Sunday, February 28, 2010

BIJAK DALAM PENGURUSAN MASA CIRI ORANG BERIMAN

Mejar Burhanuddin Abdul Jalal

Disiplin menjaga waktu merupakan faktor penting bagi setiap Muslim. Ini adalah kerana waktu memang mendapat perhatian khusus dari Allah (s.w.t.) dan juga Rasulullah (s.a.w.). Dalam al-Qur’an Allah (s.w.t.) banyak menyebut aspek waktu atau masa ini seperti wa al-fajr (demi waktu fajar) dalam Surah al-Fajr (89:1), wa al-Dhuha (demi waktu dhuha) dalam Surah al-Dhuha (93:1), wa al-Asr (demi masa) dalam Surah al-‘Asr (89:1), dan wa al-Layl (demi waktu malam) dalam Surah al-Layl (92:1).

Allah (s.w.t.) telah menganugerahkan waktu atau masa kepada setiap manusia jumlah waktu yang sama iaitu 24 jam sehari dan semalam. Dalam waktu sepanjang 24 jam ini, terdapat manusia yang beruntung dan terdapat manusia yang rugi. Perkara ini bermaksud, sesiapa yang menggunakan waktunya dengan mengerjakan kebaikan, bererti ia telah mencapai sesuatu yang bermakna dalam hidupnya, tetapi bagi orang yang menggunakan waktunya untuk perkara-perkara yang tidak bermanfaat dari jauh sekali dari hal-hal kebaikan dan kebajikan bererti orang tersebut telah menjadi orang yang lalai, serta merugikan terhadap diri sendiri dan orang lain

Oleh yang demikian setiap Muslim sangat dituntut untuk mengatur waktu dengan sebaik, sehingga waktu yang ada itu digunakan secara maksimum, bermanfaat dan tidak berlalu dengan sia-sia. Jika seseorang Muslim dapat menjaga waktu berdasarkan keutamaan yang telah ditetapkan, sudah tentu ia akan terhindar dari kumpulan orang yang rugi seperti mana yang telah diperingatkan oleh Allah dalam al-Qur’an dengan firmannya dalam Surah al-‘Asr (103:1-3)yang bermaksud,
“Demi Masa!. Sesungguhnya manusia itu Dalam kerugian. Kecuali orang Yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesal-pesan Dengan kebenaran serta berpesal-pesan Dengan sabar”.

Tuesday, February 23, 2010

MELAWAN HAWA NAFSU

Mejar Burhanuddin Abdul Jalal

Berjuang melawan hawa nafsu merupakan salah satu sikap yang perlu ada pada setiap diri Muslim. Ini adalah kerana setiap manusia mempunyai kecenderungan untuk melakukan kebaikan dan keburukan. Melaksanakan sesuatu yang baik dan menghindari sesuatu yang buruk memerlukan kesungguhan serta kekuatan dalaman dan itulah yang dinamakan melawan hawa nafsu. Oleh yang demikian hawa nafsu yang ada dalam diri setiap insan perlu digunakan ke arah patuh kepada ajaran Islam. Dalam hal ini Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Tidak beriman seseorang dari kamu sehingga ia menjadikan hawa nafsunya mengikuti apa yang aku bawa (ajaran Islam) (Abu al-‘Asim 2000)”.

Salah satu cara untuk memerangi hawa nafsu ialah dengan mendekatkan diri kepada Allah melalui pelbagai ketaatan. Rasulullah telah bersabda (Muslim 2000):

وَحَدَّثَنَا هَارُونُ بْنُ مَعْرُوفٍ، وَعَمْرُو بْنُ سَوَّادٍ، قَالاَ حَدَّثَنَا عَبْدُ اللَّهِ بْنُ وَهْبٍ، عَنْ عَمْرِو بْنِ الْحَارِثِ، عَنْ عُمَارَةَ بْنِ غَزِيَّةَ، عَنْ سُمَىٍّ، مَوْلَى أَبِي بَكْرٍ أَنَّهُ سَمِعَ أَبَا صَالِحٍ، ذَكْوَانَ يُحَدِّثُ عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم قَالَ ‏”‏ أَقْرَبُ مَا يَكُونُ الْعَبْدُ مِنْ رَبِّهِ وَهُوَ سَاجِدٌ فَأَكْثِرُوا الدُّعَاءَ ‏”‏.‏

“Aku menginap di tempat Rasulullah (s.a.w.) maka aku siapkan air untuk wuduk dan hajatnya. Maka nabi (s.a.w.) bersabda: Mintalah padaku! Maka aku berkata: aku memohon kepadamu agar kiranya aku menemanimu di syurga. Nabi berkata: Apakah ada lain selain itu? Aku menjawab: Hanya itu sahaja. Nabi bersabda: Bantulah aku untuk mencapai keinginanmu dengan banyak bersujud”.

