Quran hari ini?

Membina penulis khutbah yang baik tidak sukar. Antara kriteria yang perlu difahami ialah memahami keperluan khutbah, persiapan ilmu, buku rujukan, mengikut perkembangan semasa, kemahiran bahasa/penulisan, tafaqquh fiddin, kemahiran berfikir dan berfikir secara kritis.

Menurut Dr Syakban, antara kriteria penulis khutbah yang berjaya ialah mampu menyampaikan khutbah dengan baik dari segi nada suara bahan dan idea yang baik, mengetahui zuruf (keadaan) dan biaah (latar belakang) pendengar, bijak menggunakan istilah memuji dan mengkritik dalam sesuatu keadaan serta mampu menghentikan khutbah ketika pendengar mencapai tahap belum terlalu puas.

Abdul Rasyid Muhammad (1992) dalam kajian Kecemerlangan Khutbah di Negeri Pahang membuktikan bahawa khutbah yang dinamik mempunyai potensi besar untuk bertindak sebagai media pembangunan yang amat berkesan. Kajian itu menyatakan khutbah yang dinamik dapat memberikan matlamat berikut:

* Memberitahu dan mengajar orang yang jahat;

* Mengingatkan orang lupa dan menggerakkan orang yang lalai;

* Mengejutkan orang yang lena;

* Meredakan jiwa yang angkuh;

l Menggalakkan yang makruf;

* Merangsang semangat berjihad; dan

l Mengukuhkan ketakwaan orang yang mendengar.

Bagi menjayakan hasrat mewujudkan khutbah yang dinamik berikut dicadangkan beberapa perkara untuk perbincangan bersama:

* Isu semasa hendaklah dijadikan tema setiap khutbah secara berkala;

* Setiap khutbah hendaklah mengandungi pendapat yang positif, bernas, berkualiti, hujahnya berdasarkan al-Quran, as-Sunnah dan dalil yang kukuh;

* Idea dan pemikiran pakar dalam pelbagai bidang dimasukkan dalam khutbah;

* Bahasa khutbah mudah difahami;

* Penggunaan alat-alat bantuan seperti gambar, tayangan slaid, komputer, tayangan ayat al-Quran dan prasarana yang baik;

* Isu khutbah dijadikan perbincangan selanjutnya;

* Pakar-pakar dalam bidang lain juga perlu dijemput untuk berkhutbah;

* Khutbah dari luar negara yang baik, diterjemah dan disampaikan;

* Teks khutbah ditulis dan sunting, dibukukan dan diedarkan jemaah;

* Wujudkan bank skrip/teks khutbah sukatan khutbah; dan

* Jawatankuasa panel penulisan khutbah/ahli pemikir berkaitan khutbah dan isu-isu yang berkaitan dengannya.

Khutbah berpotensi untuk bertindak sebagai penggerak pembangunan ummah yang berkesan. Kita perlu mengubah imej khutbah daripada sekadar memenuhi rukun kepada media yang berperanan membangunkan ummah dalam segala aspek kehidupan.

1 comment:

verstylista said...

assalamualaikum dr.burhanuddin. sebuah artikel yang padat dan penting! saya setuju dengan artikel dr. tentang dinamik sebuah khutbah. apa yang saya tahu, khutbah di malaysia kurang berkesan sari aspek struktur isi kangdungan dan penyampaian. sebagai seorang pensyarah komunikasi, saya serta rakan2 ingin memperbetulkan khutbah di malaysia mengikut sunnah rasul s.a.w.

LAHIRKAN RAMAI CENDEKIAWAN MUSLIM HADAPI PERANG PEMIKIRAN

Arikel yang telah disiarkan dalam Ruangan Agama BERITA HARIAN - 28 Januari 2024 (Ahad). Selamat membaca .