Mejar Burhanuddin Abdul Jalal
Takut kepada Allah merupakan rasa takut yang amat penting dalam kehidupan seseorang Muslim. Ini adalah kerana rasa takut seperti ini akan mendorong untuk lebih bertakwa kepada Allah dan mencari keredaan-Nya, mematuhi ajaran-Nya, meninggalkan larangan-Nya dan melaksanakan segala perintah dan suruhan-Nya. Takut kepada Allah merupakan satu unsur dalam aspek keimanan kepada Allah dan ia merupakan asas yang penting dalam membentuk keperibadian seseorang mukmin. Firman Allah SWT,
”Sesungguhnya orang-orang Yang beriman dan beramal soleh, mereka itulah sebaik-baik makhluk. Balasan mereka di sisi Tuhannya ialah syurga Adn (tempat tinggal Yang tetap), Yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; kekalah mereka di dalamnya selama-lamanya; Allah reda akan mereka dan Mereka pun reda (serta bersyukur) akan nikmat pemberian-Nya. balasan Yang demikian itu untuk orang-orang Yang takut (melanggar perintah) Tuhannya”. Al-Baiyinnah 98: 7-8.
Sesungguhnya orang-orang Yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka Yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifatnya) gementarlah hati mereka; dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, menjadikan mereka bertambah iman, dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah. – al-Anfaal 8: 2
”Katakanlah lagi: "Sesungguhnya Aku takut - jika Aku menderhaka kepada Tuhanku - akan azab hari Yang besar (soal jawabnya)". – az-Zumar 39: 13
"Kami sebenarnya takutkan Tuhan kami, takut ia kenakan Kami azab hari Yang padanya muka orang-orang Yang bersalah: masam berkerut-kerut".- al-Insan 76: 10
Antara ketakutan yang umumnya ada pada semua manusia ialah ketakutan terhadap kematian. Ini seperti mana yang telah difirmankan oleh Allah SWT,
Katakanlah (Wahai Muhammad): "Sebenarnya maut Yang kamu melarikan diri daripadanya itu, tetaplah ia akan menemui kamu; kemudian kamu akan dikembalikan kepada Allah Yang mengetahui Segala Yang ghaib dan Yang nyata, lalu ia memberitahu kepada kamu apa Yang kamu telah lakukan (serta membalasnya)".al-Jumaah 62: 8
Ketakutan kepada kematian dialami oleh semua manusia dan tidak ada manusia yang terkecuali kepada ketakutan kepada kematian ini. Takut kepada kematian ini adalah kerana amal yang masih kurang, perlu meninggalkan orang-orang yang disayangi, takut mati kerana hartanya sedikit dan khuatir nanti keluarganya hidup melarat dan sebagainya. Bahkan dalam al-Quran juga menjelaskan bagaimana Nabi Musa pun berasa bimbang kalau dirinya dibunuh oleh Firaun. Ini seperti yang telah difirmankan oleh Allah SWT,
"Dan lagi mereka ada mengemukakan satu tuduhan jenayah terhadapku; oleh itu Aku takut mereka akan membunuhku".- as-Syuara’ 26: 14.
Nabi Musa merayu Dengan berkata: "Wahai Tuhanku, Bahawa Aku telah membunuh seorang dari kalangan mereka; oleh itu Aku takut mereka akan membunuhku ". al-Qashash 28: 33
Keimanan yang benar-benar mantap dan kukuh kepada Allah SWT akan menghindarkan diri seseorang itu dari perasaan takut kepada kematian. Ini adalah kerana seseorang yang mukmin meyakini bahawa kematian akan memindahkan dirinya kepada kehidupan di alam baqa’ yang kekal abadi. Di sana dia akan memperoleh kerahmatan dan keredaan-Nya. Ini berbeza dengan orang-orang yang banyak melakukan maksiat dan banyak dosa yang sudah tentu kematian sesuatu yang benar-benar amat menakutkan.