Dalam pendidikan kerohanian terdapat beberapa kaedah untuk mengawal hawa nafsu. Antara usaha menjaga atau mengawal hawa nafsu, seseorang Muslim itu mesti sentiasa menjaga hawa nafsu agar tidak terjerumus ke dalam kejahatan, kemaksiatan dan penyimpangan dari jalan Allah. Hawa nafsu yang perlu kita kawal dan perlu dijaga itu pada asasnya ada pelbagai hawa nafsu, antaranya yang pertama, nafsu yang menyuruh manusia untuk menjauhkan diri dari kebaikan sehingga menghalang diri seseorang dari mendekatkan diri kepada Allah. Dengan hawa nafsu ini manusia dikawal oleh kejahatan. Kedua, nafsu yang cenderung ke arah kebaikan, namun kebaikan yang dilakukan hanya dalam lingkungan yang paling minimum. Tujuan mengawal hawa nafsu bagi kategori ini ialah untuk mendorong diri untuk sebaik mungkin melakukan kebaikan berdasarkan kemampuannya. Ketiga, nafsu yang membawa manusia ke arah sikap-sikap kebaikan serta dapat membuat penilaian untuk mendekatkan diri kepada Allah sama ada melalui ucapan, pekerjaan atau harta yang dimiliki.

Sunday, February 21, 2010

PEMIKIRAN YANG LUAS

Mejar Burhanuddin Abdul Jalal

Memiliki pemikiran yang luas merupakan ciri-ciri keperibadian Muslim yang unggul. Dalam hal ini, Dr.Ali Abdul Halim Mahmud (1997) telah menekankan tiga aspek yang perlu dimiliki oleh seseorang Muslim iaitu:

Pertama, berpengetahuan mengenai keagamaan sehingga setiap individu mengenal dan mempunyai pengetahuan mengenai agama samawi yang lain seperti agama Yahudi dan Nasrani. Selain itu juga mengenal agama-agama budaya yang lain seperti Budda dan Hindu. Pengetahuan mengenai agama-agama lain khususnya agama samawi penting kerana agama samawi itu sebenarnya bersumber dari Allah SWT melalui kitab Taurat dan Injil. Namun ada pelaksanaannya umat Yahudi dan Nasrani telah mengubah dan menyelewengkan ajarannya sehingga konsep ketauhidan agama tersebut telah terpesong jauh serta mengkufuri Nabi Muhammad SAW pengetahuan mengenai agama-agama yang lain itu tidak perlu terlalu mendalam, sekadar mengetahui perkara asas atau dasar telah memadai dan mencukupi.

Kedua, Pengetahuan mengenai Islam juga merangkumi aspek berikut:
a. Ilmu pengetahuan mengenai akidah serta segala aspek yang berkaitan dengan Allah SWT dan sifat-sifatnya.
b. Ilmu pengetahuan mengenai ibadat sama ada yang fardu, wajib ataupun yang sunat.
c. Ilmu pengetahuan mengenai berbagai-bagai masalah ghaib seperti hari kebangkitan, perhitungan (hisab) timbangan (mizan) titian (sirat)pahala, dosa, seksa, syurga dan neraka.
d. Ilmu pengetahuan berkaitan dengan al-Quran, al-Hadis, fikah, usul feqh, dan Bahasa Arab.
e. Ilmu pengetahuan yang baik tentang sejarah Islam dan umat Islam bagi memperoleh pengajaran dan kesedaran.

