Oleh: Mejar Burhanuddin Abdul Jalal
KINI virus H1N1 atau yang dikenali sebagai selsema babi sedang melanda dunia. Ramai di kalangan kita yang khuatir dan risau tentang wabak ini. Di negara kita Malaysia, ramai yang telah disyaki mengidap selsema ini dan telah ada yang telah meninggal dunia, sementara angka kematian yang disebabkan virus ini kian meningkat diseluruh dunia. Adakah ini satu musibah atau bencana yang didatangkan oleh Allah kepada manusia? Sejarah telah membuktikan bahawa terdapat umat-umat terdahulu dibinasakan oleh Allah SWT disebabkan maksiat yang dilakukan. Iblis diusir oleh Allah SWT dari syurga adalah disebabkan maksiat yang dilakukan begitu juga kisah umat Nabi Noh yang tenggelam dilanda banjir juga kerana maksiat. Firman Allah SWT,
”Maka Kami bukakan pintu-pintu langit, dengan menurunkan hujan yang mencurah-curah dan Kami jadikan bumi memancarkan mata air-mata air (di sana sini), lalu bertemulah air (langit dan bumi) itu untuk (melakukan) satu perkara yang telah ditetapkan”
Allah SWT menenggelamkan Firaun dan tentera-tenteranya juga kerana maksiat dan dosa-dosa yang dilakukan. Firman Allah SWT,
” Dengan sebab itu Kami mengepungnya bersama-sama tenteranya serta Kami humbankan mereka ke Dalam laut; maka perhatikanlah Bagaimana buruknya kesudahan orang-orang Yang zalim”.
Begitu juga yang berlaku terhadap kaum Lut yang mengingkari hukum dan ketetapan Allah. Orang-orang lelaki dari kaum Lut mengamalkan seks songsang sesama lelaki iaitu liwat atau homoseksual. Perbuatan ini amat dilaknat oleh Allah SWT. Allah SWT telah menghantar malaikat Jibrail kepada kaum Lut dan Malaikat Jibrail menggunakan hujung sayapnya mengangkat perkampungan mereka dan menghempaskan kembali ke bumi. Firman Allah SWT,
”Maka Kami jadikan negeri kaum Lut itu tunggang-balik (tertimbus Segala yang ada di muka buminya), dan Kami hujani atasnya dengan batu dari tanah yang dibakar”
Selain dari itu, Allah SWT juga telah melenyapkan Kaum Ad dan kota mereka yang hebat itu. Allah SWT menjelaskan,
“Wahai orang-orang yang beriman, kenangkanlah nikmat Allah yang dilimpahkanNya kepada kamu. semasa kamu didatangi tentera (Al-Ahzaab), lalu Kami hantarkan kepada mereka angin ribut (yang kencang) serta angkatan tentera (dari malaikat) yang kamu tidak dapat melihatnya. dan (ingatlah) Allah sentiasa melihat apa yang kamu lakukan.”
Selanjutnya apakah kita tidak mengambil iktibar terhadap musibah akibat dari maksiat yang dilakukan oleh kaum Bani Israil. Allah SWT telah memberikan gambaran tentang hukuman yang dikenakan terhadap Bani Israil. Allah berfirman,
“ Maka apabila sampai masa janji (membalas kederhakaan kamu) kali yang pertama dari dua (kederhakaan) itu, Kami datangkan kepada kamu hamba-hamba Kami yang kuat gagah dan amat ganas serangannya lalu mereka menjelajah di Segala ceruk rantau (membunuh dan membinasakan kamu); dan (Sebenarnya peristiwa itu) adalah satu janji yang tetap berlaku”
Berdasarkan kisah-kisah umat yang telah dihukum oleh Allah SWT, tentu sekali kita dapat menganalisis atau muhasabah diri tentang dosa-dosa atau maksiat yang telah dilakukan sama semalam, kelmarin atau dosa-dosa seratus tahun yang lalu, dan semuanya akan menjadi sebab musabab malapetaka atau musibah yang perlu kita hadapi selagi kita keseluruhannya tidak memohon taubat kepada Allah SWT. Ini berdasarkan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud,
“Bila terjadi maksiat di kalangan umatku, maka Allah akan memberikan azabnya untuk semua”
Oleh yang demikian, sewajarnya bagi kita untuk merenung pengertian yang tersurat dan yang tersirat dari hadis yang telah di sabda oleh nabi. Ini adalah kerana bahawa secara realitinya memang berlaku terhadap umat yang terdahulu, kerana akibat dosa yang telah mereka lakukan mengakibatkan umat telah binasa dan dihukum oleh Allah SWT. Dalam satu kisah peperangan, setelah tentera Muslim menewaskan pasukan musuh dan menawan Qubrus dengan mengalahkan tentera Rumawi, keseluruhan tentera Islam bergembira merayakan kemenangan, tetapi Abu Dardak seorang sahabat besar menangis. Apabila ditanya mengapa beliau dalam keadaan kesedihan, Abu Dardak menjawab, “ aku menangisi umat yang telah melakukan kemaksiatan dan Allah telah meminggirkan mereka”.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
DEFISIT SOSIAL GUGAT SEMANGAT PERPADUAN, ROSAK ERTI KEMERDEKAAN
-------------------- Rencana yang telah disiarkan dalam Berita Harian 6 September 2024
-
Menurut Kamus Dewan, penghayatan adalah kata terbitan yang berasal dari kata hayat. Ia menggambarkan perihal atau proses menghayati atau men...
-
Mejar Burhanuddin Abdul Jalal Ketika mengajar bab sembahyang dengan menggunakan kitab 'Bahrun Mazi" tulisan Sheikh Idris Marbawi di...
-
RENCANA OLEH: MEJAR BURHANUDDIN ABDUL JALAL TAJUK: CABARAN DAKWAH ISLAMIAH MASA KINI Era dakwah masa kini berhadapan dengan pelbagai cabara...
No comments:
Post a Comment