Wednesday, May 12, 2010

ANDA STRESS?

Oleh: Mejar Burhanuddin Abdul Jalal


Apakah itu stress? Stres merupakan ungkapan yang sering dikaitkan dengan hal-hal yang negatif seperti gila, gelisah, tertekan, tidak mampu berfikir, jiwa yang resah, pemarah atau hal-hal negatif yang lain. Kita barangkali amat biasa dengan istilah atau ungkapan ini. Ini adalah kerana mungkin setiap hari kita mengalami stres. Mengapa ini berlaku? Ini adalah kerana, stres berlaku apabila keadaan tubuh badan atau jiwa kita mengalami suatu keadaan atau situasi di luar kebiasaan diri kita.

Pada umumnya manusia pada segenap peringkat dan usia memerlukan rangsangan atau stimulus untuk berkembang. Tanpa stimulus atau rangsangan perkembangan manusia sama ada dari aspek fizikal dan psikologi tidak akan berkembang secara optimum. Umpamanya kanak-kanak atau remaja yang tinggal di bandar amat mudah untuk mendapatkan maklumat yang berkaitan dengan isu-isu seksual. Ini kita sedia maklum bahawa pelbagai maklumat yang boleh dicapai oleh golongan anak-anak atau remaja yang tinggal di bandar akan menyebabkan anak-anak atau golongan remaja ini cepat matang dalam usia remaja mereka berbanding dengan anak-anak atau remaja yang tinggal di kampung atau di daerah pedalaman. Ini membuktikan rangsangan atau stimulus memberikan sumbangan yang cukup besar pertumbuhan dan perkembangan jiwa manusia sama ada dari aspek positif ataupun negatif. Secara umumnya manusia terdedah kepada rangsangan-rangsangan dalam kehidupan:

1. Faktor persekitaran iaitu keadaan di luar tubuh manusia yang bersifat fizikal atau pun bukan bersifat fizikal seperti:

• Cuaca. Keadaan cuaca atau suhu yang sangat panas menyebabkan kita berusaha untuk mengambil suatu untuk mengipas-ngipas diri sendiri supaya badan menjadi sejuk dan tidak berasa kepanasan.

• Bunyi. Bunyi yang terlalu kuat atau bising akan memekakkan telinga dan sekali gus mengganggu penumpuan diri kita untuk melakukan sesuatu serta mengganggu tahap rehat yang sempurna.

• Kepadatan atau kesesakan. Ruangan yang sempit dan dipenuhi dengan ramai orang akan menyebabkan kepadatan yang tinggi atau kesesakan dan ini menyebabkan orang-orang yang berada dalam keadaan tersebut, emosinya mudah terganggu atau tertekan.

• Harapan diri. Seseorang yang bercita-cita besar sering terganggu atau tertekan untuk mengharapkan agar cita-cita atau apa yang diharapkan itu akan dapat diperoleh dengan cepat dan mudah. Harapan yang tinggi ini akan menyebabkan dirinya stres dan amat buruk lagi jika harapan, impian atau cita-cita tersebut gagal.

• Hubungan dengan orang lain. Berhubung dengan individu yang ‘sukar’, mementingkan diri sendiri, bersifat kuku besi, bergantung pada orang lain atau mudah mencampuri urusan orang lain boleh menyebabkan timbulnya stres. Ini adalah kerana individu seperti ini amat mengganggu ketenangan dan ketenteraman hidup kita.

• Tekanan masa. Tugas atau bebanan kerja yang banyak sedangkan masa yang terbatas akan menyebabkan diri kita stres. Umpamanya kerja yang banyak perlu diselesaikan dalam tempoh dua hari.

• Keperluan penampilan diri. Umpamanya kita akan menghadiri majlis keramaian atau istiadat rasmi atau majlis perkahwinan yang menuntut penampilan diri atau imej yang anggun serta memerlukan pakaian atau aksesori tertentu. Perkara-perkara seumpama ini akan menyebabkan diri kita stres.