Ketiga, Pengetahuan dan pemikiran Islam yang umum merangkumi perkara-perkara berikut:

a. Memahami sejarah perkembangan dan gerakan Islam yang bersifat positif dan gerakan umat Islam seluruh dunia.
b. Mengetahui dengan baik gerakan-gerakan yang memusuhi Islam dan umat Islam.
c. Mengetahui dengan baik kumpulan atau gerakan yang bekerja untuk Islam.
d. Mengetahui dengan baik kelompok atau kumpulan yang mendakwa dirinya sebagai kumpulan yang mengamalkan Islam tetapi sebenarnya tidak seperti Qadiani, Bahai dan sebagainya.
e. Mengetahui dengan baik tiga kumpulan yang memusuhi Islam iaitu Ateisme atau komunisme, Yahudi atau Zionisme dan Nasrani atau Kristian.
f. Memahami aliran-aliran falsafah dan teori-teori yang bertentangan dengan Islam seperti hedonisme, nudisme (fahaman hidup tanpa pakaian) atau fahaman yang membela penyimpangan seksual.
g. Memahami sejarah tiga rancangan yang sentiasa memusuhi Islam iaitu Orientalisme, misisionaris dan Imperialis.
h. Memahami dengan baik masalah dunia masa kini sama ada dari segi geografi, sejarah, ekonomi, politik dan aspek sosiologi kemasyarakatan.
i. Memahami dengan baik kesukaran umat Islam di negara-negara minoriti umat Islam dan bersedia memberi bantuan kepada kaum Muslimin di negara-negara lain yang memerlukan.

Dengan mempunyai pengetahuan dan kesedaran keislaman seseorang Muslim dapat menghayati agamanya dengan lebih baik serta menyedari tanggungjawab dan peranannya sebagai hamba Allah, mengetahui cara beribadat dan sentiasa membuat persiapan untuk menghadapi hari akhirat.

FIZIKAL YANG MANTAP SERTA AKHLAK YANG BAIK

Mejar Burhanuddin Abdul Jalal


Bagi memastikan aspek fizikal dalam keadaan baik , sihat dan kuat, setiap individu Muslim perlu menjaga dirinya dari dihinggapi oleh sebarang penyakit . Selain dari itu setiap individu juga disarankan agar manfaatkan berbagai kemudahan yang ada untuk memperkuatkan tubuh badan sama ada melalui makanan dan minuman yang berkhasiat serta yang dihalalkan secara tidak berlebihan. Selain dari itu juga ia juga perlu melalukan senaman atau riadah yang bersesuaian dengan dirinya serta menjauhkan diri dari aktiviti-aktiviti yang membahayakan diri atau mengambil makanan secara berlebihan.

Penjagaan kesihatan juga dapat dilakukan melalui pelaksanaan penjagaan tubuh badan dan kesegaran tubuh dengan cara tidur yang ,mencukupi dan alan pemakanan selain dari penjagaan kebersihan diri. Berdasarkan ajaran Islam penjagaan kebersihan diri ini termasuklah berkhatan, menggosok gigi, memotong kuku, mencabut bulu ketiak, memotong bulu ari-ari, mengandam misai dan janggut. Selalu memakai wangian dan bercelak. Ternyata ini Semua adalah amalan yang disarankan oleh Rasulullah bagi membina peribadi yang baik dan sihat kerana tubuh badan yang baik serta sihat akan menjadi individu yang lebih disukai oleh Alah daripada individu yang lemah. Rasulullah SAW bersabda,

Maksudnya:

Mukmin yang lebih kuat lebih baik dan lebih dicintai Allah daripada mukmin yang lemah.

Dengan fizikal yang kuat, seorang Muslim akan memiliki daya tahan tubuh sehingga dapat melaksanakan ajaran Islam secara maksimum seperti ibadah solat, puasa, haji serta berjuang di jalan Allah.

Monday, February 15, 2010

PERLUNYA AKHLAK YANG BAIK

Mejar Burhanuddin Abdul Jalal

Setiap individu Muslim perlu mempunyai perilaku yang baik, sama ada lahiriah atau batiniah. Perkara ini menuntut perlunya kepatuhan dalam menghayati ajaran al-Quran dan mencontohi perilaku yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah. Berkelakuan yang baik dan mulia sememangnya dituntut dalam melakukan hubungan dengan Allah dan juga hubungan sesama makhluk. Ini adalah kerana jika sekiranya individu yang berakhlak mulia, ia akan mendapat kebahagiaan di dunia dana akhirat.

