Tuesday, June 30, 2009

MENELADANI KISAH SAHABAT

Oleh Mejar Burhanuddin Abdul Jalal

Antara tujuan hidup kita adalah untuk mempersembahkan sesuatu yang terbaik untuk umat dan menghindarkan sikap dan sifat egoisme atau kepentingan diri semata-mata. Seseorang yang berperngai atau bersifat mementingkan diri sendiri atau individualistik adalah sesuatu yang amat ditegah dalam Islam. Berikut kisah para sahabat yang sedia berkorban demi kepentingan orang lain damn ini mungkin dapat diteladani dan hayati untuk bekalan hidup kita. Antara kisah tersebut ialah:

a. Jabir bin Abdullah. Dalam peristiwa persiapan tentera Islam untuk menghadapi tentera kafir Quraisy, iaitu dalam peperangan Khandak, Nabi dan para sahabat bekerja keras menggali parit dan kubu selama 15 hari. Bagi menahan lapar akibat kekurangan makanan, nabi dan para sahabat mengikut perut dengan tali. Pada satu hari sahabat Nabi bernama Jabir bin Abdullah berjumpa Nabi dan berkata. “ Wahai Rasulullah, di rumahku ada sedikit daging dan roti, aku ingin menjemputmu datang ke rumah untuk makan bersamaku”.

Rasulullah memandang wajah Jabir dan bertanya, “ hanya aku seorang?”, Rasulullah menjawab, “ boleh mengajak seorang atau dua orang untuk pergi bersama”.Rasulullah kemudian naik ke atas bukit dan berkata, “ Wahai kaum Muhajirin, kaum Ansar, hari ini kita akan makan di rumah Jabir bin Abdullah”. Selepas itu Jabir bin Abdullah bergegas balik ke rumah dan menyatakan kepada isterinya, “ tolong aku, Rasulullah akan datang bersama semua tentera Muslimin untuk makan di rumah kita”, dengan nada kebingungan. “Apakah engkau memaklumkan kepada Rasulullah?” Tanya isterinya. “Ya”. Jawab Jabir. “ Allah dan Rasulnya lebih mengetahui”. Jawab isteri Jabir. Apabila sampai pada waktu yang dijanjikan, Rasulullah datang ke rumah Jabir dan terus berjumpa Jabir, “ Wahai Jabir tugasmu menjaga pintu pada hari ini”, perintah Rasulullah. Seterusnya Rasulullah mencedok makan dan Jabir mempersilakan sepuluh orang demi sepuluh orang tentera untuk menikmati jamuan secara bergilir sehingga semua dapat makan dan kenyang. Jabir kemudian masuk dan berkata kepada Rasulullah, “ aku fikir makanan ini tidak cukup untuk semua orang makan dan ada orang yang tidak dapat menikmati makanan, tetapi ternyata mereka dapat makan semuanya”. Rasulullah menjawab, “Allah memberkatimu dan keluarga serta makanan yang kamu hidangkan”. Jabir kemudian melihat periuk makanan yang dimasak dan makanan tersebut tidak berkurang sedikit pun.


b. Umar al-Khattab. Terdapat beberapa kisah berhubung dengan Umar al-Khattab khalifah Islam kedua. Sebagai seorang khalifah kedudukannya mulia dan tinggi di kalangan masyarakat dan umat pada waktu itu. Pada satu hari Umar melihat beberapa orang budak kecil dan terus mendukung budak kecil itu tanpa segan silu atau masalah.

Pada kisah yang lain pula, ketika menjelang saat-saat akhir hayatnya, Umar yang sakit terbaring di atas katil, masih sempat bertanya ,“ sudahkah orang-orang itu menunaikan solat?’.

Berdasarkan kisah di atas ternyata terdapat gambaran tentang kesatuan umat, kasih sayang, kekhuatiran terhadap umat serta tiadanya sikap egoisme dalam diri.


c. Anak-anak Jaafar bin Abu Thalib. Setelah Jaafar bin Abu Thalib meninggal dunia secara syahid di medan perang, Rasulullah bertanya keada para sahabat,”sesiapakah yang bersedia untuk menjaga anak-anak yatim itu?”.
Seorang sahabat berkata, “ Saya ya Rasulullah”.
Seorang sahabat lain turut berkata, “ Saya ya, Rasulullah”.
Seterusnya seorang lain sahabat juga menyatakan kesediaannya dan berkata, “Saya ya, Rasulullah”. Berdasarkan sirah, ketiga-tiga sahabat itu adalah antara yang termiskin di kalangan para sahabat yang lain. Tidaklah menghairankan terjadi kepada ketiga-tiga sahabat untuk menjadi bapa kepada anak yatim itu kerana Jaafar Abu Thaib ketika hidupnya sangat bersikap kasih sesama Muslim dan mendapat gelaran ‘bapa kaum miskin’ daripada Rasulullah.

Dalam peristiwa hijrah, Rasulullah telah mempersaudarakan orang Ansar (penduduk Madinah) dengan orang-orang Muhajirin (Orang yang berhijrah bersama Rasulullah). Setelah berlaku penghijrahan tersebit, orang-orang Ansar menyatakan kepada orang-orang Muhajirin, “Marilah kita berkongsi rumah, pakaian dan makanan”.

d. Salahuddin al-Ayyubi.Dalam kisah yang lain di catatkan bahawa Salahudin al-Ayubi tidak pernah ketawa semasa hayatnya. Ketika ditanya tentang keengganannya untuk ketawa, ia menjawab, “ Bagaimana aku hendak ketawa, sedangkan Aqsa masih tertawan. Aku malu untuk senyum di hadapan Allah, ketika saudara-saudara ku di sana sedang menghadapi penderitaan”.

Jelas sekali tujuan hidup kita adalah untuk mempersembahkan sesuatu yang terbaik untuk umat dan menghindarkan sikap dan sifat egoisme atau kepentingan diri semata-mata. Hidup yang individualistik adalah kehidupan yang sempit. Orang yang hidup sedia berkorban demi umat, usianya akan bertambah dengan bertambahnya usia umat.