• Ketenangan dan harga diri. Perasaan gelisah, tidak tenteram serta tidak yakin terhadap diri sendiri yang timbulkan oleh fikiran kita sendiri akan memudahkan diri mengalami stres.

2. Faktor tubuh badan atau fisiologi iaitu perkara-perkara yang berkaitan dengan proses perubahan diri atau tumbesaran tubuh badan ataupun keadaan diri secara fisiologi berubah, seperti:

• Proses tumbesaran fizikal kanak-kanak ke alam remaja. Bagi remaja yang kurang memahami proses perubahan fizikal dan fisiologi yang berlaku ke atas diri mereka yang begitu mendadak seperti kedatangan haid, badan berbau, tumbuh misai, perubahan fizikal tubuh badan di bahagian punggung dan dada bagi remaja perempuan, suara berubah, tumbuh jerawat dan lain-lainnya telah menyebabkan mereka stres dan juga meresahkan jiwa mereka.

• Proses menopaus. Bagi kaum wanita yang telah kian meningkat umurnya akan mengalami peringkat menopaus atau terhentinya kitaran bulanan haidnya. Peringkat ini disebut sebagai menopaus. Pada peringkat atau tempoh tersebut, antara tanda-tanda yang dikenal pasti ialah seperti sakit-sakit atau sengal tubuh badan, muka terasa panas, kulit kering, susah untuk tidur dan sebagainya. Keadaan yang di luar kebiasaan diri ini akan menyebabkan ketidakselesaan serta menyebabkan mereka mengalami stres.

• Proses penuaan. Proses ini dialami oleh semua orang, seperti kulit berkedut, rambut beruban, pandangan makin kabur, perut buncit dan sebagainya. Bagi sebahagian orang keadaan ini amat meresahkan kerana aspek fizikal dirinya yang melibatkan kecantikan dan ketampanan kian hilang. Oleh sebab itu barangan kosmetik atau kecantikan seperti produk anti penuaan, menghitamkan rambut, mencerahkan wajah, menegangkan kulit dan sebaginya amat laris di pasaran.

• Tempoh kedatangan haid. Bagi kaum wanita tempoh menjelang dan ketika kedatangan haid amat meresahkan mereka. Badan terasa sengal-sengal, semangat menurun, perut memulas-mulas dan suhu badan lebih tinggi dari kebiasaan. Keadaan ini menyebabkan sebahagian wanita mudah tersentuh jiwa mereka.

• Menderita kerana penyakit. Keadaan emosi orang yang sihat dengan orang yang sakit sangat berbeza. Orang yang sedang sakit lebih emosional kerana keadaan fizikal tubuh badan yang tidak selesa serta mengalami kesakitan di bahagian-bahagian tertentu. Umpamanya kita mengalami sakit gigi, sudah tentu emosi kita mudah terganggu. Apabila terdapat orang membuat bising atau mengganggu diri kita mungkin kita boleh menjadi marah dan emosi terganggu.


3. Faktor fikiran iaitu bermaksud bagaimana kita mentafsirkan sesuatu kejadian dan mengambil sikap terhadap kejadian tersebut. Sebahagian orang mampu bersikap positif dan ada orang memandang negatif terhadap sesuatu yang berlaku terhadap diri kita. Sesungguhnya dalam sesuatu perkara yang berlaku terdapat orang yang berfikiran positif dan mengambil pengajaran dan iktibar dari peristiwa tersebut sehingga ia mampu bangkit kembali sedangkan terdapat juga insan atau manusia yang mengambil negatif dari sesuatu kejadian lalu ia kecewa, cemas, gundah-gulana sehingga mengakibatkan produktiviti kerja yang rendah dalam hidupnya.

No comments:

DEFISIT SOSIAL GUGAT SEMANGAT PERPADUAN, ROSAK ERTI KEMERDEKAAN

 -------------------- Rencana yang telah disiarkan dalam Berita Harian 6 September 2024