Dalam al-Quran Allah SWT telah menyebut beberapa contoh akhlak mulia yang perlu dimiliki oleh setiap insan Muslim . Ini seperti yang telah difirmankan oleh Allah yang bermaksud,

“Sesungguhnya berjayalah orang-orang Yang beriman,Iaitu mereka Yang khusyuk Dalam sembahyangnya;Dan mereka Yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan Yang sia-sia; Dan mereka Yang berusaha membersihkan hartanya (dengan menunaikan zakat harta itu); Dan mereka Yang menjaga kehormatannya, - Kecuali kepada isterinya atau hamba sahayanya maka Sesungguhnya mereka tidak tercela: -Kemudian, sesiapa Yang mengingini selain dari Yang demikian, maka merekalah orang-orang Yang melampaui batas; Dan mereka Yang menjaga amanah dan janjinya; Dan mereka Yang tetap memelihara sembahyangnya; Mereka itulah orang-orang Yang berhak mewarisi - Yang akan mewarisi syurga Firdaus; mereka kekal di dalamnya ”.

Selanjut dalam surah al-Furqan 25: 63-76 Allah berfirman yang bermaksud,

“Dan hamba-hamba (Allah) Ar-Rahman (yang diredhaiNya), ialah mereka Yang berjalan di bumi Dengan sopan santun, dan apabila orang-orang Yang berkelakuan kurang adab, hadapkan kata-kata kepada mereka, mereka menjawab Dengan perkataan Yang Selamat dari perkara Yang tidak diingini; Dan mereka (yang diredhai Allah itu ialah) Yang tekun mengerjakan Ibadat kepada Tuhan mereka pada malam hari Dengan sujud dan berdiri, Dan juga mereka Yang berdoa Dengan berkata: Wahai Tuhan kami, sisihkanlah azab neraka jahannam dari kami, Sesungguhnya azab seksaNya itu adalah mengertikan Sesungguhnya neraka jahannam itu tempat penetapan dan tempat tinggal Yang amat buruk"; Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah) Yang apabila membelanjakan hartanya, tiadalah melampaui batas dan tiada bakhil kedekut; dan (sebaliknya) perbelanjaan mereka adalah betul sederhana di antara kedua-dua cara (boros dan bakhil) itu. Dan juga mereka Yang tidak menyembah sesuatu Yang lain bersama-sama Allah, dan tidak membunuh jiwa Yang diharamkan Allah membunuhnya, kecuali Dengan jalan Yang hak (yang dibenarkan oleh syarak), dan tidak pula berzina; dan sesiapa melakukan Yang demikian, akan mendapat balasan dosanya; Akan digandakan baginya azab seksa pada hari kiamat, dan ia pula akan kekal di Dalam azab itu Dengan menerima kehinaan, Kecuali orang Yang bertaubat dan beriman serta mengerjakan amal Yang baik, maka orang-orang itu, Allah akan menggantikan (pada tempat) kejahatan mereka Dengan kebaikan; dan adalah Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. Dan sesiapa Yang bertaubat serta beramal soleh, maka Sesungguhnya (dengan itu) ia bertaubat kepada Tuhannya Dengan sebenar-benar taubat; Dan mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) Yang tidak menghadiri tempat-tempat melakukan perkara-perkara Yang dilarang, dan apabila mereka bertembung Dengan sesuatu Yang sia-sia, mereka melaluinya Dengan cara membersihkan diri daripadanya. Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) Yang apabila diberi peringatan Dengan ayat-ayat keterangan Tuhan mereka, tidaklah mereka tunduk mendengarnya secara orang-orang Yang pekak dan buta.. Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) Yang berdoa Dengan berkata: "Wahai Tuhan kami, berilah Kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara Yang menyukakan hati melihatnya, dan Jadikanlah Kami Imam ikutan bagi orang-orang Yang (mahu) bertaqwa. Mereka itu semuanya akan dibalas Dengan mendapat tempat Yang tinggi di syurga disebabkan kesabaran mereka, dan mereka pula akan menerima penghormatan dan ucapan Selamat di dalamnya,. Mereka kekal di Dalam syurga itu; amatlah eloknya syurga menjadi tempat penetapan dan tempat tinggal”.

Oleh kerana betapa pentingnya akhlak mulia bagi umat manusia, Allah telah mengutuskan Nabi Muhammad SAW untuk menyempurnakan akhlak manusia dan Nabi Muhammad SAW sebagai contoh teladan yang terbaik kepada manusia. Ini seperti mana yang Allah telah difirmankan yang bermaksud,

“Dan Bahawa Sesungguhnya Engkau mempunyai akhlak Yang amat mulia”.