Tuesday, June 23, 2009

BERUBAH atau REBAH

Oleh: Mejar Burhanuddin Abdul Jalal

Dalam Perhimpunan Agung UMNO yang telah berlangsung pada bulan Mac 2009 yang lalu, Dato’ Sri Mohd. Najib Tun Razak telah mengingatkan kepada semua ahli UMNO yang seramai 3.4 orang supaya mengambil ingatan atau tindakan iaitu ‘ Berubah atau Rebah”. Ingatan ini adalah bagi memastikan UMNO terus relevan kepada masyarakat Melayu dan mampu untuk terus mendapat sokongan orang Melayu setelah gagal memperoleh undi orang Melayu melalui Pilihan raya Umum ke 12 pada bulan Mac 2008 yang lalu.
Berdasarkan ucapan tersebut, beliau menampakkan azam dan komitmen untuk lebih berani membuat perubahan dalam UMNO, bagi mengembalikan semula sokongan rakyat Malaysia kepada parti keramat tersebut yang diakui telah banyak jasanya kepada Negara sejak merdeka hingga hari ini. Dato’Sri Mohd Najib telah mengajak seluruh ahli UMNO untuk sama-sama menghayati beberapa ayat al-Quran yang menyuruh kita melakukan perubahan. Antara lain beliau telah menyebut,
“. Sebagai orang Islam, dalam menghadapi kemelut dan pelbagai cabaran, eloklah kita kembali merujuk kepada ajaran agama. Marilah merenung tiga ayat berikut sebagai panduan dan pedoman. Firman Allah SWT dalam surah Ali Imran ayat 26 bermaksud:

Ya Allah yang mempunyai kerajaan, Engkau berikan kerajaan kepada siapa yang Engkau mahu dan Engkau jua yang mencabut kerajaan dari siapa yang Engkau kehendaki. Engkau muliakan siapa yang Engkau mahu dan Engkau hinakan pula sesiapa yang Engkau kehendaki.

Dalam Surah Ar-Ra’d ayat 11 ditegaskan:

Bagi manusia ada malaikat yang berganti-ganti mengintip, di hadapan dan di belakang. Mereka itu menjaganya dari perintah Allah. Sesungguhnya, Allah tiada mengubah keadaan suatu kaum kecuali jika mereka mengubah keadaan diri mereka sendiri.

Surah Az-Zumar ayat 53 Allah memberikan harapan bahawa
Janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Dia Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.
Pada umumnya terdapat beberapa perkara yang disarankan oleh Dato Sri Mohd Najib kepada semua pihak bagi melakukan perubahan iaitu:
• KEPIMPINAN : Peringatan Datuk Sri Najib pada semua perwakilan agar dapat memilih barisan pimpinan yang amah,ampuh, padu, setia, berintegriti, berkebolehan dan berdedikasi.
• POLITIK WANG : Mesti dibanteras hingga ke akar umbi, jika tidak mahu melihat parti di kapan dan dikuburkan oleh UMNO sendiri.
• SISTEM PEMILIHAN : Cara pemilihan UMNO melalui sistem kuota mesti dirombak dan hak memilih kepimpinan diserah kepada akar umbi.
• PARTI PILIHAN MELAYU : UMNO mesti memperbetulkan semula visi, hala tuju dan dasar perjuangannya, agar ia terus menjadi parti pilihan dan sandaran orang Melayu.
Selain dari itu, Datuk Sri Najib Tun Razak, Perdana Menteri dalam Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam ke-10 (MPPA X) di Pusat Konvensyen Antarabangsa pada 28 April 2009 yang lalu telah mengajak 1.2 juta kakitangan Perkhidmatan awam Malaysia untuk turut berubah atau membuat anjakan paradigma baru bagi mencapai hasrat “pentadbiran yang memahami denyut nadi rakyat”. Perubahan atau anjakan yang diperlukan ialah dengan:

· Perubahan daripada ketegaran kepada keanjalan .
· Sektor awam perlu beralih daripada budaya out-put dan perbelanjaan atau kesan nyata semata-mata kepada mementingkan keberhasilan secara holistik.
· Perubahan dari pada birokrasi yang menyukarkan kepada birokrasi yang memudahkan cara sera menyenangkan rakyat.
· Sektor awam perlu beralih daripada hanya menekankan soal produktiviti kepada gabungan produktiviti, kreativiti dan inovasi.
Terdahulu dari itu ketika mengumumkan Barisan Kabinet Malaysia yang baru agar setiap menteri dapat menentukan dan memenuhi KPI (key perfomance index) atau Petunjuk prestasi utama bagi kementerian masing-masing serta dapat memenuhi matlamat ‘prestasi diutamakan penyampaian didahulukan’.
Berdasarkan tema-tema perubahan yang digagaskan oleh Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak itu yang kini Perdana Menteri Malaysia merangkap Presiden UMNO, telah mendorong pihak kami untuk menerbitkan buku sebagai satu usaha dan tindakan awal untuk sama berusaha ke arah melakukan perubahan yang dihasratkan.
Melalui buku ini kami ingin mengajak para pembaca untuk kembali kepada Allah dan merasakan kenikmatan dan kemanisan iman apabila berserah dan pasrah kepada Allah dalam usaha untuk melakukan perubahan dalam diri, keluarga, musyarakat dan seterusnya negara dengan menghayati firman Allah dalam surah ar-Ra’du ayat 11,

”Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa Yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa Yang ada pada diri mereka sendiri”

Buku yang anda sedang tatap ini adalah satu bahan renungan agar kita dapat melakukan satu perubahan terhadap diri menuju keredaan Ilahi dan perubahan umat menuju umat yang rabbani, masyarakat yang madani dan negara yang hadhari. Bagaimanakah mewujudkan segala perubahan tersebut? Segala jawapan terkandung dalam buku ini yang menjelaskan berbagai-bagai aspek penting dalam perubahan diri yang akan memberikan pengaruh yang besar terhadap kebangkitan dan kemuliaan umat, masyarakat dan negara.

Ia juga sebagai satu langkah awal untuk menyahut seruan YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak yang mengajak umat Melayu di Malaysia supaya berubah agar tidak rebah di telan arus kemajuan dunia pada hari ini.

