Wednesday, October 9, 2019

BENCANA; PENGAJARAN DAN KEINSAFAN



Sejak kebelakangan ini, banyak sekali bencana yang berlaku di rantau ini khususnya di negara jiran kita. Musibah seperti banjir atau gempa bumi serta tsunami seperti kejadian di Palu dan juga di Teluk Sunda baru-baru ini amat dahsyat sekali. Apakah kesemua tanda-tanda itu menunjukkan bumi semakin tua atau kiamat telah kian menghampiri kita? Dan bagaimanakah sikap kita terhadap pelbagai bencana yang berlaku secara berturutan ini?

Satu perkara yang penting apabila berlakunya bencana alam yang silih berganti dalam tempoh yang dekat, ini bermakna ada hikmat di sebaliknya. Hikmah yang paling besar dari musibah dalam masa yang dekat atau berlakunya secara berturutan itu, bermaksud Allah memberikan peringatan secara berterusan dan berulang kali agar manusia mengambil iktibar dari kejadian tersebut dan perlu menyedari apa yang telah lakukan selama ini.

Mungkin manusia telah melakukan kesilapan yang besar dan menyalahi fitrah yang telah ditentukan Allah SWT, dan Allah mengingatkan tentang kesilapan tersebut supaya tidak berulang sekali gus menyebabkan bencana yang lebih besar akan berlaku. Sebagai contoh, apa yang berlaku dalam peristiwa Tsunami di Palu dan juga Teluk Sunda baru-baru ini, kita lihat bencana tersebut datang dari air laut naik ke atas darat dan ke tanah tinggi dan ada juga bencana yang datang dari atas turun ke bawah seperti meletusnya gunung berapi yang menyebabkan larva panas turun ke bawah atau banjir yang berlaku menyebabkan air bertakung. Kesemuanya aturan Allah dan perlu mengambil iktibar atas kejadian dan apa yang berlaku di sekeliling kita seperti mana yang telah diingatkan Allah melalui firman-firman-Nya dalam al-Quran.
 _____________________
Telah disiarkan dalam Majalah Dewan Masyarakat, Terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka  Bil 5/201

Tuesday, September 10, 2019

Konsep HANRUH terap patriotisme pelbagai kaum




Baru-baru ini seorang yang berpengaruh dalam dunia perniagaan telah mengeluarkan kenyataan yang dikategorikan sebagai menghina pasukan keselamatan negara dengan menyebut anggota tentera “hanya makan dan tidur sahaja malah ramai yang tidak pernah menembak”. Berdasarkan kenyataan tersebut, ternyata terdapatnya individu atau kelompok yang masih kabur tentang peranan Angkatan Tentera Malaysia terhadap keselamatan dan pertahanan negara yang menyumbang kepada keamanan dan kemakmuran ekonomi negara serta individu sekaligus menggambarkan ramai juga yang mahir kabur tentang ilmu pertahanan.

Sesungguhnya ilmu tentang pengurusan pertahanan perlu dikaji, dipelajari serta disebarluaskan agar ia tidak dianggap sesuatu yang ‘asing’ atau hanya ia melibatkan institusi atau kerjaya ketenteraan semata-mata. Ilmu sains pertahanan atau ‘defence science’ sebagai satu disiplin ilmu perlu terus berkembang dengan disokong dengan pelbagai kajian dari pelbagai disiplin ilmu. Dalam hal ini usaha kerajaan menubuhkan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia pada tahun 2006 itu tentunya berhasrat untuk memenuhi keperluan tersebut.

Perlu kita sedari bahawa ilmu pengurusan pertahanan bersifat universal kerana ia bukan semata-mata keperluan kepada institusi ketenteraan tetapi ia juga perlu kepada orang awam kerana ancaman keselamatan akan melibatkan seluruh dimensi kehidupan seluruh masyarakat yang terdiri dari pelbagai bangsa dan kaum serta kehidupan bernegara.  Perkara ini telah disentuh dalam Dasar Pertahanan Negara yang telah diwujudkan sejak tahun 2008 lagi. Antara lain Dasar Pertahanan Negara menyebut hasrat negara untuk mempertahankan kepentingan-kepentingan strategiknya dan memelihara keselamatan negara. Dasar pertahanan menggariskan tiga asas utama, iaitu kepentingan-kepentingan strategik negara, prinsip-prinsip pertahanan dan konsep pertahanan. Ia menekankan keperluan mengekalkan sekitaran kawasan kepentingan strategik negara yang stabil dan aman.