Monday, February 8, 2010

MELAKSANAKAN IBADAH DENGAN BETUL SEBAHAGIAN CIRI ORANG BERTAQWA

Mejar Burhanuddin Abdul Jalal

Melaksanakan ibadah secara yang benar atau Sahih al-Ibadah merupakan salah satu perintah Rasulullah SAW yang penting. Ini seperti mana yang telah disabdakan oleh Rasulullah,

Maksudnya:
“Solatlah kamu sebagaimana kamu melihat aku solat”.

Melaksanakan ibadah dengan cara yang benar merupakan ibadah kepada Allah merelai cara yang telah ditetapkan oleh Rasulullah selari dengan apa yang telah dijelaskan oleh Rasulullah SAW melalui sunnahnya. Oleh yang demikian kewajipan bersuci, bersolat, puasa, zakat dan menunaikan haji adalah berdasarkan apa yang telah dilakukan oleh Rasullah SAW berdasarkan apa yang telah difirmankan oleh Allah SWT yang bermaksud,

“ Apa jua perintah Yang dibawa oleh Rasulullah (SAW) kepada kamu maka Terimalah serta amalkan, dan apa jua Yang dilarangNya kamu melakukannya maka patuhilah laranganNya. dan bertaqwalah kamu kepada Allah; Sesungguhnya Allah amatlah berat azab seksaNya (bagi orang-orang Yang melanggar perintahNya)”.

Dalam menjelaskan ayat di atas ahli tafsir Fuday Ibn Iyad telah mengaitkan ayat tersebut dengan firman Allah dalam ayat 2 surah al-Mulk, yang bermaksudnya:

“ Dia lah Yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu Yang lebih baik amalnya; dan ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang Yang bertaubat)”.

Dalam ayat 2 surah al-Mulk ini, Fuday Ibn Iyad telah menjelaskan perkataan ahsana amala. Menurut tafsiran beliau ahsana amala bermaksud amalan yang paling ikhlas dan paling benar. Ikhlas dikerjakan kerana Allah dan benar suci menepati sunah Rasulullah. Jika amalan dikerjakan secara ikhlas tetapi tidak menepati sunah, maka amalan tersebat tidak diterima dan begitu juga jika amalan sesuai dengan sunah tetapi tidak ikhlas, ia tidak diterima oleh Allah ( Said Hawa: 1985).

Menurut Ibn Taimyyah (1999) maksud ibadah tidak hanya terhad kepada ibadah mahdah (seperti solat) tetapi juga mencakupi ibadah ghairu mahdah (seperti menolong orang lain) ini adalah kerana menurut beliau ibadah adalah segala sesuatu yang diredai Allah dari perkataan atau perbuatan baik sama ada yang zahir ataupun yang batin.

Friday, February 5, 2010

10 CIRI MENGHAYATI ISLAM

Mejar Burhanuddin Abdul Jalal


Dalam beberapa 'tampalan' yang lepas, telah dijelaskan maksud dan pengertian penghayatan Islam. Bagi Hassan al-Banna (2006) pula, dalam bukunya Risalah Pergerakan (terj) telah mejelaskan bahawa penghayatan Islam seseorang muslim itu dapat dipenuhi dengan memiliki sepuluh kriteria iatu:

Salim al-Aqidah ( Memiliki akidah yang benar)

Dengan memiliki akidah yang benar, seseorang Muslim akan memiliki ikatan yang kuat kepada Allah SWT dan dengan ikatan yang kuat itulah ia tidak menyimpang jauh dari haluan yang telah ditetapkan oleh Allah SWT Dengan kekuatan dan kemantapan akidah seseorang Muslim akan menyerahkan segala perbuatannya kepada Allah SWT seperti mana yang telah difirmankan oleh Allah yang bermaksudnya:

Katakanlah: "Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan Yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam”.

Akidah Islam terbahagi kepada empat bahagian utama dan setiap bahagian mempunyai cabang. Pertama adalah ketuhanan dan bahagian ini membahaskan perkara yang berhubung dengan Allah SWT baik dari segi sifat, nama ataupun perbuatanNya. Di dalamnya termasuk juga perkara-perkara lain yang perlu diyakini oleh seorang hamba terhadap tuhanNya. Kedua adalah kenabian yang membincangkan segala perkara yang berhubung kait dengan Nabi SAW berkaitan dengan sifatnya, kemaksumannya, tugas dan juga kepentingan risalahnya. Di dalam aspek ini juga termasuk hal-hal yang berkaitan dengan kemaksuman, mukjizat, karamah dan kitab-kitab yang telah diturunkan kepada nabi-nabi. Ketiga perkara-perkara yang berkaitan dengan kerohanian termasuk menjelaskan perkara yang berhubung dengan malaikat, jin dan roh. Bahagian keempat pula ialah perkara yang berhubung dengan perkara samiyyat (yang didengar) iaitu perkara yang membincangkan hal-hal yang berkaitan dengan kehidupan alam barzakh, kehidupan akhirat, keadaan alam kubur, hisab dan pembalasan hari akhirat.