“mahu atau tidak mahu, kita mesti berubah. Berubah dari sikap-sikap mazmumah kepada sikap-sikap mahmudah. Berubah daripada kurang mesra kepada mesra, daripada mementingkan diri kepada mementingkan rakyat, daripada malas kepada rajin kerja, berubah daripada kurang berkhidmat kepada suka berkhidmat. Berubahlah, jika tidak, kita rebah”.- YAB Dato Sri Mohd Najib Tun Razak Perdana Menteri Malaysia (24 Mac 2009)

Buku ini merupakan satu coretan harapan yang berorientasikan petunjuk untuk dilaksanakan dan ia bukan satu analisis politik yang mengagumkan atau tulisan rencana kewartawanan yang bersifat penyiasatan tetapi ia adalah tulisan atau bahan yang terbit dari hati yang dinukilkan melalui akal dan disampaikan dengan tulus ikhlas kepada para pembaca yang mempunyai jiwa-jiwa dan keyakinan terhadap Islam.

Akhir kata saya berdoa semoga Allah SWT sentiasa menganugerahkan kepada kita hati yang kental, lidah yang jujur amalan yang diterima dan juga semoga Allah menunjukkan kepada kita kebenaran menerusi kata-kata dan perbuatan dan kita berserah kepada Allah sebagai tempat berlindung yang terbaik untuk kita. Selamat membaca.

BURHANUDDIN ABDUL JALAL
18 Jun 2009

Monday, June 22, 2009

KITA ADALAH UMAT YANG MULIA

Oleh: Mejar Burhanuddin Abdul Jalal

Seorang Muslim secara fitrahnya adalah mulia di sisi Allah SWT disebabkan diri, agama, al-Quran dan tanah airnya. Ini berbeza dengan orang fasiq yang jauh dari tuhan, menghinakan diri dengan kerja-kerja maksiat, pasif dan meremehkan orang Islam. Bagi orang fasiq dan kafir sesuap nasi lebih penting atau lebih mahal dari kehormatan dirinya. Mereka sanggup melakukan apa sahaja asalkan nafsu dan keperluan dapat dipenuhi. Kita telah ditakdirkan oleh Allah SWT sebagai umat yang mulia. Bagaimananya mungkin tidak menggadaikan kehormatan dan harga diri dan kemudian menjadi hina disebabkan diri kita sendiri ?

Mengapa menjadikan diri kita dihina

Seorang guru telah menghukum pelajarnya di hadapan rakan-rakannya yang bermaksud untuk memberikan pengajaran dan kesedaran kepada pelajar berkenaan akan kesalahan tersebut, namun sebenarnya tindakan tersebut merupakan satu penghinaan kepada pelajar dan telah mengakibatkan kesan negatif kepada pelajar iaitu pelajar akan kehilangan harga diri. Bagi seseorang yang telah dihina, tidak mudah baginya untuk melupakan perkara tersebut kerana amat sukar seseorang itu untuk berlapang dada jika ia dihina di hadapan umum.

Dalam kes yang lain pula, suami mendera atau memukul isteri di hadapan anak-anak Perbuatan tersebut akan memberikan kesan psikologi kepada isteri dan olah-olah ia dihina di hadapan anak-anak oleh suami. Sesungguhnya perbuatan ini amat bertentangan dengan akhlak Islam. Rasulullahlah SAW tidak pernah memukul isteri-isterinya atau para pembantunya. Rasulullah juga melarang suami memukul isterinya di bahagian muka atau di tempat-tempat yang sensitif, ini adalah kerana muka merupakan lambang kehormatan.

Dalam kehidupan kita seharian, banyak sekali perlakuan atau amalan yang berbentuk penghinaan diri telah dilakukan. Antaranya yang sering kita lihat ialah seperti orang tua atau ibu bapa yang memukul dan mengherdik anak-anak mereka di depan orang ramai atau rakan-rakan anak mereka. Ini merupakan satu penghinaan terhadap harga diri anak. Oleh itu anda mungkin bertanya, “bagaimanakah caranya untuk mendidik anak?”, Jika mereka melakukan kesalahan, apakah mereka boleh dihukum? Di mana, di bilik? Di tempat bermain? Atau di hadapan rakan-rakan mereka?”. Ini soalan-soalan yang perlu di jawab dengan penuh kesedaran oleh diri kita.

Kita juga kadang-kadang memberi peluang kepada anak-anak kita untuk bertanya, jika ada yang bertanya sedang kita berbual dengan orang lain, kita memarahinya dengan kata-kata, usah ganggu orang tua sedang bercakap, budak-budak tidak boleh menjampuk!. Ini menyebabkan anak-anak kita hilang kepercayaan diri, merasa terhina dan membuatnya takut untuk berinteraksi dengan generasi tua dan memberikan pendapat,. Ternyata ini akan melahirkan jurang yang besar antara generasi tuan dan muda. Ini perlu diubah dan kita perlu tahu menghormati orang lain supaya mereka dapat hidup dengan terhormat.

Jangan menghina diri sendiri

Dalam sebuah organisasi diberitakan terdapat seorang pegawai atasan yang suka mengherdik dan menghina pegawai bawahannya dengan pelbagai kata-kata kesat. Terdapat di kalangan pekerja ang diherdik itu telah berumur dan telah bekerja agak lama. Salah seorang pekerja bertanya kepada pekerja yang telah berumur itu, “ mengapa saudara masih mampu bertahan untuk bekerja di sini, sedangkan sering diherdik dan dicerca?”. Dia menjawab, “ saya tidak ada kerja lain untuk menampung kehidupan ini”.

Saudaraku, percayalah hidup dengan kehinaan jauh lebih buruk dari hidup dengan kelaparan. Pergi dan carilah kerja lain. Apakah dengan kehinaan yang ada terima selalu akan dapat mendidik agar anda menjadi terhormat? Tentu tidak. Oleh sebab itu janganlah kita sekali-kali menghinakan diri kita sendiri. Penghinaan diri kita oleh orang lain akan memburukkan kehormatan diri dan juga keluarga.

Perlu diingat bahawa, umat yang kehilangan kehormatan, tanah air dan kesuciannya adalah umat yang hina. Bagaimana orang lain hendak menghormati kita jika kita sendiri tidak tahu menjaga kehormatan diri kita sendiri.

