Oleh: Dr Burhanuddin Abdul Jalal
BEBERAPA hari lagi negara kita akan
menyambut ulang tahun kemerdekaan negara yang ke 55. Sesungguhnya dilihat dari
sudut sejarah negara, salah satu elemen
terpenting yang turut membantu kemerdekaan negara serta terus mengekalkannya adalah aspek keselamatan dan pertahanan
negaraDalam konteks negara Malaysia, antara
agensi utama dalam menjaga keamanan dan keselamatan negara adalah organisasi
Angkatan Tentera Malaysia. Oleh yang demikian tugas tersebut merupakan satu
amanah yang tentunya berkait rapat dengan aspek keagamaan. Amanah tersebut
telah dipikul dengan jayanya oleh Angkatan Tentera Malaysia negara mencapai
kemerdekaan hingga kini.
Selain dari itu juga amanah memikul
tanggungjawab keamanan dan keselamatan ini juga secara horizontalnya berasaskan
kepada kepercayaan rakyat dan secara vertikalnya ia merupakan amanah dari Allah
(s.w.t.). Namun demikian sesuai dengan sifatnya bahawa tugas atau amanah
menjaga keamanan dan keselamatan ini tidak hanya merupakan tanggungjawab
Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tetapi juga semua pihak dalam organisasi
kerajaan dan juga setiap rakyat dan warganegara.
Berdasarkan premis tersebut ternyata
bidang ketenteraan merupakan satu aspek yang penting dalam Islam. Bidang ini
sebenarnya berkait rapat dengan aspek pertahanan negara dan ketahanan ummah.
Sesebuah negara yang dikatakan kukuh dan disegani ialah negara yang antara lain
mempunyai angkatan tentera yang kuat dan mantap serta canggih pula dari segi
persenjataan. Sebab itu antara perkara utama yang dilakukan oleh Rasulullah (s.a.w.)
semasa menegakkan kerajaan Islam pertama di Madinah ialah membentuk jentera
pertahanan atau dengan kata lain mengasaskan angkatan tentera yang mampu
menjadi benteng kepada negara dan umat Islam.
Proses menyediakan angkatan tentera
yang kuat, profesional dan berwibawa bukanlah sesuatu yang bersifat tabii
semata-mata. Ertinya bukanlah disebabkan adanya musuh atau terdapatnya ancaman
ke atas sesebuah negara menyebabkan sesebuah negara itu membentuk angkatan
tentera yang mungkin dapat menangani persoalan keselamatan dan pertahanan.
Sebenarnya pembentukan angkatan tentera di sesebuah negara khususnya negara
yang dikuasai oleh umat Islam, adalah sesuatu yang diperintahkan oleh Allah
(s.w.t.). Ini jelas seperti yang telah difirmankan oleh Allah dalam surah al-Anfal (8:60) yang bermaksud, “Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang
menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari
pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan
persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari
mereka yang kamu tidak mengetahuinya, sedang Allah mengetahuinya. Dan apa
sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya
kepada kamu, dan kamu tidak akan dianiaya”.
No comments:
Post a Comment