Sunday, August 9, 2009

SALAM DAN UKHUWAH

Oleh: Mejar Burhanuddin Abdul Jalal

Ukhuwah dan kasih sayang atas nama Allah tidak hanya mendapat ganjaran di akhirat semata-mata, tetapi ia juga merupakan satu aspek peningkatan kualiti iman. Ini adalah berdasarkan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Mencintai kerana Allah dan membenci kerana Allah merupakan penguat simpul-simpul keimanan” .Ini bermaksud setiap individu Muslim perlu mencintai Muslim yang lain kerana Allah dan membenci kaum kafir munafik kerana Allah.

Dalam hadis yang lain, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Dua orang Muslim yang bertemu kemudian bersalam , maka mereka mendapat keampunan sebelum mereka berpisah” .

Ternyata begitu banyak sekali kebajikan yang boleh dilakukan dalam Islam serta ia mendapat keampunan dan rahmat dari Allah SWT. Dengan hanya menyapa dan bersalam dengan saudara seagama Allah memerikan rahmat dan keampunan kepada kita, sesungguhnya ini semua anugerah Allah yang amat besar dan indah!

Rasulullah SAW selalu mendidik dan mengajar para sahabat agar sentiasa kasih mengasihi antara satu sama lain. Pendidikan atau tarbiah ini telah dibuktikan seperti kisah Abdul Rahman bin Auf dari kalangan orang muhajirin dengan Saad bin Rabi dari kalangan orang Ansar. Apakah yang telah dilakukan oleh Saad kepada Abdul Rahman? Dalam peristiwa hijrah, Nabi dan para sahabat berhijrah dengan tidal membawa apa-apa harta atau keluarga. Kemudian Saad berjumpa Abdul Rahman dan berkata, “saudaraku, rumah, kekayaan, pakaian dan seluruh harta milikku akan aku bahagi dua. Separuh untuk aku dan separuh untuk engkau”. Kata Saad kepada Abdul Rahman.

Ternyata kisah di atas amat mengharukan. Jelas kepada kita bahawa kedua-duanya tidak pernah kenal di antara satu sama lain, tidak mempunyai hubungan kekeluargaan atau apa-a-apa kepentingan, tetapi oleh kerana kesan dari tarbiah dan didikan Rasullah, Saad telah melakukan sesuatu yang amat dituntut oleh Islam.

Oleh itu apakah yang membezakan generasi kita pada hari kini dengan generasi sahabat? Generasi sahabat embaca al-Quran dan mendengar hadis nabi lalu melaksanakannya. Ini seperti yang telah diperingatkan oleh Allah;

“ Sebenarnya orang-orang Yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat”


Generasi pada hari ini mendengar dan membaca al-Quran serta hadis nabi, tetapi mengiakan secara pasif dan tidak menghayati apa yang telah Allah firmankan,


“ Sebenarnya orang-orang Yang beriman itu adalah bersaudara”.


Mas’ab bin Umair yang telah masuk Islam menyertai perang Badar, sedangkan saudaranya yang masih kafir berada dalam pasukan tentera kafir Quraisy. Kemudian saudaranya itu telah ditawan oleh tentera Islam.

Ketika melawat kumpulan tentera kafir Quraisy yang tertawan, Mus’ab terserempak dengan seorang Ansar yang sedang mengikat saudaranya itu, dan kemudian Mus’ab berkata, “ ikatlah kuat-kuat, kerana ia memiliki ibu yang kaya dan akan menebusnya walau berapa mahal tebusannya”. Kata Mas’ab. Saudara Mas’ab yang diikat itu terkejut dengan ucapan yang dikeluarkan oleh Mas’ab. “Inikah kelakuan kamu terhadap aku, saudara kamu sendiri?” . “Dia saudara aku (merujuk kepada orang Ansar itu) bukan kamu”. Tegas Mas’ab. “ Saudara seagama dan seakidah”.

Ternyata Mas’ab amat meyakini ajaran Rasulullah bahawa ikatan ukhuwah lebih tinggi dari sekadar ikatan kerabat dan darah. Apakah nilai ini terdapat dalam diri kita? Adakah diri kita merasakan sesuatu apabila melihat saudara-saudara seagama kita dilanda musibah dan kesusahan? Adakah kita telah menyatakan , “rumahku telah ranap, anakku sakit, hatiku hancur melihat segala kemusnahan saudarku ini”. Jika belum, tentunya kita dapat mempelajari kisah Mas’ab yang menjelaskan bahawa setiap Muslim yang lain adalah saudara kita juga.

No comments:

DEFISIT SOSIAL GUGAT SEMANGAT PERPADUAN, ROSAK ERTI KEMERDEKAAN

 -------------------- Rencana yang telah disiarkan dalam Berita Harian 6 September 2024