Asas kemuliaan dari Allah

Dari segi etimologi perkataan ‘adz-dzul’ atau kehinaan adalah merujuk kepada sesuatu yang di luar kawalan seperti tanah atau binatang liar. Ini berdasarkan firman Allah,


“ Tidakkah mereka melihat dan memikirkan, bahawa Kami telah menciptakan untuk mereka binatang-binatang ternak, di antara jenis-jenis makhluk yang telah Kami ciptakan Dengan kekuasaan Kami lalu mereka memilikinya? Dan Kami jinakkan dia untuk kegunaan mereka; maka sebahagian di antaranya menjadi kenderaan mereka, dan sebahagian lagi mereka makan.


Untuk dihormati oleh orang ain, kita hendaklah sentiasa berserah kepada Allah . Ini berdasrkan firmannya,


”Sesiapa yang mahukan kemuliaan (maka hendaklah ia berusaha mencarinya Dengan jalan mematuhi perintah Allah), kerana bagi Allah jualah Segala kemuliaan. kepada Allah lah naiknya Segala perkataan yang baik (yang menegaskan iman dan Tauhid, untuk dimasukkan ke Dalam kira-kira balasan), dan amal yang soleh pula di angkatnya naik (sebagai amal yang makbul - yang memberi kemuliaan kepada yang melakukannya). dan sebaliknya: orang-orang yang merancangkan kejahatan (untuk mendapat kemuliaan), adalah bagi mereka azab seksa yang berat; dan rancangan jahat mereka (kalau berkesan) akan rosak binasa”.

Kita adalah hamba Allah

Seluruh manusia di alam ini tidak mempunyai kekuatan yang hakiki untuk menjadi mulia atau hina. Hanya Allah SWT yang mempunyai kekuasaan untuk menentukan kehinaan dan kemuliaan. Seseorang yang dimuliakan pada hari ini, tidak mustahil akan menjadi hina pada keesokan harinya. Hari ini rakan kita seorang yang kaya dan mungkin besok telah jatuh miskin. Begitu juga, dengan kehidupan ini, pagi ini kita bersama berbual dan petangnya telah menghembuskan nafas yang terakhir untuk pulang ke rahmatullah.

Hakikat ini perlu menjadi iman kita. Iman yang berteraskan tauhid. Kita bukan hamba kelas atasan dan juga kita tidak boleh menjadi hamba orang atasan. Kita semua adalah hamba Allah. Adakah orang miskin memerlukan orang miskin yang lain atau orang yang hendak tenggelam memerlukan bantuan dari orang yang juga hendak tenggelam?Tentu sekali tidak. Seseorang yang miskin memerlukan bantuan dari seseorang yang kaya untuk membebaskan dirinya dari kemiskinan. Inilah situasinya kita dengan Allah SWT yang Maha kaya dan Maha berkuasa. Allah yang memuliakan dan Allah yang menghinakan. Kita sangat memerlukan pertolongan Allah untuk meminta pertolongannya supaya kita dapat hidup dengan penuh kehormatan. Untuk itu marilah kita merenung firman Allah,

“ Katakanlah (Wahai Muhammad): "Wahai Tuhan yang mempunyai Kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi Kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut Kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya Segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu”

Untuk itu janganlah kita meminta kemuliaan selain dari Allah SWT. Ini adalah kerana Allah sahajalah yang mempunyai kemuliaan yang setinggi-tingginya. Firman Allah,

“(Iaitu) orang-orang Yang mengambil orang-orang kafir menjadi teman rapat Dengan meninggalkan orang-orang Yang beriman. tidaklah patut mereka (orang-orang munafik) mencari kekuatan dan kemuliaan di sisi orang-orang kafir itu, kerana Sesungguhnya kekuatan dan kemuliaan itu semuanya ialah milik Allah, (diberikannya kepada sesiapa Yang dikehendakiNya)”.

Sunday, June 21, 2009

MENGAPA MASIH KETINGGALAN?

Oleh: Mejar Burhanuddin Abdul Jalal

Bumi kita subur mempunyai pelbagai hasil dan sumber alam yang kaya. Kita juga tidak kurang dari segi sumber tenaga manusia atau modal insannya. Tetapi kita masih menjual bahan mentah atau hasil bumi kita kepada orang lain dengan harga yang begitu murah dan kemudian kita mengimportnya kembali ke negara kita dengan harga yang mahal? Mengapa ini berlaku? Atau kita sekadar berserah?

Mungkin tahap kerja kita masih sekadar untuk memuaskan hati bos dan tidak untuk meningkatkan produktiviti sepenuhnya. Piawaian kerja yang dilakukan adalah untuk memenuhi keperluan pihak atasan walaupun ia mampu untuk melakukan ke tahap yang lebih baik dan tinggi lagi. Dalam satu kisah, Rasulullah memasuki masjid ketika masih di luar waktu solat dan didapati Abu Umamah berada dalam masjid dan Rasulullah bertanya, “ mengapa kamu duduk di sini?”. Abu Umamah menjawab, “ hutang yang banyak dan kerisauan yang melanda”. Rasulullah kemudian mengajar satu doa yang bermaksud,

“ Ya Allah aku berlindung dari Mu perasaan gelisah dan sedih dan aku berlindung dari-Mu ketidakmampuan dan kemalasan”.

Berdasarkan doa yang dibacakan oleh Nabi itu ternyata ketidakmampuan dan juga sikap malas merupakan dua penyakit berbahaya, kita perlu sentiasa memohon perlindungan dari Allah semoga penyakit tersebut dijauhkan dari kita. Selain dari itu juga pada hari ini ramai di kalangan anak-anak muda yang memilih untuk menganggur daripada bekerja dengan alasan kelulusan atau ijazah yang mereka miliki tidak sesuai dengan kerja yang ada di pasaran. Dalam aspek ini Allah SWT telah mengingatkan melalui firman-Nya,

“Dia lah yang menjadikan bumi bagi kamu: mudah digunakan, maka berjalanlah di merata-rata ceruk rantaunya, serta makanlah dari rezeki Yang dikurniakan Allah; dan (ingatlah), kepada Allah jualah (tempat kembali kamu sesudah) dibangkitkan hidup semula; (maka hargailah nikmat-Nya dan takutilah kemurkaan-Nya).

“Dan Sesungguhnya Kami telah menetapkan kamu (dan memberi kuasa) di bumi, dan Kami jadikan untuk kamu padanya (berbagai jalan) penghidupan (supaya kamu bersyukur, tetapi) amatlah sedikit kamu bersyukur”.