Dengan yang demikian, seseorang individu yang berakidah mampu membebaskan akal dan hatinya dari persangka buruk, khurafat dan kesesatan akidah.

Wednesday, February 3, 2010

MEMBANGUN MODAL INSAN ATM

Mejar Burhanuddin Abdul Jalal

Membangun modal insan dalam erti kata sebenar amat berkait rapat dengan membangunkan potensi manusia secara menyeluruh sebagai khalifah Allah. Untuk itu manusia hendaklah berilmu dan menghayati ajaran Islam yang dibawa oleh Rasulullah SAW secara menyeluruh dalam kehidupan. Pembangunan sumber manusia dalam Islam adalah proses untuk membina insan yang terbaik dan berguna kepada diri, masyarakat dan negara. Dalam konteks, anggota ATM sebagai salah satu cabang benteng pertahanan negara perlu dibangunkan supaya menjadi insan yang bertakwa. Dalam hal ini Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi Menteri Pertahanan Malaysia telah menyatakan,
“Tanpa modal insan serta bersemangat waja, belum tentu organisasi besar seperti ATM dapat mengekalkan keselamatan dan kedaulatan negara hingga mendapat pengiktirafan antarabangsa. Sebagai pasukan beruniform sudah pasti rakyat melihat ATM sebagai sebuah organisasi yang mempunyai warga berkualiti, berdisiplin, berketerampilan, berkemahiran dan berpengetahuan tinggi”. (Utusan Malaysia 16 September 2009).
Perkara ini telah diperkukuhkan lagi dengan rancangan pembangunan strategik jangka panjang ATM atau Fourth Dimension Malaysia Armed Forces (4D MAF). Dalam hal ini, Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jeneral Tan Sri Dato' Seri Azizan Ariffin telah menjelaskan dalam ucapan Ulang tahun ATM ke 76 dengan menyebut,

”Angkatan Tentera Malaysia telah memasuki dimensi keempatnya atau fourth dimension Malaysia Armed Forces iaitu era transformasi yang bercirikan keupayaan bersepadu dan keupayaan pelbagai dimensi. keadaan ini akan membolehkan Angkatan Tentera Malaysia beroperasi secara bersama serta dapat membina kesan sinergi yang optimum. ciri-ciri utama yang disasarkan oleh angkatan tentera Malaysia dalam era transformasi adalah kebersamaan, cegah rintang dan versatil yang diyakini akan membolehkannya menangani segala cabaran dalam sebarang situasi konflik masa hadapan dengan lebih mantap lagi berkesan. pada hemat saya, evolusi transformasi keupayaan angkatan tentera Malaysia ini perlu di perkasa secara menyeluruh yang bukan sahaja tertumpu kepada aspek penstrukturan organisasi dan perolehan aset-aset tempur berteknologi canggih, malahan membudayakan nilai teras yang berwibawa, kepimpinan berintegriti dan pembangunan modal insan yang berkualiti”( http://maf.mod.gov.my/ 6 November 2009).

Monday, February 1, 2010

BERDAKWAH KEPADA INDIVIDU SUKAR

Mejar Burhanuddin Abdul Jalal

Perlu disedari bahawa golongan sasaran dakwah atau yang disebut mad’u iaitu pada umumnya terdapat golongan yang ditakrifkan atau termasuk dalam kategori ‘individu yang sukar’ seperti yang disebut oleh Dr.Rick Brinkman dan Dr. Rick Kirchner (1985) dalam buku yang berjudul, “Dealing with people you can’t stand; How to bring out the bst in people at their worst’ telah menyebutkan 10 kategori yang disebut individu sukar iaitu,