Selain Sebagai sebuah negara yang bebas dan berdaulat, Malaysia menyedari bahawa langkah yang paling wajar untuk memelihara kepentingan dan keselamatan negara adalah melalui usaha ke arah keupayaan berdikari yang merupakan teras dasar pertahanan negara. Prinsip ini memberi penekanan kepada keupayaan berdikari Angkatan Tentera dalam struktur keupayaan berdikari nasional. Ianya melibatkan tidak hanya pasukan tempur tetapi juga rangkaian sokongan logistik cetusan kerjasama industri-ketenteraan yang sejajar dengan keutamaan program pembangunan negara. Dalam hubungan ini, keupayaan berdikari tidaklah terhad kepada usaha-usaha Angkatan Tentera semata-mata tetapi sewajarnya melibatkan semua agensi Kerajaan yang berkaitan dan rakyat jelata. Walau bagaimanapun, dengan mengambil kira had-hadnya, keupayaan berdikari negara umumnya berasaskan dua landasan. Pertama, memiliki keupayaan untuk bertindak bersendirian tanpa bantuan luar dalam perkara-perkara berkenaan keselamatan dalam negeri, dan kedua, memiliki keupayaan untuk bertindak bersendirian dalam mempertahankan kedaulatan wilayah dan kepentingan-kepentingan keselamatan dalam lingkungan kawasan terdekat dari ancaman luar tahap rendah dan pertengahan.
 __________________________________________
Telah disiar dalam BERITA HARIAN pada 2 September 2019

Tuesday, May 14, 2019

Ramadan peluang bersihkan jiwa, pacu semangat cari ilmu




"Pembersihan jiwa (tazkiyatuz al-nafs) juga disebut sebagai proses pembersihan pemikiran (tazkiyatuz al-fikr) yang menuju ke arah pembersihan iman. Bagi mencapai arah tersebut, khususnya untuk mengislamkan pemikiran ialah dengan cara melatih jiwa melawan hawa nafsu atau sebut sebagai riyadhah al-nafs. Dalam hal ini Imam al-Ghazali dalam kitab utamanya Ihya ulumuddin telah menyebutkan bahawa, bagi menghindar diri dari fahaman-fahaman yang mengelirukan dalam diri dan jiwa ia perlu dilakukan dengan pelaksanaan melatih jiwa melawan hawa nafsu atau sebut sebagai riyadhah al-nafs dalam diri. Selain dari itu tindakan untuk menghalang nilai kebendaan dari terus menyerap dari dalam jiwa da hati juga merupakan tindakan yang penting untuk, dilakukan kerana hati dan perasaan sentiasa mengawal dan membentuk perilaku kita sekaligus dapat mencerminkan diri kita sama ada orang yang beradab atau tidak beradab". Sebahagian dari rencana yang bertajuk 'Ramadan peluang bersihkan jiwa, pacu semangat cari ilmu'.
________________
Rencana telah disiarkan dalam Berita Harian 11 Mei 2019 muka surat 67

Friday, April 12, 2019

PENGURUSAN MASJID DAN SURAU BERASASKAN 'JEMAAH'



Dalam  suasana semangat kecintaan Islam yang kian mendalam, dan kita telah menyedari  bahawa institusi masjid perlu ditempatkan ke taraf yang sewajarnya,  serta  pihak kerajaan telah membelanjakan ratus jutaan ringgit untuk membina masjid, dan kini barangkali giliran kita pula  untuk memakmurkan masjid ke tahap yang lebih cemerlang dengan menjadikan pengurusan  Masjidil Haram dan Masjid Nabawi Sebagai “benchmark” kita dalam pengurusan masjid. Mudah-mudahan umat Islam di Malaysia akan menjadi golongan apa yang telah disebutkan oleh Allah dalam surah  9 ayat 18 yang bermaksud,“ Hanyalah yang memakmurkan masjid-masjid Allah ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari kemudian, serta mendirikan sembahyang, menunaikan  zakat dan tidak takut kepada sesiapapun  melainkan Allah , merekalah orang-orang yang diharapkan termasuk golongan orang-orang yang mendapat petunjuk”.