“Wahai orang-orang yang beriman! apabila diserukan azan (bang) untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang jumaat) dan tinggalkanlah berjual-beli (pada saat itu); Yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya),Kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing), dan carilah apa Yang kamu hajati dari limpah kurnia Allah, serta ingatlah akan Allah banyak-banyak (dalam Segala keadaan), supaya kamu berjaya (di dunia dan di Akhirat)”.


Berdasarkan ayat di atas Allah SWT telah memberikan formula ibadat kepada-Nya. Kita dituntut untuk melakukan solat dan kemudian diminta untuk berusaha mencari nafkah dan tidak duduk termenung, bersikap malas dan mengharap rezeki datang seperti meminta sedekah. Dalam ayat yang lain Allah SWT tentang galakan bekerja setelah solat malam. Firman Allah,

“Sesungguhnya Tuhanmu (Wahai Muhammad) mengetahui bahawasanya Engkau bangun (sembahyang Tahajjud) selama kurang dari dua pertiga malam, dan selama satu perduanya, dan selama satu pertiganya; dan (demikian juga dilakukan oleh) segolongan dari orang-orang Yang bersama-samamu (kerana hendak menepati perintah Yang terdahulu); padahal Allah jualah Yang menentukan Dengan tepat kadar masa malam dan siang. ia mengetahui Bahawa kamu tidak sekali-kali akan dapat mengira Dengan tepat kadar masa itu, lalu ia menarik balik perintahNya Yang terdahulu (dengan memberi kemudahan) kepada kamu; oleh itu bacalah mana-mana Yang mudah kamu dapat membacanya dari Al-Quran (dalam sembahyang). ia juga mengetahui Bahawa akan ada di antara kamu orang-orang Yang sakit; dan Yang lainnya orang-orang Yang musafir di muka bumi untuk mencari rezeki dari limpah kurnia Allah; dan Yang lainnya lagi orang-orang Yang berjuang pada jalan Allah (membela ugamanya). maka bacalah mana-mana Yang sudah kamu dapat membacanya dari Al-Quran; dan dirikanlah sembahyang serta berikanlah zakat; dan berilah pinjaman kepada Allah sebagai pinjaman Yang baik (ikhlas). dan (ingatlah), apa jua kebaikan Yang kamu kerjakan sebagai bekalan untuk diri kamu, tentulah kamu akan mendapat balasannya pada sisi Allah, -sebagai balasan Yang sebaik-baiknya dan Yang amat besar pahalaNya. dan mintalah ampun kepada Allah; Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani”.

Kenapa tidak berusaha

Kita selalu menemui pandangan yang keliru tentang orang yang taat terhadap agama tetapi gagal dalam bidang pekerjaan kerana tumpuan yang berlebihan dalam ibadatnya. Mengapa perkara sebegini boleh terjadi sedangkan semua orang mempunyai pekerjaan? Al-Quran sering menekankan paduan antara aspek iman dan amal soleh. Tidakkah kerja seorang doktor yang membantu pesakit itu satu bentuk amal soleh? Atau ia tidak termasuk dalam amal soleh? Firman Allah SWT.

“Golongan jin itu membuat untuk Nabi Sulaiman apa yang ia kehendaki dari bangunan-bangunan yang tinggi, dan patung-patung, dan pinggan-pinggan hidangan yang besar seperti kolam, serta periuk-periuk besar yang tetap di atas tukunya. (setelah itu Kami perintahkan): "Beramalah kamu Wahai keluarga Daud untuk bersyukur!" dan sememangnya sedikit sekali di antara hamba-hambaKu Yang bersyukur”.


Dalam hal ini jika kita mampu bekerja dengan baik, maka kerja yang baik dalam tempoh yang panjang itu merupakan tempoh kebaikan. Niatkan bahawa segala seluruh aktiviti atau profesion kita itu sebagai amal jariah yang merupakan sumbangan kepada seluruh umat dan agama.

Umar al-Khattab mengerjakan ladangnya secara berganti-ganti dengan salah seorang ahli Ansar. Sehari ia bekerja dan sehari dia bersama Rasulullah. Bagi Abu Bakar as-Siddiq pula yang keimanannya menyamai iman seluruh umat, pernah tiga kali menyumbangkan seluruh kekayaannya untuk kaum Muslimin, sewaktu hijrah, Perang Tabuk dan ketika memerangi murtad. Memang tidak menghairankan negara Abu Bakar seorang peniaga yang berjaya.

Begitu juga bagi Uthman al-Affan dan Abdul Rahman bin Auf yang banyak memberikan sumbangan kerana mereka juga peniaga yang berjaya. Mereka adalah di antara 10 orang sahabat yang dijanjikan syurga. Bagi Umar al-Khattab pernah berkata, “ Demi tuhan, aku tidak ingin ajalku menjemput kecuali dalam dua keadaan, saat berjuang di jalan Allah ataupun ketika mencari nafkah”. Berdasarkan kenyataan Umar al-Khattab ini ternyata betapa pentingnya pekerjaan dalam hidup kita!

Sekiranya kita benar-benar bertawakal kepada Allah sudah pasti Allah akan memberi rezeki kepada kita seperti mana Allah memberi rezeki kepada burung yang keluar pada waktu pagi dengan perut kosong dan pulang ke sarang pada waktu petang dengan perut yang kenyang!

Apakah kita rela menjadi burung yang lumpuh?

Pernah dikisahkan tentang seorang pedagang di zaman Ibrahim Adham yang berniat untuk meninggalkan dunia perniagaannya. Tujuannya adalah untuk menumpukan sapenuh perhatian terhadap ibadah. Kemudian dia berjalan di sebuah gurun dan terserampak dengan seekor burung yang lumpuh. Dalam fikirannya timbul persoalan, bagaimanakah agaknya burung ini dapat makan?. Sedang ia berfikir tuba-tiba dia melihat burung lain datang membawa makanan kepada burung yang lumpuh itu. Niatnya untuk berhenti berniaga semakin kuat kerana ia melihat bahawa rezeki pasti ada kerana ada orang yang akan memberi rezeki kepadanya. Ketika menceritakan kisah tersebut kepada Ibrahim Adham, beliau bertanya kepada lelaki itu, “adalah engkau ingin menjadi seperti burung yang lumpuh itu? Sesungguhnya tangan yang di atas lebih baik dari tangan yang di bawah”, kata Ibrahim Adham.