Bagi orang-orang yang berfahaman ateis, yang tidak mempercayai hari kebangkitan dan hari akhirat, merasakan kematian itu sesuatu yang menghancurkan diri mereka. Sebahagian besar dari mereka takut kepada kematian kerana mereka tidak tahu apa nasib mereka selepas berlaunya kematian itu dan ketidakfahaman itulah yang menyebabkan mereka takut kepada kematian.
Selain dari kematian, kemiskinan juga sering ditakuti oleh manusia. Oleh itu, manusia sentiasa berusaha untuk mencari makanan sama ada untuk diri dan juga untuk keluarga. Selain dari itu manusia juga berlumba-lumba mencari rezeki dan juga pendapatan dalam bentuk wang dan kekayaan bagi memenuhi keperluan dan kesenangan keluarga selain untuk dipandang tinggi dan dihargai. Dalam hal ini Allah telah berfirman,
“Lihatlah Bagaimana Kami lebihkan sebahagian dari mereka atas sebahagian Yang lain (dalam rezeki pemberian Kami itu) dan Sesungguhnya pemberian di akhirat lebih besar tingkatan-tingkatan perbezaannya dan lebih besar tambahan-tambahan kelebihannya”- al-Isra’ 17: 21.
“Dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana kepapaan, (sebenarnya) Kamilah yang memberi rezeki kepada kamu dan kepada mereka”. – al-An-am 6: 151
Keimanan yang kukuh kepada Allah juga dapat menghilangkan rasa takut terhadap kemiskinan. Ini adalah kerana orang-orang yang benar-benar beriman akan meyakini bahawa rezeki itu berada dalam kekuasaan Allah. Oleh yang demikian tidak ada alasan untuk berasa gusar atau takut kepada kemiskinan. Firman Allah,
“Sesungguhnya Allah Dia lah sahaja Yang memberi rezeki (kepada sekalian makhluk-Nya, dan Dia lah sahaja) Yang mempunyai kekuasaan Yang tidak terhingga, lagi Yang Maha kuat kukuh kekuasaan-Nya”. – al-Zariyat 51: 58
”Dan di langit pula terdapat (sebab-sebab) rezeki kamu, dan juga terdapat apa yang telah (ditakdirkan dan) dijanjikan kepada kamu”. - al-Zariyat 51: 22
Perasaan takut merupakan sesuatu yang lumrah dalam kehidupan manusia. Oleh yang demikian, persoalan di sini adakah ketakutan itu suatu ketetapan dan ketentuan Allah? Adakah manusia dapat mengurus ketakutan sehingga dapat menjadikan ia sesuatu yang positif atau ia mungkin menjadi bebanan yang boleh menghancurkan kehidupan. Untuk itu sekali lagi yang memainkan peranan penting bagi menyelesaikan masalah ini adalah sikap.
Sesungguhnya Allah SWT mengetahui tahap kemampuan setiap hambanya apabila diuji. Sebagai hamba Allah yang taat kepadanya, sesungguhnya Allah tidak akan membebani hambanya kecuali dengan kadar kesanggupan hambanya. Firman Allah yang bermaksud,
“Allah tidak memberati seseorang melainkan apa Yang terdaya olehnya”-al-Baqarah 2: 286.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
DEFISIT SOSIAL GUGAT SEMANGAT PERPADUAN, ROSAK ERTI KEMERDEKAAN
-------------------- Rencana yang telah disiarkan dalam Berita Harian 6 September 2024
-
Menurut Kamus Dewan, penghayatan adalah kata terbitan yang berasal dari kata hayat. Ia menggambarkan perihal atau proses menghayati atau men...
-
Mejar Burhanuddin Abdul Jalal Ketika mengajar bab sembahyang dengan menggunakan kitab 'Bahrun Mazi" tulisan Sheikh Idris Marbawi di...
-
RENCANA OLEH: MEJAR BURHANUDDIN ABDUL JALAL TAJUK: CABARAN DAKWAH ISLAMIAH MASA KINI Era dakwah masa kini berhadapan dengan pelbagai cabara...
No comments:
Post a Comment