Tuesday, August 14, 2012
MEMBINA SEMANGAT ITSAR DALAM DIRI
Oleh: Dr Burhanuddin Abdul Jalal
Dalam konteks hubungan sesama manusia adalah menjadi harapan, agar hubungan sesama manusia itu dapat diterjemahkan dalam ertikata semangat setia kawan atau esperit de corp . Dalam istilah agama Islam ia disebut sebagai itsar yang bermaksud bersedia mendahulukan kepentingan orang lain dari kepentingan diri sendiri. Sejauh manakah umat seluruhnya telah menghayati sifat itsar ini dalam kehidupan seharian khususnya semangat setiakawan yang telah dididik dalam organisasi ketenteraan? Menjadi harapan semoga madrasah Ramadan telah dapat mendidik emosi, tingkah laku dan kognitif supaya bersikap pemurah, penyayang, sopan santun serta nilai-nilai positif yang lain. Jika ini dapat diterjemahkan dalam hubungan sesama umat Islam, sudah pasti umat Islam akan terus kukuh, mantap dan saling bersatu.. Bagi menggambarkan sifat itsar yang boleh dibina melalui madrasah Ramadan antaranya ialah tentang kisah para sahabat dan pejuang Islam yang mempunyai kesanggupan mendahulukan kepentingan orang lain berbanding dari kepentingan diri sendiri.
Bagi menjelaskan sifat itsar ini, terdapat kisah yang berlaku di kalangan tentera Islam yang berjuang dan tercedera dalam Perang Yarmouk. Kisah ini berlaku kepada Ikrimah bin Abu Jahal (anak Abu Jahal). Apabila Ikrimah tercedera parah dalam peperangan tersebut, sepupunya yang turut serta dalam peperangan telah berusaha untuk membantunya dengan ingin memberikan air kepada Ikrimah dan apabila Ikrimah hendak meminum air tersebut, Ikrimah terdengar ada tentera lain yang turut tercedera parah inginkan air, apabila mendengar perkatan tersebut Ikrimah menyuruh sepupunya itu memberikan air tersebut kepada tentera yang merintih memerlukan air, kerana Ikrimah berkata, “demi Allah saya tidak akan minum sebelum saudara saya minum”. Sepupu Ikrimah pergi kepada orang tersebut, dan keadaan yang sama berlaku kepada sepuluh orang yang lain dan orang yang ke sepuluh menyatakan, “demi Allah aku tidak akan minum sebelum Ikrimah minum”. Maka sepupu Ikrimah pun kembali kepada Ikrimah dan didapati Ikrimah telah pun syahid.
Begitu juga dengan kisah yang berlaku dalam peristiwa hijrah khususnya yang berlaku antara kaum Muhajirin dan Ansar. Sikap itsar Saad bin Rabi’ (Ansar) kepada Abdul Rahman bin Auf (Muhajirin). Saad berkata kepada Abdul Rahman, “wahai saudaraku, aku mempunyai kekayaan sebanyak ini dan aku akan membahagikannya separuh untuk diriku dan separuh untuk dirimu, dan sebahagian dari rumahku menjadi milikmu. Selain dari itu, aku juga mempunyai dua orang isteri, aku akan tunjukkan kepadamu kedua-duanya dan engkau pilihlah di antara keduanya dan aku akan ceraikan pilihanmu dan nikahlah dengannya setelah selesai eddah”. Apabila mendengar kata-kata itu, Abdul Rahman hanya berkata, “semoga Allah memberkati kehidupanmu dan keluarga, cuma tunjukkanlah aku di mana pasar, supaya aku boleh berniaga”.
Demikianlah sikap itsar yang terdapat di kalangan para sahabat. Untuk itu, apakah sikap tersebut tidak boleh dilakukan setelah menjalani ibadah Ramadan atau melalui madrasah Ramadan yang menyarankan supaya beramal soleh, bersedekah, berzikir, doa, zakat, membaca al-Quran, qiamulail, iktikaf dan lain-lainnya. Oleh yang demikian sewajarnya madrasah Ramadan yang dilalui itu telah mengajar serta mendidik untuk melaksanakan kehidupan secara syariat Islam, sekaligus mampu untuk menjadikan diri ke arah kemurahan hati dan jiwa yang bersih bagi merubah diri ke arah nilai-nilai murni serta memiliki sifat-sifat mahmudah dan lebih tawadhu’ serta sentiasa mensyukuri nikmat Allah dengan apa yang dimiliki kini.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
DEFISIT SOSIAL GUGAT SEMANGAT PERPADUAN, ROSAK ERTI KEMERDEKAAN
-------------------- Rencana yang telah disiarkan dalam Berita Harian 6 September 2024
-
Menurut Kamus Dewan, penghayatan adalah kata terbitan yang berasal dari kata hayat. Ia menggambarkan perihal atau proses menghayati atau men...
-
Mejar Burhanuddin Abdul Jalal Ketika mengajar bab sembahyang dengan menggunakan kitab 'Bahrun Mazi" tulisan Sheikh Idris Marbawi di...
-
RENCANA OLEH: MEJAR BURHANUDDIN ABDUL JALAL TAJUK: CABARAN DAKWAH ISLAMIAH MASA KINI Era dakwah masa kini berhadapan dengan pelbagai cabara...
No comments:
Post a Comment