Bekerja merupakan ibadah. Namun penyataan ini perlu disesuaikan di tempat yang sepatutnya. Bukan bermaksud kita meninggalkan solat atas alasan pekerjaan ataupun sebaliknya iaitu meninggalkan pekerjaan kerana solat. Rasulullah pernah berjabat tangan dengan lelaki yang tapak tangannya kasar dan Baginda bersabda, “sesungguhnya Allah suka orang seperti ini”. Dalam hadis yang lain Baginda bersabda, “pedagang yang jujur, seiring dengan para nabi, orang yang benar dan para syuhada” . Dalam hadis lain Baginda bersabda yang bermaksud, “ Sesiapa yang berkebun dan bercucuk tanam, kemudian hasilnya dimakan haiwan, burung dan manusia, maka ia mendapat keampunan pada setiap buah yang dimakan hasil dari tanamannya itu” . Nabi juga ada bersabda yang bermaksud, “Allah menyukai Muslim yang profesional” .

Semasa pemerintahannya Umar al-Khattab sering melawat masjid-masjid di luar waktu sembahyang bagi meninjau kalau-kalau terdapat di kalangan rakyatnya duduk-duduk di masjid sedangkan waktu sembahyang belum tiba lagi. Lalu Umar bertanya, “Apakah menyebabkan kamu sekalian duduk-duduk di sini?”. “Kami memohon rezeki dari Allah”. Mendengar kata itu, Umar mengangkat tongkatnya lalu memukul mereka “ celakalah kamu sekalian, tidak ada seorang pun dari kamu yang dapat rezeki jika asyik duduk di sini tanpa berusaha. Sesungguhnya emas dan perak tidak turun dari langit”.

Apakah umat Islam rela dan suka menjadi seperti burung yang lumpuh? Harapan kita bersama agar umat Islam tidak menjadi begitu dan akan menjadi umat yang rajin dan mempunyai kekayaan yang dapat membantu orang lain. Hadis Rasulullah mengingatkan kita tentang keutamaan makan dengan usaha dan produk yang dihasilkan sendiri. “ Tidak ada seseorang pun yang makan, lebih baik makan hasil jerih payahnya sendiri”.

Kebangkitan umat amat ditentukan oleh keikhlasan kita bekerja dan seterusnya menyumbang kepada masyarakat dan umat. Bila keseluruhan umat telah bertekad untuk bekerja dengan kuat dan semangat segala masalah dapat diselesaikan dan kemajuan umat dapat dicapai. Ingatlah bahawa perubahan tidak akan wujud selagi rezeki kita masih bergantung pada orang

Friday, June 19, 2009

APA MATLAMAT HIDUP KITA

Oleh: Mejar Burhanudin Abdul Jalal

Pada umumnya terdapat tiga matlamat atau tujuan utama hidup ini, iaitu:

a. Matlamat yang buruk.
b. Matlamat yang baik tetapi keliru atau kabur.
c. Matlamat yang suci dan berterusan.


Matlamat hidup yang paling buruk ialah menyerahkan segala kehidupan ini kepada wanita dan menyerahkan segala ‘jiwa dan raga’ untuk menawan hati wanita itu siang dan malam agar tidak terlepas kepada orang lain.

Matlamat hidup menjadi keliru dan kabur apabila anak-anak yang dilahirkan itu tidak diberikan pendidikan yang sempurna khususnya penekanan dalam aspek agama. Kekeliruan terjadi apabila anak-anak kita telah dewasa dan mempunyai keluarga, dan mungkin mereka lupa kepada kita yang telah tua ini. Kita kesunyian dan tidak terbela dan mungkin terpaksa tinggal di rumah orang-orang tua. Ibu bapa menjadi bingung dan bertanya apakah tujuan hidup ini? Inilah yang dikatakan kekeliruan kerana tidak mendapat kebahagiaan yang dicari-cari itu.

Matlamat hidup yang suci murni dan berterusan dapat dicapai dengan segala usaha-usaha hidup ini dilakukan kerana untuk mendapatkan keredaan Allah. Jika ibu bapa mempunyai anak, maka anak-anak itu kembali berbakti kepada mereka dan menepati apa yang telah Allah firmankan,

“Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia Dengan sesuatu apa jua; dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, dan jiran tetangga yang dekat, dan jiran tetangga yang jauh, dan rakan sejawat, dan orang musafir yang terlantar, dan juga hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong takbur dan membangga-banggakan diri

Sesungguhnya tujuan hidup duniawi adalah sementara sahaja dan tidak akan bertahan lama. Oleh itu marilah kita sentiasa berhubungan dengan Allah, semoga hidup ini terbimbing dan berpandu ke jalan Allah.

Kisah insan yang mempunyai ‘ matlamat hidup’.

Berikut dicatatkan kisah-kisah insan atau manusia yang hebat kerana meraih kemasyhuran dan keberkatan dalam hidup mereka kerana mempunyai ‘matlamat hidup’ yang jelas dalam diri mereka.

• Seorang ulama yang terlalu letih dan kemudian pengsan. Setelah sedar ia berkata kepada muridnya yang berada di sisi, “tulis cepat masalah ini”. “Wahai imam engkau masih lemah. Masalah apa yang hendak ditulis?”, tanya anak muridnya. “Anakku, mungkin satu perkataan yang kita tulis akan menjadi amat bermakna bagi seseorang Muslim dan dengan itu mungkin kita akan masuk syurga”, kata guru itu.

• Contoh yang lain ialah kisah Umar bin Abdul Aziz. Bagi beliau hidup ini perlu matlamat dan pencapaian sesuatu adalah amat penting. Beliau pernah berkata, “aku adalah seorang yang bercita-cita tinggi. Aku pernah bercita-cita untuk memiliki Fatimah puteri khalifah, dan aku berjaya menikahinya. Aku pernah bercita-cita untuk menjadi gabenor di Madinah dan kemudian aku berjaya menjadi Gabenor Madinah. Aku pernah bercita-cita menjadi khalifah dan aku juga berjaya menjadi khalifah, dan kini aku bercita-cita untuk memasuki syurga dan aku sedang berusaha untuk memperolehnya”.

