Friday, May 7, 2010

PERTAHANAN DAN KEAMANAN KEPERLUAN MANUSIA

Oleh: Mejar Burhanuddin Abdul Jalal

Pertahanan dan keamanan merupakan satu keperluan yang penting (maslahat dharuriyyat) bagi setiap manusia, masyarakat serta negara pada setiap masa dan tempat. Dengan adanya pertahanan, keamanan dan keselamatan manusia, masyarakat dan negara akan dapat melaksanakan tugas, peranan dan tanggungjawab yang dimiliki ke tahap yang maksimum.

Para ulama menyebut kepentingan dan kebajikan manusia sebagai maslahat dan ia terbahagi kepada tiga iaitu:

i- Maslahat dharuriyyat. Sesuatu yang diperlukan oleh manusia dalam kehidupan ini bagi memastikan kehidupan mereka berjalan dalam keadaan yang normal dan tidak terancam. Sekiranya perkara ini tidak dijaga maka kehidupan manusia akan berjalan pincang dan tidak sempurna.
ii- Maslahat hajaiyyat. perkara yang diperlukan manusia untuk memudahkan perjalanan hidup mereka. Sekiranya perkara ini tidak wujud maka kehidupan mereka tidak akan pincang tetapi mereka berhadapan dengan sedikit kesusahan.
iii- Maslahat tahsiniyyat. Perkara yang dinilai menepati kebiasaan manusia dan menjauhkan diri daripada perkara-perkara tersebut yang boleh mencacat dari segi penilaian dan adat kebiasaan (Yusuf al-Qardhawiy 1995).

Selain dari itu al-Qur’an telah menyebut bahawa antara keperluan asasi manusia itu antara lain diistilahkan sebagai ‘al-amn’ atau ‘keamanan’, iaitu kata bahasa Arab, yang bererti aman dan tenteram. Keamanan berkait rapat dengan keimanan kerana iman sebagai benteng kekuatan dalam hati untuk mencipta dan membina rasa keamanan dan ketenteraman, khususnya aman dan tenteram dari segala gangguan dan kegelisahan sama ada di dunia atau pun di akhirat. Al-Qur’an telah mengungkap adanya kaitan antara aspek iman dengan rasa aman dalam kehidupan manusia. Aspek ini telah difirmankan oleh Allah melalui firmannya yang bermaksud,
“Orang-orang yang beriman dan tidak mencampuradukkan iman mereka Dengan kezaliman (syirik), mereka itulah orang-orang yang mendapat keamanan dan merekalah orang-orang Yang mendapat hidayah petunjuk”.

Dalam al-Qur’an perkataan al-amn (keamanan ) disebut sebanyak 45 kali dan istilah iman sebanyak 800 kali (Mu’jam al-Fahras al-lafzi al-Quran : 2000). Kedua perkataan tersebut mempunyai hubungan yang rapat berkaitan dengan keamanan dan pertahanan yang pada asasnya mempunyai makna atau pengertian yang cukup luas iaitu, pertama: Saling percaya mempercayai serta tidak saling mencurigai dan kedua: Makna ketenangan dan perdamaian dan bukan permusuhan atau pertentangan.

Oleh yang demikian, menjadi tugas dan tanggungjawab semua pihak untuk mewujudkan keamanan dan keselamatan atas nama kepentingan agama, bangsa dan negara. Oleh kerana betapa pentingnya kesatuan dan saling bekerjasama dalam usaha membina dan mewujudkan keamanan serta keselamatan, Iman Bukhari dalam kitab sahihnya telah menjelaskan keterangan yang cukup menarik tentang apa yang telah disabdakan oleh Rasulullah SAW berkaitan dengan keamanan dengan sabdanya yang bermaksud,

“Kehidupan sosial dan kemasyarakatan memerlukan pertahanan dan keamanan dan aspek tersebut adalah umpama penumpang kapal (ka rukkab al-safinah). Sebahagian penumpang berada di tingkat atas, sebahagian berada di tengah dan sebahagian lagi di tingkat bawah. Apabila penumpang yang berada di tingkat bawah ingin mengambil air, mereka perlu naik ke atas dan melalui bahagian yang berada di atas mereka. Lalu terdapat fikiran di kalangan mereka yang ingin mengambil jalan pintas untuk mengambil air dengan cara menebuk dinding kapal, agar mudah untuk mendapatkan air. Jika idea atau fikiran tersebut dibiarkan sudah tentu kapal tersebut akan karam, sebaliknya jika ada di kalangan mereka yang menyedari dan mencegah perbuatan tersebut, maka sudah tentu mereka akan selamat dan kapal tidak akan karam”.


Dalam konteks negara Malaysia, tugas menjaga keamanan dan keselamatan negara telah ditugaskan kepada organisasi Angkatan Tentera Malaysia (Malaysia Kita 2004). Oleh yang demikian tugas tersebut merupakan satu amanah yang tentunya berkait rapat dengan aspek keagamaan. Amanah tersebut telah dipikul dengan jayanya oleh Angkatan Tentera Malaysia sejak tahun 1933 hingga kini dan telah menjangkau 76 tahun.

No comments:

DEFISIT SOSIAL GUGAT SEMANGAT PERPADUAN, ROSAK ERTI KEMERDEKAAN

 -------------------- Rencana yang telah disiarkan dalam Berita Harian 6 September 2024