Monday, April 8, 2019

ANUGERAH BUKU NEGARA -DAKWAH ASKARI DI MALAYSIA










                                                    Penulis bersama Pengarah Penerbitan USIM Puan Haliza Yusuf

Buku 'Dakwah Askari di Malaysia' telah dipilih untuk menerima Anugerah Buku Negara 2019 -kategori Buku Umum Terbaik (Dakwah Islamiah). Anugerah yang diberikan oleh Yayasan Buku Negara sempena dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2019 29 Mac 2019 hingga 7 April 2019. Anugerah telah disampaikan oleh YB Haji Khalid Abd Samad Menteri Wilayah Persekutuan pada 2 April 2019 bertempat di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur.

PENGHARGAAN kepada Penerbit USIM yang telah sudi untuk menerbitkan buku ini dan penghargaan khas kepada Saudari Zatul, editor yang bekerja keras untuk menyunting buku ini dengan jayanya.. Terima kasih dan penghargaan kepada keluarga dan rakan-rakan yang sentiasa mendorong kepada penulis untuk terus menulis dan menghasilkan karya.

Semoga usaha-usaha ini mendapat keberkatan dan pertolongan dari Allah. Terima kasih, Barakah-Allah.

Burhanuddin Jalal

Thursday, February 21, 2019

Model wakaf pertahanan relevan di Malaysia


Wahbah al-Zuhayli dalam kitabnya ‘, al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu’, telah mendefinisikan wakaf,  ialah menahan harta yang kekal zatnya yang boleh digunakan manfaatnya untuk tujuan kebajikan sebagai usaha taqarrub kepada Allah SWT, harta yang diwakafkan diserahkan kepada pihak tertentu dan mereka tidak boleh menggunakan harta wakaf tersebut secara sewenang-wenangnya. Menurut istilah yang digunakan dalam perundangan Islam pula, wakaf difahami sebagai suatu bentuk dedikasi harta, sama ada secara terang (sarih) atau sindiran (kinayah) di mana harta (substance) berkenaan ditahan dan hanya manfaatnya sahaja yang diaplikasikan kepada tujuan-tujuan kebajikan sama ada berbentuk umum mahupun khusus. Sebenarnya amalan wakaf merupakan sistem yang telah lama wujud dalam kehidupan manusia sebelum Islam datang, walaupun tidak dinamakan dengan wakaf. Ianya terbukti dengan terdapat pembinaan dan pembiayaan tempat-tempat peribadatan dilakukan sesuai dengan konsep wakaf.

Selain dari itu, wakaf merupakan instrumen kewangan yang berfungsi sebagai pemangkin kepada pembangunan sesebuah negara, malah terlibat dalam pembinaan tamadun suatu ketika dahulu. Hal ini kerana fungsi dan peranan wakaf atau juga disebut sebagai sektor ketiga ini adalah sangat besar. Sebagai buktinya adalah perkembangan negara dan peningkatan taraf hidup di negara Turki yang dibantu oleh mekanisme wakaf. Antara hasil daripada aktiviti wakaf adalah pembinaan institusi keagamaan dan pendidikan, kemudahan awam, pertanian, perladangan dan banyak lagi. Perkembangan wakaf ini dapat dilihat hampir ke seluruh dunia apabila negara Eropah juga menjadikan wakaf sebagai instrumen dalam pembinaan institusi pendidikan. Contohnya, pembinaan Universiti Harvard dan Universiti Cambridge. Perkembangan aktiviti wakaf dilihat berkembang ke rantau Asia termasuklah Malaysia.

            Dalam hal ini Institusi wakaf perlu terus berkembang mengikut arus pemodenan, iaitu konsep wakaf dilaksanakan mengikut keperluan dan keadaan semasa. Ia perlu dikembangkan dengan cara yang terbaik dan waspada demi memaksimumkan manfaatnya kepada umat Islam khususnya dan manusia seluruhnya. Pada hari ini wakaf seharusnya tidak harus disempitkan lagi malah ianya terus dikembangkan dengan lebih meluas mengikut keperluan semasa. Masyarakat Malaysia masa kini masih lagi dibayangi oleh pemahaman bahawa wakaf adalah berorientasikan tanah terbiar atau pembinaan masjid dan surau. Namun sedikit sebanyak dengan wujudnya saham tunai dan saham wakaf telah memberikan pendedahan tentang konsep sebenar wakaf itu iaitu ianya tidak hanya tertumpu kepada pembinaan rumah-rumah Allah sahaja.-BERITA HARIAN 19 FEB 2019 Muka surat 10

DEFISIT SOSIAL GUGAT SEMANGAT PERPADUAN, ROSAK ERTI KEMERDEKAAN

 -------------------- Rencana yang telah disiarkan dalam Berita Harian 6 September 2024