• Muhammad al-Fatih seorang tokoh yang pemimpin yang telah berjaya menakluki Konstantinapol ketika ia berusia 23 tahun. Untuk berjaya dia terpaksa menyeberangi lautan dan mendaki bukit. Pada usia 15 tahun dia pernah berusaha untuk menawan Konstantinapol tetapi gagal. Beberapa tahun kemudian, dia mencuba lagi tetapi masih gagal dan setelah 8 tahun berusaha dia berjaya menaklukinya. Ini adalah kerana Konstantinapol sentiasa ada dalam hatinya dan mengembalikan Konstantinapol ke tangan Islam merupakan matlamat dalam hidupnya dan ternyata dia berjaya.

• Begitu juga dengan Imam al-Bukhari. Ketika berusia 14 tahun Imam al-Bukhari telah berguru dengan dua tokoh ilmu hadis yang membincangkan kitab-kitab besar ilmu hadis. Kedua ulama tersebut menyatakan kerisauan kerana kitab-kitab hadis pada waktu bercampur hadis-hadis sahih, hadis daif (lemah) dan hadis mauduk (palsu). Kedua ulama berharap ada ulama yang mampu mengumpulkan hadis-hadis sahih dalam satu kitab. Laku Imam al-Bukhari berkata dalam hatinya, “akulah yang akan berusaha melakukannya”. Kemudian al-Bukhari menyusun kitab hadis yang hanya mengandungi hadis-hadis sahih dalam sebuah kitab.

• Bagi Charlie Chaplain pula ia sentiasa mengimpikan untuk menjadi tokoh seni yang besar. Apakah yang telah dilakukan oleh Charlie Chaplain untuk mencapai impiannya itu? Dia tidur dengan lampu yang terang dan di sisinya terdapat kertas dan pen. Dia akan menulis idea yang datang tidak mengira masa. Oleh sebab itu Charlie Chaplain tidak pernah memadam lampu di biliknya dan lampu terus menyala sepanjang malam. Imam al-Bukhari juga pernah melakukan perkara yang sama, “aku terjaga lebih dari 20 kali untuk mencatat hadis yang aku ingat”. Kata Iman al-Bukhari.


Berdasarkan kisah-kisah yang disebutkan ternyata mereka mempunyai cita-cita besar sebagai matlamat dalam hidup. Oleh yang demikian, kita mungkin tidak akan mengimpikan untuk melakukan perkara-perkara besar kecuali kita sibuk dengan matlamat hidup yang besar.

Syarat-syarat untuk merealisasikan matlamat hidup

Para ulama telah menyebutkan beberapa syarat yang perlu dipenuhi untuk mewujudkan matlamat hidup. Antaranya:

a. Matlamat perlu jelas dan tidak ada keraguan di dalamnya.

b. Cita-cita dan kesinambungan harapan sentiasa terikat dengan keredaan Allah. Sesiapa yang takut mendaki gunung dia akan sentiasa berada di tahap kerendahan.

c. Tidak gentar menghadapi kesulitan atau kesusahan.

d. Perancangan yang bersistematik dan praktikal dalam mewujudkan matlamat hidup.

e. Gigih berusaha untuk mencapai matlamat yang telah ditetapkan.

f. Mempunyai harapan yang tinggi.

g. Sabar dan tabah

Kesemua syarat-syarat tersebut akan dapat membantu untuk merealisasikan matlamat hidup yang telah di tetapkan bagi tujuan lebih jelas dan tetap. Jika ini dapat dilakukan, diri kita akan dipenuhi dengan kesungguhan, kesabaran, optimisme dan juga perancangan yang praktikal. Oleh yang demikian, sudahkah kita menyediakan matlamat hidup yang jelas dan berusaha untuk mencapainya? Sesungguhnya ramai yang telah berjaya dan kita juga boleh berjaya seperti mereka.

Tuesday, June 16, 2009

MENJALIN PERSAUDARAAN

Oleh: Mejar Burhanuddin Abdul Jalal


POLITIK negara sedang membincangkan kerajaan perpaduan. Pada umumnya perpaduan itu adalah sesuatu yang baik dan dituntut. Persoalannya sekarang adakah perkara tersebut dapat diterima oleh pihak PAS atau UMNO sepenuhnya? Adakah wajar jika seseorang membenci seluruh rakyat bagi sesebuah negara atau sesuatu bangsa? Sebuah negara mendendami sebuah negara lain? Sedangkan kesemuanya adalah umat Islam dan umat Muhammad! Memang agak sukar untuk dipercayai tetapi anda jangan terkejut jika perkara ini benar-benar berlaku. Pada kenyataannya perkara tersebut telah berlaku di kalangan kita umat Islam pada hari ini. Ikatan persaudaraan dan sikap berlapang dada sesama kita telah kian menghilang. Mengapa ini terjadi? Oleh itu kita perlu mengukuhkan kembali ukhuwah, persaudaraan ataupun silaturahim . Kita adalah umat yang satu yang tidak sewajarnya saling benci-membenci terapi sebaliknya sayang-menyayangi, cinta-mencintai dan kasih-mengasihi antara satu sama lain. Kesemuanya ini adalah nilai murni yang dapat mendekatkan kita dan mengukuhkan perpaduan antara kita.

Saudara seiman merupakan rahmat Allah

Dalam sejarah telah mencatatkan banyak kisah tentang erti persaudaraan. Tidak hanya pada zaman Rasulullah SAW tetapi zaman sebelum itu iaitu zaman Nabi Musa A.S , telah tercatat sejarah erti persaudaraan yang mempunyai pengertian yang amat mendalam dan mengesankan jiwa manusia. Kisah yang berlau pada zaman Nabi Musa, iaitu kisah Bani Israil dapat menjelaskan kepada kita aspek dan nilai persaudaraan merupakan perkara yang penting. Jika kita menghayatinya kita akan dapat merasakan dan mengambil makna yang mendalam tentang erti persaudaraan!