• ‘Kereta kebal’ (the tank) – Jenis orang yang suka berkonfrontasi, suka menyalahkan orang lain, panas baran dan suka mendesak serta agresif sifatnya.
• ‘ Penembak curi’ (the sniper) – Jenis orang yang suka memberi komen dan kritikan yang kurang sopan, sindiran tajam, jelingan yang menyakitkan hati dan melihat orang lain dengan kebodohan melampau.
• ‘Bom tangan’ ( the granade) – Jenis orang yang cepat melenting, suka menggembar-gemburkan dan merapu perkara-perkara yang tidak menentu dan tidak fokus serta sering tersasar daripada topik sebenar apa yang perkatakan.
• “Diri serba tahu’ (the know it all) –Jenis orang yang jarang melihat dirinya ada keraguan, dia merasakan dirinya telah tahu segala-galanya. Memiliki sifat toleransi yang rendah untuk diperbetulkan dan suka kepada percanggahan pendapat. Jika sesuatu yang buruk berlaku, orang kita akan berkata yang sama, bagaimana untuk menyalahkan orang lain.
• “Fikir diri sudah serba tahu’ (the think they know it all)- Jenis orang seperti ini alah yang tidak akan membodohkan semua orang pada setiap masa, tetapi mampu membodohkan sesetengah orang pada masa-masa tertentu. Supaya dengan harapan dapat untuk mendapat perhatian ramai pihak.
• ‘Semua ya’ (the yes person) – Jenis orang yang usahanya untuk menyenangkan semu orang dan mengelakkan konfrontasi, tetapi orang jenis ini tidak berfikir dahulu sebelum menyatakan ‘ya’ pada orang lain. Akhirnya berlaku juga konfrontasi. Selalu bertindak kepada permintaan akhir dengan melupakan komitmen yang terpenting. Memberi terlalu banyak tanggungjawab kepada orang lain hinggakan tiada untuk diri sendiri. Akhirnya orang lain sakit hati.
• ‘Kebarangkalian’ (the maybe peson) - Jenis orang yang suka menangguhkan keputusan ketika kata putus hendak dilaksanakan kerana berharapan pilihan yang terbaik akan muncul dengan sendurinya. Malangnya apabila tiba masanya, keadaan telah suntuk, akhirnya ia terpaksa membuat apa jua keputusan yang terlintas di fikiran.
• “Buta harap’ (the nothing person) – Jenis orang yang tidak mempunyai kata-kata, tidak ada tindakan susulan sebagai maklum balas. Tidak ada apa-apa yang boleh diharapkan dari orang seperti ini.
• ‘Semuanya tidak’ (the no person) – Jenis orang seperti ini lebuh bahaya dari peluru yang laju. Semua orang lain lakukan tidak bagus dan tidak betul. Dipengaruhi keinginan untuk melakukan sesuatu dengan tepat dan sempurna tanpa melakukan kesilapan (perfectoholic).
• ‘Merengek’ (the winner) –Jenis orang yang sentiasa merasakan seperti tiada harapan. Suka merungut dan menyalahkan orang takdir. Mereka bijak melibatkan kita dengan masalah mereka dan jika kita terlibat dengan masalah mereka rengekan mereka akan bertambah kuat.

Oleh yang demikian semua pendakwah perlu mempunyai persiapan yang rapi dan teknik yang mencukupi agar dakwah yang disampaikan itu berkesan dan dapat diterima oleh golongan sasaran. Antara teknik yang perlu dibina di kalangan pendakwah adalah teknik-teknik berikut:
• Sifat ikhlas.
• Jika tidak mampu melawan serai mereka.
• Hadapinya bukan lari dari mereka.
• Berikan kesempatan untuk kebaikan.
• Targhib dan Tarhib (berita gembira dan peringatan).
• Melengkapi ilmu dakwah dengan kesesuaian zaman dan masa.
• Sabar dan tidak cepat marah.
• Mesti berani, jika undur susun strategi.
• Gunakan perkataan lemah lembut,
• Bantuan dan adat bantu
• Latihan ke arah penyempurnaan
• Sentiasa berserah dan bergantung harap kepada Allah.

Dengan berbekalkan maklumat dan kesedaran berkaitan dengan perkara yang telah dijelaskan, ini akan dapat membantu dakwah ke arah lebih berjaya.

LAHIRKAN RAMAI CENDEKIAWAN MUSLIM HADAPI PERANG PEMIKIRAN

Arikel yang telah disiarkan dalam Ruangan Agama BERITA HARIAN - 28 Januari 2024 (Ahad). Selamat membaca .