Firman Allah yang ditujukan kepada Nabi Musa A.S,yang bermaksud,


"Pergilah kepada Firaun, Sesungguhnya ia telah melampaui batas".Nabi Musa berdoa Dengan berkata: "Wahai Tuhanku, lapangkanlah bagiku, dadaku;Dan mudahkanlah bagiku, tugasku;Dan lepaskanlah simpulan dari lidahku,Supaya mereka faham perkataanku; Dan Jadikanlah bagiku, seorang penyokong dari keluargaku. Iaitu Harun saudaraku;,Kuatkanlah Dengan sokongannya, pendirianku,, Dan Jadikanlah Dia turut campur bertanggungjawab Dalam urusanku,, Supaya Kami sentiasa beribadat dan memujiMu, Dan (supaya) Kami sentiasa menyebut dan mengingatiMu; Sesungguhnya Engkau adalah sedia melihat dan mengetahui hal ehwal kami".
Bukankah engkau Musa boleh beribadat dan memuji Allah secara bersendirian? Tetapi Musa menyatakan, ” aku merasa lebih selesa bersama anugerah Allah yang amat berharga”.
Firman Allah lagi,


” Allah berfirman: "Sesungguhnya telah diberikan kepadamu apa Yang Engkau pohonkan itu, Wahai Musa!


Untuk itu perlu kita merenungi firman Allah yang bermaksud,

“Dan Kami kurniakan kepadanya dari rahmat kami, saudaranya: Harun, Yang juga berpangkat Nabi”.


Dari ayat-ayat di atas bahawa kita semua adalah sentiasa mendapat sebahagian dari rahmat Allah, oleh yang demikian mengapakah kita tidak menjaga rahmat-rahmatnya? Oleh itu ciptakan dan hayatilah persaudaraan dan perpaduan.

Saturday, June 13, 2009

MENJADI ORANG YANG TERBAIK MENEPATI IBADAH

Oleh: Mejar Burhanuddin Abdul Jalal

Seorang lelaki pernah memberi satu kenyataan yang mengejutkan, katanya, “Alhamdulillah Barat unggul teknologi baru dan banyak mengeluarkan produk yang bermutu tinggi hingga dapat membantu kita melaksanakan ibadat dan solat dengan mudah”. Rakannya bertanya, “mengapa saudara berkata demikian?”. “ Ya, sebab Allah mencipta kita dan menyuruh kita melakukan yang terbaik dan beribadah kepada-Nya". Firman Allah yang bermaksud,

“ Kamu (Wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat Yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat Segala perkara Yang baik dan melarang daripada Segala perkara Yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). dan kalaulah ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana Yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada Yang beriman dan kebanyakan mereka: orang-orang Yang fasik.

Mengapa kita tidak melakukan yang terbaik?

Dalam hadis-hadis Rasulullah yang dikategorikan sebagai Jawami’ al-kalim ( hadis pendek yang mengandungi banyak makna) seperti sebuah hadis yang bermaksud, “ Allah mewajibkan kebaikan dalam segala hal” . Hadis ini membawa maksud dan perintah agar umat Islam melakukan kebaikan dalam seluruh aktiviti sama ada dalam skala mikro ataupun makro. Oleh demikian sudahkah kita merancang untuk program atau aktiviti untuk hari ini. Kebaikan adalah mencakupi seluruh kehidupan.

Jika diri kita seorang pelajar, jadilah seorang pelajar yang berprestasi tinggi, jika kita seorang guru, adakah kita telah memberikan pengajaran atau bimbingan yang terbaik kepada anak murid atau pelajar? Jika kita seorang pegawai, adakah kita telah mencapai tahap piawaian profesionalisme yang tinggi dan mampu mempertahankan tahap profesionalisme itu dalam tempoh seminggu? Mengapa kita tidak mencuba. Cubalah kita akan merasakan perubahan yang besar dalam hidup kita ini.

SIKAP IHSAN MERUPAKAN KESEMPURNAAN AMALAN

Oleh: Mejar Burhanuddin Abdul Jalal

Ihsan merupakan tahap kesempurnaan dalam akhlak Islam, tetapi akhlak ini telah mulai hilang dari akhlak kita. “Ihsan itu ialah bahawa "kamu menyembah Allah seolah-olah kamu melihat-Nya, tetapi jika kamu tidak melihat-Nya, maka sesungguhnya Dia melihat kamu." (Pengertian berdasarkan hadis riwayat Muslim daripada Umar bin Khattab) Yakni, mengabdikan diri kepada Allah hendaklah dengan perasaan seolah-olah anda melihat-Nya dan jika anda tiada perasaan melihat kepada-Nya, maka hendaklah anda merasa bahawa Allah melihatmu. Maksudnya: ikhlas dalam beribadah atau ikhlas melaksanakan Islam dan Iman.

Melakukan perubahan bukanlah sesesuatu yang mudah seperti memetik suis lampu dan perubahan akan berlaku dengan pantas. Perubahan adalah sesuatu yang sukar dan ia memerlukan kesungguhan untuk mengubah sesuatu perkara yang diperlukan. Meskipun bukan mudah tetapi ia boleh dilakukan dan bukanlah sesuatu mustahil.


Ihsan merupakan komponen yang meliputi aspek pengetahuan, pengurusan, orientasi dan sistem. Banyak aspek yang perlu dipenuhi untuk menjadi yang terbaik. Pada hari ini terdapat banyak barang-barang tempatan di pasaran dan kita terdapat juga barang-barang import. Kita sudah tidak lagi membeli barang-barang yang diimport. Mengapa perkara ini berlaku? Kita sudah kehilangan kepercayaan terhadap barang-barang import dan lebih percaya kepada barang-barang tempatan. Sesungguhnya barang-barang tempatan telah mencapai piawaian dan mutu yang telah memenuhi kepercayaan, kehendak dan cita rasa kita. Ternyata ini telah menepati apa yang Allah telah perintahkan.

Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa Yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa Yang ada pada diri mereka sendiri.

Oleh yang demikian, kita perlu menjadi yang terbaik dan menjadi profesional dalam kegiatan dan urusan kerja yang dilakukan sehingga umat akan bangkit menjadi cemerlang, gemilang dan terbilang serta menepati Penunjuk prestasi utama (key performance index - KPI) yang telah ditetapkan

DEFISIT SOSIAL GUGAT SEMANGAT PERPADUAN, ROSAK ERTI KEMERDEKAAN

 -------------------- Rencana yang telah disiarkan dalam Berita Harian 6 September 2024